Hadis Jariah

Tanpa melihat syarah hadis tersebut, maka ramailah yang iqtikod Allah di atas langit. Wal`iyazubillah. Maha Suci Allah [dari bertempat].
Mari kita lihat tafsiran para ulama' Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah mengenai hadith ini.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Al-Imam al-Nawawi (W 676 H) di dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim ketika menghuraikan makna hadith ini dengan berkata
(1): Terjemahannya:“Hadith ini adalah daripada hadith-hadith sifat (iaitu hadith mutasyabihat), dan padanya ada dua mazhab yang telah disebutkan mengenainya berulang kali di dalam kitab Al-Imam,
SALAH SATUNYA: Beriman dengannya, tanpa mendalami pada maknanya, berserta iktikad bahawa Allah ta’ala tidak menyerupai-Nya sesuatu dan menyucikan-Nya daripada sifat-sifat makhluk.
DAN KEDUA: Mentakwilkannya dengan apa yang layak bagi-Nya. Dan barangsiapa yang berkata pendapat ini: Maksud baginda ialah hendak menguji hamba itu adakah dia seorang yang beriman, kamu menetapkan sesungguhnya Dialah yang mencipta, yang mentadbir, yang berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dan Dialah [Allah] yang apabila seseorang berdoa kepada-Nya, dia menghadap ke langit [menadah tangan ke langit] sepertimana orang yang sembahyang mengadap ke Ka`bah, dan ini bukanlah bermakna Allah meliputi [berada] di langit sepertimana Allah tidak meliputi [berada di] Ka’bah, sebaliknya langit merupakan kiblat bagi orang-orang yang berdoa, begitu juga ka`bah menjadi kiblat bagi orang-orang yang bersembahyang”
Dan al-Imam al-Nawawi telah menukilkan kata-kata Qadhi `Iyadh (W 544 H) yang berbunyi (2): Terjemahan:“Tiada khilaf antara kaum muslimin dari kalangan ahli fekah, ahli hadith, ahli kalam, ahli fikir dan ahli taklid, bahawa nas-nas yang zahirnya menyebut Allah ta`ala itu di langit seperti firman-Nya ((Adakah kamu beriman dengan yang di langit, dia akan menggulung bumi bagi kamu)) dan nas-nas yang seumpamanya, maka ia tidak diambil mengikut zahirnya bahkan ianya tertakwil di sisi mereka semua”.
Dapat dilihat pada kata-kata Qadhi `Iyadh di atas bahawa nas-nas yang zahirnya menyatakan bahawa Allah berada di langit tidak boleh di ambil secara zahir bahkan ianya mesti ditakwilkan [mengeluarkan nas daripada makna zahir]. Berpegang dengan makna zahir pada nas-nas yang seumpama ini akan membawa kepada akidah tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk) dan ini adalah akidah yang kufur.
Dan hal ini juga telah disebutkan oleh Syeikh Ahmad Ar-Rifa`ei radiyallahu`anhu:
Maksudnya:Al-Imam Ahmad ar-Rifai`e radiyallahu`anhu berkata: “Hendaklah kalian memelihara akidah kalian daripada berpegang dengan faham zahir terhadap nas-nas mutasyabihat daripada al-Quran dan al-Hadith kerana sesungguhnya ia merupakan di antara punca kekufuran”
Imam Al-hafiz Al-karmani (786 H) juga menjelaskan bahawa maksud “Allah fis sama”(3): Terjemahan:“Perkataan Allah “fis sama” maka makna zahirnya BUKANLAH yang dimaksudkan oleh Allah ta`ala kerana Allah ta`ala tidak bertempat pada sebarang tempat, tetapi oleh kerana posisi di atas adalah posisi yang paling mulia berbanding posisi lain, maka Allah ta`ala menisbahkan posisi “atas” tersebut kepada Zat-Nya sebgai petunjuk terhadap ketinggian darjat zat dan sifatNya”
Al- Hafiz Ibn Furak salah seorang ulama’ Ahl al-Sunnah yang masyhur (W 406 H) ketika menghuraikan makna hadith ini dengan mengatakan (4): Terjemahan:“Sesungguhnya makna kata-kata Nabi Sallallahu`alaihi wasallam ((Aina Allah?)) ialah untuk mengetahui kedudukan dan kekuasaan Allah di dalam hati hamba perempuan itu. Dan hamba perempuan tersebut menunjuk ke arah langit kerana dia hendak menunjukkan bahawa Allah di langit dengan makna jika seseorang itu hendak memberitahu tentang ketinggian kedudukan seseorang, dia akan mengatakan bahawa si fulan di langit dengan maksud bahawa beliau tinggi keadaan dan agung kedudukannya
(5) Begitu juga kata-katanya bahawa Allah di langit itu adalah atas bentuk isyarat sahaja sebagai menunjukkan kedudukan Allah di sisinya dan pengetahuannya tentang Allah. Dia menunjukkan dengan cara isyarat bagi mengungkapkan makna ketinggian kedudukan Allah. Jika demikian, maka tidak boleh dibawa makna hadith ini kepada hal yang memberi makna bahawa Allah itu bagi-Nya had, tasybih dan berada pada tempat.
Di sini jelaslah kepada kita bahawa hadith jariah ini bukanlah hujah kepada golongan tertentu untuk mendakwa Allah itu mempunyai tempat. Maha Suci Allah daripada bertempat, Dia telah menciptakan tempat, maka mustahil Dia berhajat kepada makhluk yang diciptakan-Nya
Imam Al-Qurthubi pula ada menyebut dalam kitab Al-Mufhim yang mensyarahkan lafaz-lafaz hadith dalam Sahih Muslim pada hadith Al-Jariyyah ini:
Terjemahan:“Adapun sabda Nabi sallallahu`alaihi wasallam kepada Al-Jariyyah tersebut dengan perkataan “Aina Allah?” merupakan soalan daripada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang mengkehendaki bukti daripada hamba perempuan tersebut sama ada dia bukan penyembah berhala mahupun penyembah batu yang di bumi. Maka hamba perempuan menjawab dengan jawapan tersebut seolah-olah cuba menjelaskan bahawasanya Allah bukanlah daripada jenis-jenis tuhan di bumi (yang disembah musyrikin).
Aina adalah perkataan yang ditanya dengan menggunakannya untuk mengetahui seseuatu tempat sebagaimana juga mata adalah perkataan yang ditanyakan untuk mengetahui masa...(Adapun pertanyaan aina tersebut) tidak boleh ditujukan kepada Allah secara hakikatnya [iaitu bertanyakan tempat] kerana Allah ta`ala TIDAK BERTEMPAT sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Dialah pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud pada azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dan dia sekarang wujud sebagaimana Dia wujud pada azali [iaitu dengan tanpa bertempat]”
Al-Imam Husein bin Muhammad At-Tayyibi (743 H) ketika mengulas tentang hadith Al Jariyyah ini berkata (6): Terjemahan:“Tiada dikehendaki oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ketika bertanya tersebut untuk bertanya tentang tempat bagi Allah ta`ala kerana Maha Suci Allah ta`ala daripada bertempat [iaitu Allah tidak bertempat]...”
Imam Ibn Al-Jauzi ketika mengulas tentang hadith Al-Jariyyah ini menyebutkan(7):Maksudnya:“Telah ditetapkan bagi ulama` bahawasanya Allah ta`ala tidak diliputi oleh langit mahupun bumi dan tidak terangkum dalam mana-mana tempat. Namun Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam mengetahui dengan isyarat hamba perempuan tersebut bahawa dia mengagungkan Maha Pencipta”.
Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi pula berkata dalam syarh Sunan At-Tirmizi tentang hadith tersebut(8): Maksudnya:“Yang dimaksudkan dengan soalan “Aina Allah” adalah bertanyakan kepada hamba perempuan tersebut tentang kedudukan Allah ta`ala bukan bertanya tentang tempat bagi Allah ta`ala kerana tempat bagi Allah ta`ala adalah mustahil...”
Imam Muhammad bin Khalifah Al-Ubbi dalam syarah Muslim beliau (Al-Ikmal) mengulas hadith tersebut dengan berkata:Maksudnya:“Dikatakan bahawasanya Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan soalan “aina” untuk bertanya tentang pegangan hamba perempuan tersebut tentang keagungan Allah ta`ala, lalu hamba perempuan tersebut menunjukkan ke langit dalam menjelaskan keagungan Allah dalam dirinya (bukan mengenai tempat Allah)”
Demikian sedikit sebanyak syarah kepada hadith Al-Jariyyah versi aina Allah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini. Majoriti ulama’ salaf dan khalaf iaitulah ulama’ ahlus-sunnah wal jamaah memalingkan lafaz aina Alllah daripada makna zahirnya yang membawa kepada kejisiman. Lebih jelas lagi, sebahagian besar daripada mereka (ulama’ muktabar) membuat ulasan yang menafikan “sekeras-kerasnya” fahaman tajsim dan fahaman tuhan bertempat daripada hadith Al-Jariyyah ini, dengan memberi makna keagungan dan ketinggian kedudukan Allah.
Mereka mensyarahkan hadith Al-jariyyah dengan makna keagungan dan sebgainya tanpa menetapkan makna zahir Alllah di langit pada hadith Al-Jariyyah tersebut bukan berdasarkan hawa nafsu mereka, sebagaimana dakwaan sebahagian mujassimah yang jahil lagi menyesatkan, tetapi mereka berteraskan manhaj ilmiah yang sahih lagi mendalam.
Para ulama’ hadith seperti Imam Al-Baihaqi, Imam Ibn Al-Jauzi, Imam An-Nawawi, Imam Al-Qurtubi, Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dan sebagainya yang terlibat dalam menafikan makna zahir aina Allah daripada Allah ta`ala merupakan antara rujukan utama umat islam dalam bidang hadith itu sendiri. Mereka tidak akan mengulas hadith Al-Jariyyah dengan hawa nafsu mereka, sebagaimana sangkaan golongan mujassimah sejak dahulu sehinggalah hari ini.
Wallahu`alam.
-----------------------------------------------------------------------------------------
(1)Al-Imam al-Nawawi (1996), Syarah Sahih Muslim, Dar al-Makrifah, Beirut Lubnan, c. 3. J. 5. H. 26
(2)Ibid. H. 27
(3)Fath Al-Bari: 13/412
(4)Ibn Furak (1985), Musykil al-Hdith Wa Bayanuhu, `Alam al-Kutub, c.2.h 159-160
(5)Begitu juga di dalam bahasa Melayu sekiranya seseorang itu mengatakan si fulan di langit, maka tiada orang yang akan memahami daripada kata-kata orang ini bahawa yang dimaksudkan ialah si fulan itu tinggi kedudukannya.
(6)Syarh At-Tayyibi ‘ala Misykat Al-Masobih 6/340.
(7)Daf’ Syubah At-Tasybih 189.
(8)Syarh Sunan At-Tirmizi 11/273
No comments:
Post a Comment