
YAQAZAH DAN PERSOALANNYA
Apakah yaqazah ?
Dalam Kamus Idris Al Merbawi, karangan Sheikh Muhammad Idris Bin Abd Rauf Al Merbawi, seorang ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah dari Lubuk Merbau yang mendapat pengiktirafan hingga ke Timur Tengah. Seorang sahabat saya yang belajar di Univerisit Al Azhar berkata, integrity dan kewibawaan Sheikh Muhammad Idris Al Merbawi di Al Azhar, sehinggakan setiap kitab yang ditulis oleh para alim ulamak, perlu mendapat endorsement dari badan yang ditubuhkan oleh beliau. Dalam Kamus Idris All Merbawi, Sheikh Muhammad Idris Al Merbawi pada halaman 401 menyatakan :
Yaqazah dari sudut istilah ialah jaga, sedar. Pengertian yaqazah di sisi ilmu tasauf pula ialah bertemu dengan Rasulullah SAW secara jaga, bukan mimpi.
Anugerah yaqazah ini adalah daripada Allah yang tidak mustahil berlaku. Walaupun ianya merupakan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan manusia, namun ia masih didalam lingkungan mumkinat (harus) bagi Allah mengadakannya atau mentiadakannya.
Tidaklah mustahil penganugerahan yaqazah merupakan karomah para wali Allah.
Antara prinsip dasar Ahlus Sunnah Wal Jamaah, adalah meyakini dan membenarkan adanya jenis-jenis perkara-perkara luar kebiasaan (khawariqul addah) yang boleh berlaku di kalangan selain para Rasul.
Apa kata ulamak besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah lagi tentang yaqazah ?
Dari kitab kitabnya An Nurus Safir 'An Akhbaril Quranil 'Asyir: oleh Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Abdullah bin Syeikh Al Idrus Baalawi yang hidup tahun 978 Hijrah dan mati tahun 1038 Hijrah. Kata Syeikh Abdul Qadir Bin Syeikh Abdullah bin Syeikh Al Idrus Baalawi :
Adalah Imam Al Hafiz As Sayuti itu ada banyak karamah terbit daripadanya itu, kebanyakannya itu berlaku sesudah ia mati (dan matinya pada tahun 911 Hijrah).
Berkata Al 'Alamah Syeikh Zakaria bin Syeikh Muhammad Al Mahalli As Syafie bahawa Imam As Sayuti itu telah ditimpa oleh sesuatu perkara yang besar pada suatu masa, maka saya minta daripadanya, menulis surat wasiat atau pesanan kepada sesetengah anak muridnya, melalui saya, maka Imam As sayuti enggan berbuat begitu dan Imam itu telah melihatkan kepada saya akan sehelai kertas yang ditulis dengan tangan Imam itu, bahawa: "Saya telah berhimpun dengan Nabi SAW waktu jaga banyak kali lebih dari 70 kali dan sabda Nabi SAW kepada saya, yang maksudnya: Bahawa siapa yang ada keadaannya begini, maka tiadalah ia berhajat pada pertolongan dan bantuan daripada sesiapa."
Dari kitab tersebut menyatakan bahawa Imam Sayuti yang meninggal dunia pada tahun 911 Hijrah iaitu 900 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW telah beryaqazah dengan Rasulullah SAW tidak kurang 70 kali.
Kisah di atas juga diceritakan sendiri oleh Imam Sayuti dalam kitabnya bertajuk Khususiyyatu Yaumil Jum'ah karangan Imam As Sayuti dicetak di Damsyik tahun 1386-1966 Hijrah. Dalam kitab yang sama juga terkandung hikayat yang diceritakan sendiri oleh Imam Sayuti seperti demikian :
"Saya telah melihat dalam tidur saya, seolah-olah saya ada di hadapan majlis Nabi SAW, maka saya sebutkan sebuah kitab yang saya telah mula mengarangnya dalam perkara hadis dan sunat iaitu Jam'ul Jawaami' , maka saya berkata kepada Nabi SAW: Hamba akan bacakan sedikit daripada isi kitab itu, maka sabda nabi SAW: Bawalah kepada saya, hai guru hadis (Ya Syeikhul Hadis)."
Berkata Imam As Sayuti: " Mimpi itu suatu khabar gembira kepada saya lebih besar dari dunia dan seluruhnya."
Mari kita lihat, apa hadis kata tentang yaqazah.
HADIS PERTAMA
Diriwayatkan oleh Saidina Anas (r.a), iaitu :
حَدِيثُ أنس رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَتَمَثَّلُ بِي
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: " Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menjelma dengan rupaku ". { { Jami'e As-Soghir Imam Suyuthi : 8688 , Musnad Imam Ahmad : 3 / 269 , Sahih Al-Bukhari : 12 / 6994 , Sunan At-Tirmidzie : 4 / 2276 ) –HADIS HASSAN SAHIH.
HADIS KEDUA :
Diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah ialah dengan mempunyai tambahan kalimah : " FIL YAQODZAH " ...ertinya : " Di dalam keadaaan sedar ". Dan hadisnya secara teks aslinya adalah sebagai berikut :
حَدِيثُ أبي هريرة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسيرَانِي في اليقظة , و لَا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانَ بِي
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: " Barangsiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya, bererti dia akan dapat melihatku di dalam keadaan sedar. Sesungguhnya tidak boleh syaitan menjelma dengan rupaku ". { Jami'e As-Soghir Imam Suyuthi : 8690 , Sahih Al-Bukhari : 12 / 6993 , Sahih Muslim : 4 / 2266 . Sunan Abu Dawud : 4 / 5023 }. – HADIS SAHIH .
Dalam kitab Al-Bayan Lima Yashghalul Azhan tulisan Dr.Ali Jumaah, Mufti Mesir pada bab "Adakah mungkin dapat melihat Rasulullah secara yaqazah" pada muka surat 160 cetakan Muqattam, beliau mengemukakan hadis ini sebagai dalil harus yaqazah dan bermimpi melihat Rasulullah SAW.
HADIS KETIGA :
حَدِيثُ أَبِي قَتَادَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَآنِي فَقَدْ رَأَى الْحَقَّ
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang pernah melihat aku dalam mimpinya maka dia benar-benar melihat sesuatu yang benar { { Jami'e As-Soghir Imam Suyuthi : 8689, Sahih Al-Bukhari : 12 / 6996 , Musnad Ahmad 5 / 306 , Sahih Muslim 4 / 2267 }.
Dalam satu buku kecil karangan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang dikenali dengan ketinggian ilmunya, seorang ulamak Al-Azhar yang menuntut di Al-Azhar hingga berkhidmat di Masjid Al-Azhar sebagai Imam dan khatib selama hampir 50 tahun. Beliau menulis sebuah buku kecil bertajuk, As-Sirah An-Nabawiyah Al-Muhammadiyah (Sirah Nabi Muhammad).
Dalam buku ini pada "Fasal ke-21 iaitu Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w selepas Kewafatannya", beliau menyebut:
"Adapun hidupnya Rasulullah s.a.w selepas kewafatannya adalah telah sabit daripada kalangan huffaz hadis serta ulamak sabit dengan ayat Al-Quran tentang mati syahid. Maka berkata sekalian ulamak, "Hidup Rasulullah s.a.w sabit dan lebih aula (daripada syuhada').
Telah berkata ulamak Syanqiti (guru beliau): "Bahkan hidup Nabi Muhammad s.a.w diberikan lebih afdhal daripada hidup syuhada', ini jelas apabila Allah mengharamkan orang mukminin daripada mengahwini isteri-isteri Baginda s.a.w, juga tiada 'iddah kepada isteri-isteri Baginda selepas kewafatannya (sebagaimana yang dikenakan kepada wanita-wanita lain selepas kematian atau bercerai dengan suami) dan juga tidak boleh diwarisi harta Baginda s.a.w dan demikian itu menunjukkan ke atas sempurnanya hidup Baginda."
Pda muka surat 65, Syeikh Soleh menerangkan lagi:
"Telah mengkhabarkan Allah bahawa Dia berselawat ke atas Baginda s.a.w (sebagaimana dalam Surah al-Israk ayat 66) menunjukkan selawat Allah ke atas Baginda dengan menggunakan lafaz fiil mudhari' iaitu "yusalluna" yang membawa maksud "Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Nabi..."
Beliau seterusnya menulis:
"Nabi Muhammad s.a.w telah melihat Musa sembahyang di dalam kuburnya (pada malam Israk Mikraj). Telah sepakat ulamak bahawa telah sabit apa-apa yang berlaku kepada para Nabi adalah mukjizat selepas kewafatan mereka maka ia juga sabit berlaku kepada Nabi kita Muhammad s.a.w atas jalan aulawiyyah (iaitu lebih-lebih lagi Baginda adalah penghulu sekalian Rasul dan Nabi).
Telah melihat Nabi Muhammad s.a.w akan para Nabi secara yaqazah iaitu keadaan jaga (bukan mimpi) selepas kewafatan mereka (para Nabi), maka harus juga melihat Baginda s.a.w secara yaqazah dan banyak khabar dari orang-orang soleh aku dapati mereka melihat Rasulullah s.a.w secara yaqazah.
Seterusnya, Syeikh Soleh Jaafari menceritakan pada muka surat 81 dalam buku ini:
"Berkata Sayyid Ali bin as-Sanusi r.anhu (guru beliau serta anak murid Sayyid Ahmad bin Idris,pengasas Tariqat Ahmadiyah Idrisiyyah): Telah menceritakan Sayyid Ahmad bin Idris bahawa beliau bertalaqqi semua wirid-wiridnya dengan Rasulullah s.a.w secara yaqazah daripada Rasulullah s.a.w.
Adalah Sayyid Muhammad Uthman Al-Mirghani (syeikh tariqat Al-Mirghaniyah Al-Ahmadiyyah) berselawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam solatnya (ketika tahiyyat) dan dia berada di negara Habsyah. Dan Syeikh Uthman mendengar Rasulullah s.a.w menjawab salamnya.
Adalah Imam Sayuti membacakan hadisnya bersama Rasulullah s.a.w secara yaqazah sebagaimana disebut oleh ulamak-ulamak."
Dr.Ali Jumaah, Mufti Mesir yang masih hidup kini bertajuk "Al-Bayan Lima Yasghalul Azhan" (Keterangan Bagi Apa Yang Mengabui Pemikiran) cetakan Al-Muqatam. Dalam buku beliau ini, beliau cuba menerangkan segala permasalahan furu' yang dicetuskan oleh masyarakat kini termasuk persoalan bid'ah, tawassul, Maulid Rasul, ziarah kubur, hukum cukur janggut serta persoalan tentang wanita. Di dalam persoalan adakah Baginda Rasulullah masih hidup dalam maqamnya, beliau telah menulis satu bab pada muka surat 185 di bawah persoalan, "Hal Nabiyyi hayyun fi qabrihi, wa ma mada atharun tilkal hayat 'alaina fi hayatina duniya?" (iaitu Adakah Nabi Muhammad hidup di maqamnya dan apakah kesan kehidupan Baginda itu kepada kita yang hidup di alam dunia kini?)
Beliau menyebut pada muka surat 186 perenggan kedua:
"Telah sah bahawa para Nabi alaihimu salam beribadat kepada Tuhan mereka dalam kubur mereka. Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Telah berjalan daku kepada Musa pada malam Israk Mikraj, dan aku dapati dia (Nabi Musa) sedang berdiri menunaikan solat dalam kuburnya."
Daripada Nabi Muhammad s.a.w bersabda,"Para Nabi hidup dalam kubur mereka bersembahyang."
Hadis ini dikeluarkan oleh Addailami dalam musnad firdaus dalam jilid 1 muka surat 242 dan lain-lain.
Seterusnya Dr.Ali Jumaah membuat kesimpulan pada muka surat 187 katanya:
"Nabi Muhammad s.a.w hidup di dalam kuburnya dengan ruhnya serta jasadnya dan jasad Baginda yang mulia dipelihara oleh Allah sebagaimana saudara-saudaranya yang lain dari kalangan para Anbiya', iaitu dekat dengan Tuahnnya beribadat dalam kuburnya, sentiasa berhubung dengan umatnya,Baginda meminta ampun buat mereka (umat) serta memberi syafaat bagi mereka (umat) di sisi Allah dan juga Baginda menjawab salam daripada umatnya.
Sesiapa yang membohongi dan mengingkari hidup Nabi selepas kewafatannya, maka dia telah membohongi hadis yang kami sebutkan di atas..."
Begitulah, hadis sahih berkenaan yaqazah serta pandangan ulamak besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengenainya.
Al-Imam Asy-Syahid memperkatakan hal ini di dalam kitabnya yang terkenal : " RISALAH AT-TA'ALIM " , di bawah perbicangan Asas ke–3 daripada Usul-1, katanya :
و للإيمان الصادق و العبادة الصحيحة و المجاهدة نور و حلاوة يقذفها الله في قلب من يشاء من عباده . ولكن الإلهام و الخواطر و الكشف و الرؤى ليست من أدلة الأحكام الشرعية و لا تعتبر إلا بشرط عدم إصطدامها بأحكام الدين و نصوصه
Ertinya : Dan iman yang benar, ibadat yang sah, dan mujahadah, semuanya itu mempunyai cahaya dan kemanisan yang dicurahkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dihendaki-Nya. Manakala ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi itu BUKANLAH menjadi dalil kepada hukum-hakam syariat. Perkara-perkara tersebut hanya dapat diterima dengan syarat perkara-perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya.
Di antara ulama yang mengatakan atau mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam ::
1. Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki dalam Bahjah al-Nufus.
2. Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi al-Maliki dalam Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5. Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
6. Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
7. Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8. Imam ‘Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض الرياحين).
9. Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki dalam al-Madkhal.
10. Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya (قانون التأويل).
11. Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H) dalam kitab Lata’if al-Minan.
12. Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق عرى الإيمان).
13. Imam Tajuddin al-Subki.
14. Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة في أحوال الموتى وأمور الآخرة).
15. Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
16. Al-‘Allamah Ibn al-Tin
17. Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam al-Qawa’id al-Kubra.
18. Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Syama’il.
19. Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
20. Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
21. Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam beberapa kitabnya.
22. Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah.
23. Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir.
24. Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdullah al-‘Idrus (w. 1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril Qarnil ‘Asyir.
25. Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam al-Mufhim.
26. Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Laduniyyah.
27. Imam al-Baqillani.
28. Al-‘Allamah Sadruddin al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
29. Al-‘Allamah Burhanuddin al-Biqa’i dalam al-Hawi.
30. Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
31. Al-‘Allamah al-Maziri.
32. Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
33. Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Syarh Salawat al-Jaylani.
34. Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
35. Al-‘Allamah Syeikh Ibn ‘Allan al-Siddiqi.
36. Al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazi dalam kitabnya al-Kawakib al-Sa’irah.
37. Imam Syah Waliy Allah al-Dihlawi dalam al-Durr al-Thamin.
38. Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma’ani.
39. Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh Salawat al-Badawi.
40. Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur al-Wahhaj.
41. Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
42. Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dalam al-Solat ‘ala al-Nabiy.
43. Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani dalam Sa‘adah al-Darayn, Syawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil Auliya’.
44. Syeikh Badi‘ al-Zaman Sa‘id al-Nursi.
45. Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh al-Syama’il.
46. Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf.
47. Syeikh Abu al-Qasim Muhammad al-Hafnawi dalam Ta’rif al-Khalaf.
48. Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syeikhul Azhar.
49. Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
50. Al-‘Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki dalam al-Zakha’ir al-Muhammadiyyah.
51. Al-‘Allamah Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
52. Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah, Mufti Mesir dalam al-Bayan.
53. Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
54. Dr. Mahmud al-Zayn.
55. Datuk Seri Maharaja Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Brunei.
Ulamak-ulamak yang disenaraikan ini, level mereka BUKAN setaraf level DR MAZA atau Fathul Bari atau Asrie Sobrie. Malah kedudukan mereka dan keilmuan mereka adalah AMAT TINGGI berbanding ulamak PhD yang makhraj dan tajwid Al Quran tak betul.
KESIMPULANNYA :
1. Masalah mimpi bertemu ataupun beryaqazah melihat Baginda s.a.w ini, samalah dengan permasalahan karamah, ma'unah, kasyaf, ilham yang benar, mimpi yang hak dan yang seumpamanya. Yang mana semuanya ITU adalah ANUGERAH dan REZEKI daripada Allah Ta'ala ke atas beberapa individu dengan hikmah yang Allah Ta'ala yang Lebih Lagi Maha Mengetahui akan sebabnya. Oleh kerana itu adalah rezeki dan anugerah Allah Ta'ala, maka tidaklah selayaknya, orang yang diberikan mimpi sedemikian rupa, menceritakannya kepada orang lain dengan tujuan untuk RIYA' , TAKBUR, dan seumpamanya, apatah lagi jika ianya diceritakan dengan maksud untuk mengeksploitasi ataupun mempergunakannya dengan tujuan untuk menipu manusia ataupun melakukan apa-apa yang bertentangan dengan dasar-dasar syariat, terutamanya Al-Quran dan As-Sunnah ( al-Hadist ).
2. Mimpi bertemu ataupun beryaqazah melihat Baginda s.a.w ini juga merupakan satu perkara yang harus dan mungkin sahaja terjadi, samada di zaman dahulu , zaman sekarang ataupun bagi zaman yang mendatang. Dan ada mimpi yang perlu dita'abir ( dihuraikan ) dan ada pula yang tidak perlu dita'abir kerana mimpi itu jelas lagi terang.
3. Orang yang bertemu ataupun melihat Rasulullah s.a.w melalui mimpi , akan tetap bertemu secara sedar. Hadis ini secara umum memberikan peluang dan khabar gembira kepada setiap orang yang beriman bahawa mereka mempunyai peluang untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w di atas muka bumi ini ( ketika hidupnya Rasulullah s.a.w ) ataupun di hari akhirat kelak.
4. Orang yang bermimpi dan yang beryaqazah itu mestilah juga seorang yang jujur lagi adil ( ertinya ialah Islam ) dan tetap berpegang-teguh ( percaya ) dengan mimpinya itu lagi berpegang-teguh juga dengan ajaran-ajaran Islam, dan juga mestilah juga seorang yang waras dan berkeupayaan untuk menceritakan mimpi tersebut sebagaimana yang dialaminya.
5. Mimpi, yaqazah dan seumpama dengannya – sebagaimana telah disebut di atas – TIDAK BOLEH MENGHARAMKAN YANG HALAL ATAUPUN MENGHALALKAN YANG HARAM. Dan jauh sekali untuk mengubah syariat Islam yang telah sempurnah di zaman Baginda Rasulullah s.a.w !.
6. Mimpi ini dan juga yaqazah adalah anugerah dan rezeki daripada Allah Ta'ala untuk menambahkan lagi kekuatan iman dan berjuang di jalan Allah Ta'ala dan juga merupakan peneguh dan penambah kemanisan iman. Kemanisan iman ini bukanlah satu perkara yang boleh dimungkiri sebagaimana manisnya orang yang merasai makanan yang manis ataupun yang bergula.
7. Apabila terdapatnya perselisihan pendapat mengenai hal ini di kalangan muslimin, maka hendaklah diselesaikan dengan cara yang baik seperti berbincang dan bermuzakarah, bukannya dengan melontarkan tohmahan bahawa lawannya itu adalah orang yang telah menjadi ahli bid'ah ( mubtadi'e ) , kafir dan jauh sekali menjadi seorang yang musyrik !.
8. Masalah mimpi atau yaqazah seperti ini juga BUKANLAH MERUPAKAN USUL ATAUPUN RUKUN IMAN, yang menyebabkan boleh dikafirkan seseorang muslim yang agak kurang selesa untuk menerima hakikatnya !.
ALHAMDULILLAH
Saya sudah pun membentang persoalan yaqazah, bersama kitab-kitab yang ditulis oleh ulamak besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah beserta pandangan para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Andainya ada pihak yang rasa kurang senang dengan hujjah yang saya bawakan, saya menyusun jari sepuluh memohon ampun maaf, silalah datangkan dalil anda. Andainya bertepatan dalil anda, maka berlapang dadalah sesama kita kerana kita mempunyai hujjah dan dalil masing-masing. Tidak perlulah kita berdebat, malah kita rapatkan ukhwah dan terus maju ke hadapan dalam membangunkan masyarakat ke arah iman dan taqwa
No comments:
Post a Comment