JAWAPAN Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir BERKAITAN STATUS BAPA NABI IBRAHIM. (Sila baca sampai Habis)
Adakah bapa Nabi Ibrahim Musyrik seperti apa yang didakwa segelintir kita Didalam memahami Surah al An'am ayat 74
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً ۖ إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ
Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapaknya, Aazar, "Pantaskah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata".
Persoalannya , adakah Aazar itu bapa kandung Nabi Ibrahim alaihi al-salam?
Saya tertarik untuk memberikan serba sedikit jawapan yang diberikan oleh Syaikhu Syaikhina al-Allamah al-Mufassir al-Mujaddid Muhammad Mutawalli Sya’rawi rahimahullah di dalam kitab tafsirnya yang sangat bermanfaat. Al-Quran adalah Kalam Allah yang diturunkan di dalam bahasa Arab. Maka pemahaman di dalamnya perlu kepada penguasaan bahasa Arab yang mendalam. Dari segi bahasa, perkataan الأب bukan hanya ditujukan kepada ayah kandung semata-mata. Namun ianya juga ditujukan kepada datuk, moyang dan juga kepada bapa saudara itu sendiri. Jika kita melihat ayat 133 di dalam surah al-Baqarah yang berbunyi :
أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
Adakah kamu hadir ketika Ya'qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapa Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya".
Jika kita melihat dengan teliti ayat tersebut , maka kita dapati Saidina Ismail juga termasuk di dalam kelompok bapa-bapa seperti yang disebutkan oleh Saidina Yaakub alaihi al-salam. Sedangkan jika kita melihat silsilah keturunan Nabi Allah Yaakub maka kita dapat ketahui bahawa Saidina Ismail adalah merupakan bapa saudara kepada Nabi Allah Yaakub alaihimussalam. Ini kerana Saidina Yaakub bin Saidina Ishak bin Saidina Ibrahim. Manakala Saidina Ismail adalah saudara kandung Saidina Ishak. Namun ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Saidina Ismail juga termasuk di dalam kelompok bapa tersebut. Maka kita jelas memahami bahawa perkataan bapa di dalam bahasa Arab bukan hanya tertumpu kepada bapa kandung semata-mata, namun ianya juga kembali kepada bapa saudara berdasarkan nas al-Quran dan hadis itu sendiri. Menjadi kemusykilan kepada kita jika kita mengatakan bahawa Aazar adalah bapa kandung Saidina Ibrahim alaihi al-salam. Ini kerana, mustahil berlakunya di dalam keturunan Nabi Ibrahim terdapat ibu dan bapa kandung yang mensyirikkan Allah taala. Ini jelas disebutkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn A’diy di dalam al-Kamil dan al-Imam Thabrani di dalam al-Ausath :
"Aku dilahirkan daripada pernikahan yang sah dan bukanlah aku dilahirkan daripada penzinaan. Sejak daripada Nabi Allah Adam sehinggalah aku dilahirkan oleh kedua ibu bapaku, tiada satu ahli keturunanku yang terpalit karat jahiliyyah."
Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah anak cucu kepada Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam. Ini adalah perkara yang sangat jelas diketahui umum. Jika Baginda sallallhu alaihi wasallam sendiri mengatakan bahawa sejak daripada Nabi Allah Adam alaihi al-salam lagi tiada seorang pun di kalangan ahli keluarganya yang terpalit karat Jahiliyyah maka ini termasuklah ibu dan bapa Saidina Ibrahim alaihi al-salam. Maka ini jelas menunjukkan bahawa Aazar bukanlah bapa kandung Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam. Aazar adalah seorang yang musyrik, mustahil Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dilahirkan daripada benih seorang musyrik. Firman Allah taala di dalam surah al-Taubah ayat 28:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karunia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Sedangkan Baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri menyebutkan bahawa :
Aku ini berterusan sejak permulaan kejadian berpindah-pindah daripada tulang rusul golongan yang suci akidah dan dirinya kepada rahim golongan yang suci ( akidah & peribadinya )
Ini semua merupakan dalil yang sudah cukup untuk kita mengatakan bahawa Aazar bukanlah bapa kandung kepada Saidina Ibrahim alaihi al-salam tetapi merupakan bapa saudara kepadanya. Bapa sebenar Nabi Allah Ibrahim adalah Saidina Taarikh bukannya Aazar. Jika benar , Aazar adalah bapa kandung kepada Saidina Ibrahim alaihi al-salam, mengapakah Saidina Ibrahim mendoakan pengampunan kepada kedua ibu bapanya di dalam surah Ibrahim ayat 41
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)".
Di dalam ayat ini terdapat beberapa hujah penolakan bahawa Aazar adalah merupakan bapa kandung kepada Saidina Ibrahim. Kata Guru Kami yang mulia Syaikhuna Jamal Faruq al-Daqqaq hafizahullah , ayat ini menjadi dalil bahawa Aazar bukanlah bapa kandung kepada Nabi Allah Ibrahim. Ini kerana , golongan Muslimin dilarang mendoakan pengampunan kepada golongan musyrikin. Maka ini jelas menunjukkan bahawa Aazar bukanlah ayah Nabi Allah Ibrahim alaihi al-salam. Syaikhuna Dr Jamal Faruq al-Daqqaq al-Hasani al-Hanafi al-Asya'ri hafizahullah Dalil kedua daripada ayat ini ialah mengapa Nabi Allah Ibrahim mendoakan kepada kedua-dua orang tuanya sedangkan ayat di dalam surah al-An’am hanya diterangkan dakwah Nabi Allah Ibrahim hanya kepada seorang sahaja pada mulanya. Dalil ketiga ialah, doa di dalam surah Ibrahim ayat 41 menunjukkan bahawa ibu bapa Nabi Allah Ibrahim digabungkan doanya termasuk dengan golongan mukminin, maka ini jelas menunjukkan bahawa Ibu bapanya yang kandung adalah termasuk di dalam golongan mukminin. Ini hanyalah sebahagian dalil yang dapat saya sertakan di sini buat tatapan semua. Beradablah dengan Nabi-Nabi Allah. Jika kita sakit hati jika orang mengatakan bahawa ibu bapa kita akan masuk neraka, apatah lagi para anbiya’ . Maka tiadalah perkara yang lebih berdosa selain jika kita menyakitkan hati para kekasih Allah ini. Semoga ianya bermanfaat untuk semua.
P/S: Sila Sebarkan, untuk membetulkan salah faham didalam kalangan Masyarakat kita.

setuju dan sokong atas jawapan tersebut. terima kaseh ust wahabi tak reti bahasa arab sebab mrk faham bapa (aab) itu hanya ayah kandung shj sampai ibu ayah nabi pun masuk neraka
ReplyDelete