Thursday, 19 October 2017

MENJAWAB FITNAH WAHABI : BERTABARRUK DENGAN CAPAL RASULULLAH SAW




Ulama' Maghribi kesemuanya bermazhab Maliki, dan majoriti ulama bermazhab Maliki berpendapat bahawa makruh mencium sesuatu dengan niat tabarruk melainkan barang yang telah disyariatkan seperti Hajarul Aswad. Jadi, adakah mencium lakaran contoh capal Nabi juga termasuk dalam perkara yang dimakruhkan disisi mereka?

Bagi menyingkap permasalahan ini, kita boleh merujuk syarah-syarah hadis berkenaan capal yang ditulis oleh Ulama' Maghribi. Cara yang paling mudah adalah dengan merujuk syarah-syarah kitab Syamail Muhammadiyah pada bab Na'al Nabi Shollallahu 'AlaihiWasallam. Terdapat lebih dari 20 buah syarah yang dikarang oleh ulama'-ulama' Maghribi, dan kebanyakannya masih dalam bentuk manuskrip, namun saya berjaya menemui satu naskhah kitab berjudul الفوائد الجلية البهية على الشمائل المحمدية yang dikarang oleh Al-Allamah Al-Muhaqqiq Sidi Muhammad Bin Qasim Jasus Al-Fasi (wafat 1182H). Beliau merupakan pengarang syarah Mukhtasar Khalil (fiqh Maliki) dan Syarah Kabir bagi Kitab Hikam Ibn Atho'illah (dikatakan syarah Kitab Hikam yang paling luas perbahasannya).

Beliau menyebut dalam syarah Syamail Muhammadiyah:

"Telah berkata Isa Bin Thohman: Anas Bin Malik telah mengeluarkan kepada kami sepasang capal yang lama, ada dua tali bagi kedua-dua capal tersebut. Brkata Ibnu Thohman: maka Tsabit telah menceritakan kepada kami selepas majlis tersebut (atau selepas dikeluarkan capal tersebut) daripada Anas: Sesungguhnya keduanya itu dahulunya adalah capal Nabi Shollallahu 'Alaihi Wasallam."
....
Di dalam hadis tersebut terdapat kesunnahan memelihara barang tinggalan para solihin dan kesunnahan bertabarruk dengannya. Dan telah tetaplah riwayat dari Ibnu Umar, Anas, dan ramai dari kalangan sahabat berkenaan tabarruk dengan peninggalan Nabi.
....
Dan terdapat pada sayyidina Anas mangkuk Nabi, pada sayyidatina Aisyah pakaian Nabi, pada sayyidina Muawiyah dan selainnya rambut Nabi...dan semua yang demikian itu adalah dengan tujuan mengambil berkat.
....
dan diriwayatkan bahawa Imam Ahmad membasuh pakaian Imam Syafie dan meminum air dari basuhan pakaian tersebut...jikalau perkara sebegini dikira sebagai memuliakan ahli ilmu, maka bagaimanakah kadar memuliakan sahabat? Dan bagaimana pula kadar memuliakan Penghulu sekalian makhluk Sayyidina Muhammad?

Telah berkata Majnun Laila:
أمر على الديار ديار ليلى *** أقبل ذا الجدار وذا الجدارا
وما حب الديار شغفن قلبي *** ولكن حب من سكن الديار
Aku berjalan ditepi rumahnya Laila *** Aku mencium dinding ini dan ini
Bukanlah cinta pada rumah yang menimpa hatiku *** namun kecintaan pada si dia yang mendiami rumah itu

Kemudian beliau meneruskan perbahasan dalam kitab tersebut:

Termasuk dalam bertabarruk adalah tabarruk dengan misalan (contoh) capal Nabi yang dilakar, dan mencium lakaran tersebut, dan menggambarkan capal yang asal tatkala melihat lakaran tersebut. Maka barangsiapa yang amat inginkan untuk bertabarruk dengan capal Nabi namun tidak mendapatinya, bolehlah dia bertabarruk dengan misalan capal Nabi. Yang demikian itu, sama seperti bertabarruk dengan misalan hari kelahiran Baginda pada setiap tahun. (Ini kerana hari ulang tahun kelahiran Baginda bukanlah hari kelahiran Baginda yang sebenar, tetapi ia hanyalah misalan bagi hari tersebut. - tambahan penterjemah)
....
Dan pendapat kebanyakan ulama khususnya Malikiyyah adalah makruh mencium sesuatu dengan niat tabarruk melainkan barang yang telah disyariatkan seperti Hajarul Aswad. Telah berkata Al-Imam Al-Maqqari: boleh jadi para imam dan pembesar mazhab Maliki yang mencium gambaran capal (yang mana mazhab mereka memandang makruh perkara itu), mereka itu bertaqlid kepada pendapat ulama'-ulama' ummah (dari mazhab yang lain).

Beliau kemudiannya menaqal kata-kata Syeikh Zaruq Al-Fasi berkaitan riwayat Sayyidina Umar memotong pokok di mana Bai'ah Ridhwan diadakan kerana takut pokok tersebut disembah, atau dijadikan seperti Zat Anwath, sebuah pohon yang digantung padanya benang-benang dan selainnya untuk memohon pertolongan pada zaman jahiliyyah. Berkata sahabat kepada Rasulullah: Ya Rasulallah, kalaulah tuan jadikan bagi kami Zat Anwath.. Nabi bersabda: perkara itu tidak lain tidak bukan seperti Bani Israel yang memohon agar dijadikan bagi mereka tuhan seperti tuhan-tuhan golongan yang lain.

Dua riwayat ini berkemungkinan untuk dijadikan dalil larangan menjadikan lakaran capal untuk bertabarruk, namun hakikatnya bukanlah seperti yang demikian. Bahkan kedua-dua riwayat itu adalah dalil pengharaman bagi perkara yang ada asalnya dari ibadah jahiliyyah...

****
Kesimpulan dari perbahasan ini:

1. kita dapati para salafus soleh membolehkan bertabarruk dengan barang peninggalan Nabi.
2. Syeikh Jasus (dari kalangan khalaf) pula berpendapat lakaran capal juga diterima untuk bertabarruk. Hukum ini bersandarkan kepada qiyas yang telah disebut diatas.
3. Berdasarkan kata-kata Imam Maqqari kita dapati para alim ulama dari mazhab Maliki bertaqlid kepada ulama' selain mereka dalam masalah ini (yang mana kebanyakan ulama tersebut adalah Syafiiyyah), oleh itu apakah alasan kita sebagai orang awam yang jahil untuk tidak bertaqlid kepada ulama' kita sendiri?
4. Selain itu, larangan yang terdapat dalam dua riwayat diatas tidaklah bersesuaian dengan masalah ini seperti yang telah dihuraikan oleh Syeikh Zaruq.

Wallahua'lam.

*Terjemahan dan olahan dari Kitab Al-Fawaid Al-Jaliyyah ms/103-105.

No comments:

Post a Comment