Monday, 23 June 2014

Menanti Fajar Syawal 1434H 7 August 2013 at 04:46

Menanti Fajar Syawal 1434H

7 August 2013 at 04:46




Marilah kita renung sejenak, apakah Ramadhan yang telah kita tempohi bersama telah berjaya mendidik nafsu kita untuk patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan larangannya ?

Marilah kita tanyai diri kita, apakah keimanan kita telah menjadi semakin ampuh dan kukuh bak akar tunjang sebatang pokok yang sempurna mencengkam bumi, tidak mampu digoyah walau ribut taufan kesesatan dan kefasadan melanda ?

Marilah kita selami lubuk hati kita, apakah kemanisan dalam beribadah di Ramadhan yang mulia ini dapat kita istiqamahkan sesudah Ramadhan berlalu ?

Seandainya belum ? Usahakanlah dengan serius di sisa baki Ramadhan yang masih ada ini sebelum ianya berakhir. Rebutlah peluang keemasan ini agar kita tidak ternanti-nanti di Ramadhan yang akan datang bagi tujuan yang sama. Kerana kita belum tentu mampu bertemu semula dengan Ramadhan yang akan datang.

Allahumma Baariklana fii Rajaba wa Sya'ban wa baligna RamadhanYaa Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami dengan bulan Ramadhan

Inilah antara doa yang sering dilafazkan apabila Rejab, Syaaban dan Ramadhan menjelang. Hadirnya Ramadhan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan kemerdekaan dari siksa neraka. Kerana keistimewaan Ramadhan yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Kedatangannya ditunggu dengan penuh rasa syukur dan gembira. Pemergiannya ditangisi dengan penuh rasa duka. Tangisan dan kedukaan kerana dimanakah kan kita cari bulan yang didalamnya penuh rahmat dan ampunan? Dimanakah kan kita cari bulan yang dirantai syaitan-syaitan dan dikekang segala nafsu ? Hakikatnya, Ramadhan merupakan bulan umat Islam hanya berdepan dengan musuh yang zahir iaitu manusia yang fasiq, munafik dan kafir harbi. Sedangkan musuh yang batin iaitu syaitan & nafsu telah terkawal kerana keberkatan Ramadhan yang mulia.

Hakikatnya, kegembiraan menyambut Syawal hanyalah layak bagi mereka yang telah berjaya dan lulus dalam menjalani tarbiah di madrasah Ramadhan. Apakah kita merupakan salah seorang graduan yang telah lulus dari Madrasah Ramadhan tahun ini ? Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengingatkan diri kita, bahawa perginya Ramadhan sepatutnya ditangisi dan bukan disenangi.

Jangan disembah Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan akan pergi. Sembahlah yang kekal abadi, Allah Rabbul Jalil. Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa. Rebutlah Ramadhan yang masih berbaki ini untuk tunduk dan patuh kepada perintah Nya. Jangan dimuntahkan pahala Ramadhan yang susah payah kita laksanakan di bulan puasa melalui maksiat di hari raya.

Dalam kita menyabut lebaran, ingin ku ulangi pesanan ku. Dalam kita dikelilingi hilai tawa sanak saudara, jangan dilupakan mereka yang kurang bernasib baik dari kita. Tidak lupa mereka yang telah kehilangan orang tercinta. Hari lebaran merupakan hari yang mengundang hiba dan titisan air mata. Hiburkanlah hati mereka, semoga hati mu akan dihiburkan ALLAH SWT di akhirat kelak.

Kepada golongan remaja dan muda mudi khususnya student ku, ingatlah anda adalah pewaris kepimpinan negara dan perjuangan di masa akan datang. Janganlah digunakan masa perayaan ini untuk berbuat dosa. Utamakanlah fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di hari lebaran. Kepada sahabat yang berada jauh diperantauan. Jangan dibazirkan air mata kerana rindukan kampung halaman. Biarlah air mata itu tumpah membasahi sejadah dan menjadi saksi akan tangisan keinsafan kita memohon ampunan Allah SWT. Ingatlah, jika bukan kita yang merantau jauh dari tanah tempat tumpah darah kita, siapa lagi yang akan menyambung lidah perjuangan ini di bumi yang asing. Saidina Bilal meletakkan jawatan sebagai muazzin di masjid Nabi selepas kewafatan Rasulullah SAW dan kembali ke pangkuan Allah di bumi asing demi menyebarkan seruan Islam. Inilah jalan yang telah kita pilih. Ayuh teruskanlah perjalanan ini hingga sampai ke penghujungnya.

Kepada para pembaca Facebook ku khususnya student-student ku,

Aku selaku orang yang bertanggungjawab ke atas Facebook yang merapu ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin jika selama kita terdapat kekasaran bahasa dalam tulisan, kuliah, tutorial dan sebagainya.Jika diizinkan Allah, kita akan bertemu semula di hari raya nanti.

Aku berharap anda sekelian menggunakan kesempatan yang ada ini bukan setakat untuk bergembira di atas kemenangan kita menjadi graduan Madrasah Ramadhan, tetapi tambahilah amalan kita dengan puasa enam hari dibulan syawal. Istiqamahkanlah amal ibadah di bulan Ramadhan di bulan-bulan yang mendatang. Yang mempunyai rezki berhari raya di kampung, kucupilah tangan ayah bonda dan bagi yang jauh diperantauan gunalah peluang untuk terus menyampaikan risalah Allah kepada masyarakat di sana.

Sekian dulu dari ku

Ilal liqa ma assalamah

Wassalamu a'laikum wrb

Buat wira-wira negara yang gugur syahid di Lahad Datu. Semoga keluarga mereka tabah dan redha dengan emergian mereka. Al Fatihah buat :

Inspektor Zulkifli Bin Mamat
Kpl Sabaruddin Bin Daud
Sarjan Baharin Bin Hamit
Abd Azis bin Sarikon
L/Kpl Mohd Azrul Bin Tukiran
Kpl Salam Bin Togiran
Supt Ibrahim Bin Lebar
Prebet Mohd Hurairah Bin Ismail
Ahmad Farhan Bin Roslan

Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

سُوۡرَةُ الفَاتِحَة
 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١) 
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢)  ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣)  مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤)  إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥) ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)  صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

Masjid Pusara Aman
29 Ramadhan 2013
4.25am

No comments:

Post a Comment