Friday, 8 May 2020

MUTIARA KATA MAULANA HUSSEIN ABDUL KADIR AL-YUSUFI




MUTIARA KATA MAULANA HUSSEIN ABDUL KADIR AL-YUSUFI

“Kenapakah kitab jawi kita tidak disebut sanad dan rujukan hadis?”

Soalan ini pernah ditanyakan kepada panel dalam satu seminar yang pernah diadakan di Kelantan suatu ketika dulu.

Namun tidak dijawab oleh panel lain melainkan Maulana Hussein Abdul Kadir Al-Yusufi yang merupakan salah seorang panel ketika itu.

Sebelum memberikan jawapan, Maulana Hussein memberitahu suasana wujudnya kitab Misyakat Al-Masobih.

1. “Sebelum ini kitab ini ditulis oleh Imam Al-Baghawi dengan nama Al-Masobih yang mana hanya mendatangkan hadis terus dengan Qaala Rasulullah (matan sahaja tanpa diterangkan nama sahabat yang meriwayakan dan rujukan kitab seperti rawahu Al-Bukhari dan sebagainya)”

2. “Namun, masyarakat semasa itu tidak mempertikai hal ini, kerana masyarakat umat Islam ketika itu begitu yakin amanah ilmiah dan thiqahnya Imam Al-Baghawi itu. Inilah sikap masyarakat yang benar-benar menghargai para ulama”.

3. “Apabila beliau buat kitab begitu, sesetengah individu yang terkemudian timbulkan persoalan hadis-hadis dalam Al-Masobih itu takut ada dhaif atau maudhu’.”

4. “Ketika itu, Allamah At-Tibi menyuruh muridnya Imam Khatib At-Tibrizi menyempurnakan sanad dan rujukan kitab bagi hadis-hadis itu.”

5. “Hadis yang mana beliau tidak jumpa, beliau tinggalkan kosong dengan hanya tulis rawahu (meriwayatkan oleh) kemudian dia pesan, sesiapa yang jumpa cari hadis-hadis itu tolong isikan ditempat kosong hadis itu. Itulah sifat para ulama yang menjaga amanah ilmiah dan tidak menyalahkan hadis-hadis yang dia tidak jumpa cari itu dengan mengatakan La Asla Lahu (Tiada asal baginya).”

6. “Kemudian datang seterusnya Imam Al-Baihaqi dan Imam Mirak Shah (cucu Imam Khatib At-Tibrizi) mengisikan tempat-tempat kosong yang ditinggalkan oleh Imam Khatib At-Tibrizi itu. Kitab yang telah siap disemak oleh Imam Khatib At-Tibrizi itu dinamakan kitab Misykat Al-Masobih”. Kisah selengkapnya rujuk di Muqaddimah Kitab Misykat Al-Masobih.

7. “Begitulah juga semasa Syeikh Daud mengarang kitab-kitab jawi dengan cara menulis hadis tanpa sanad itu tidak dipersoalkan oleh masyarakat semasa ketika itu disebabkan mereka yakin dengan amanah ilmu dan thiqahnya Syeikh Daud. Kemudian hari, muncul individu yang suka mengkritik kitab-kitabnya tanpa membantu dan menyempurnakan ketinggalan oleh Syeikh Daud seperti mana Imam Khatib At-Tibrizi menyempurnakan kitab Al-Masobih itu.”

8. “Oleh yang demikian, kita yang hidup pada masa sekarang perlu membuat kerja sedemikian bagi kitab para ulama jawi kita.”

Ketika kami menanyakan kisah ini kepada Maulan Hussein, beliau menambah lagi dengan katanya:

“Alhamdulillah sekarang, usaha-usaha sebegini mula dilihat melalui penulisan Baba Abu Qutaibah Rasyidi Al-Fathaniy (Mudir Pondok Tepus) seperti Tahqiq Al-Wafi Ala Muniyyatil Musolli (lengkap satu jilid tebal), Idhah Al-Misbah Fi Syarhi Wishah Al-Afrah (lengkap dua jilid tebal) dan Umdah Al-Ahbab Fi Tahqiq Bughyah At-Tullab (empat jilid telah diterbitkan selebihnya masih dalam penulisan) yang dipenuhi dengan takhrij hadis, darjat dan penerangan berkaitan hadis-hadis yang telah dinuqilkan oleh Syeikh Daud Al-Fathaniy.”

“Kerja-kerja sebegini sepatutnya semakin digiatkan dalam ilmuan-ilmuan terkini terutama bagi mereka yang mengkhususi pengajian hadis.”

"Saya (Maulana Hussein) amat menghargai usah-usaha murni Baba Abu Qutaibah. Semoga Allah mencurahkan rahmat keatas nya."

Disediakan oleh: Hafiz Al-Za'farani (HAZA)

No comments:

Post a Comment