Paparan hadis-hadis berkenaan Imam Mahdi Al Muntazar.
18. Diriwayatkan daripada Ibn Sirin daripada Abi Al Jalad katanya, “Fitnah akan berlaku kemudian akan disusuli oleh fitnah yang lain pula. Fitnah yang kemudian lebih hebat daripada sebelumnya, bagaikan cemeti disusuli mata pedang. Kemudian berlaku pula satu fitnah yang lain. Ketika itu tidak ada satu pun perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. melainkan dihalalkan. Kemudian manusia akan berhimpun pada orang yang paling baik di antara mereka iaitu seorang yang tandanya akan datang kepadanya dengan mudah (dengan sendiri) ketika mana dia berada di rumahnya.” Perawi-perawi hadis ini semuanya tsiqah. (Musannnaf Abdul Razzak Jilid 11 Mukasurat 372)
19. Daripada Jaabir bin Abdillah katanya, “Ada seorang imam akan memimpim (di akhir zaman nanti). Dia tidak mengira (membilang) wang yang diberikan kepada orang ramai tetapi mengaut (wang untuk diberikan kepada mereka).” (Ibid Jilid 11 Mukasurat 372) Hadis ini sahih.
Maulana Habiburrahman A’zami di dalam hasyiahnya menulis bahawa hadis ini dikeluarkan oleh Al Bazzar dan Muslim daripada Abi Sa’id dan Jabir. Walaupun hadis ini mauquf tetapi ulamak hadis sepakat mengatakan sesuatu yang tidak dapat ditanggap dengan qias diceritakan oleh sahabat adalah menyamai hadis marfu’ atau dikira sebagai hadis marfu’ apalagi jika dilihat bahawa hadis ini ada diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri secara marfu’ juga kendatipun tidak disebutkan nama atau gelaran di dalam hadis tersebut tetapi tindakan Abdul Razzak, Muslim dan lain-lain memasukkan hadis ini dalam Bab Kemunculan Mahdi maka ia menunjukkan bahawa lafaz “Imam” yang dimaksudkan didalam hadis ini ialah Al Mahdi.
20. Diriwayatkan daripada Ali bin Abdillah bin Abbas katanya, “Al Mahdi tidak akan muncul selagi tidak terbit sesuatu tanda bersama matahari.” (Ibid Jilid 11 Mukasurat 373)
21. Abu Sa’id Al Khudri berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Terimalah berita gembira denngan kedatangan Al Mahdi. Ia adalah dari Quraisy dari anak cucuku. Dia keluar ketika mana perselisihan di kalangan manusia berleluasa dan banyak gempa bumi berlaku. Dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Penghuni bumi dan langit senang dengannya. Dia akan membahagikan-bahagikan harta dengan adil dan sama rata. Dia akan memenuhi hati manusia dengan rasa puas hati dan akan mengisi mereka dengan keadilan sehingga dia menyuruh orang yang menyeru, menyerukan, “Setiap yang ada hajat datanglah kepadaku.” Maka tidak ada yang datang melainkan seorang sahaja. Orang itu pun pergi meminta (sesuatu) darinya. Dia lantas berkata, “Pergilah kepada penjaga gedung untuk diberikan olehnya kepadamu.” Orang itu pun pergilah kepada penjaga gedung dan berkata, “Saya dihantar oleh Al Mahdi kepadamu untuk diberikan harta.” Penjaga gedung itu pun berkata, “Kautlah!” Orang itu pun terus mengaut tetapi tidak berdaya membawanya langsung ia meletakkan dan membawa sekadar yang termampu olehnya. Dia pun keluar. Setelah keluar dia menyesal dan berkata, “Akulah orang yang paling tamak dari ummat Muhammad ini. Semua orang dipanggil untuk mengambil harta tetapi tiada sesiapapun selainku mengambilnya. Maka dia mahu mengembalikannya kepada penjaga gedung harta yang diambilnya. Penjaga gedung itu pun berkata, “ Bila kami memberikan sesuatu kami tidak akan mengambilnya lagi.” Dia (Al Mahdi) hidup dalam keadaan ini selama 7 atau 8 atau 9 tahun dan tidak ada kelebihan lagi kehidupan sesudahnya.” (Mudtakhab Kanzul Ummal di tepi Musnad Imam Ahmad Jilid 6 Mukasurat 29)
22. Daripada Tsauban katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila kamu lihat panji-panji hitam dari pihak Khurasan maka pergilah kepadanya kerana di situ ada Khalifah Allah Al Mahdi.” (Ibid Jilid 5 Mukasurat 177)
23. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesudahku ada beberapa orang khalifah dan sesudah beberapa orang khalifah itu akan ada beberapa orang Amir, sesudah Amir itu akan ada beberapa orang Raja dan sesudah beberapa orang Raja itu akan ada beberapa orang Diktator. Kemudian akan keluar seorang dari ahli rumahku. Ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ia sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman. Selepasnya akan memerintah seorang Qahthaaniy maka demi Tuhan yang mengutuskan daku dengan sebenar! Tidaklah ia kurang daripadanya (Al Mahdi).” (Ibid Jilid 6 Mukasurat 300)
24. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seorang lelaki akan dibai’ahkan di antara Rukun dan Makam. Baitullah ini tidak akan dihalakan oleh sesiapa pun untuk berperang padanya. Bila manusia menganggap halal berperang padanya, maka semua akan binasa. Kemudian akan datang orang Habsyah, mereka semua akan merobohkan Baitullah ini sehingga tidak dapat dibangunkan lagi buat selama-lamanya. Merekalah yang mengeluarkan gedungnya.” (Ibid Jilid 6 Mukasurat 32)
25. Daripada Ali r.a. katanya, “Al Mahdi tidak akan muncul selagi sebahagian kamu tidak meludah ke muka sebahagian yang lain.” (Ibid Jilid 6 Mukasurat 33)
26. Daripada Ali r.a katanya, “Bila keluar tentera Sufyaani di Kufah maka ia akan dihantar untuk mencari penduduk Khurasan dan orang-orang Khurasan yang akan keluar mencari Al Mahdi. Mereka akan bertemu dengan kumpulan yang menjulang panji-panji hitam dan bertemu dengan Al Hasyimi. Pasukan tentera itu akan dikepalai oleh Syu’ib bin Soleh. Peperangan di antara Hasyimi dan Sufyaani akan berlaku di pintu Istakhar dengan hebat sekali tetapi akhirnya kumpulan bendera hitam dapat mengalahkan tentera Sufyaani. Tentera Sufyaani akan cabut lari. Pada ketika itu ramai orang yang mencita-citakan Al Mahdi dan mereka mencarinya.” (Ibid Jilid 6 Mu kasurat33)
27. Daripada Ali r.a. katanya, “Al Mahdi itu adalah seorang pemuda Quraisy yang berkulit putih kemerahan dan bertubuh kemas.” (Ibid Jilid 6 Mukasurat 24)
28. Daripada Ali r.a katanya, “Akan dihantar tentera ke Madinah. Mereka akan menangkap keluarga Nabi s.a.w. dan akan dibunuh ramai daripada lelaki dan perempuan Bani Hasyim. Ketika itu Al Mahdi dan Mubayyidh akan lari dari Madinah dan Mekah.” (Ibid Jilid 6 Mukasurat 33)
29. Imam Ahmad, Tirmizi dan Nu’aim bin Hammad menukilkan dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Akan keluar daripada Khurasan panji-panji hitam. Tidak ada satu apa pun akan dapat menahannya sampailah panji-panji itu dipacak diatas Ilya’.” (Al Hawi Li Al Fatawi Jilid 2 Mukasurat 60)
30. At Tabrani menukilkan di dalam Mu’jam Al Ausath daripada Ibnu Umar bahawa Nabi s.a.w. pernah memegang tangan Ali r.a. seraya berkata, “Akan keluar dari sulbi dia ini (dari keturunannya) seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan. Bila kamu lihat keadaan itu hendaklah kamu ikuti pemuda At Tamimi. Dia akan datang dari Timur dan dialah yang memegang bendera Al Mahdi.” (Ibid Jilid 2 Mukasurat 62)
31. Abu Nua’im meriwayatkan daripada Jaabir katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Isa anak Maryam akan turun. Maka berkatalah pemimpin mereka, Al Mahdi, “Silalah menjadi imam sembahyang untuk kami!” tetapi Nabi Isa berkata, “Sesungguhnya sebahagian kamu adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain (Baginda menyatakan begitu sebagai menyatakan penghormatan Allah kepada ummat ini)”. (Ibid Jilid 2 Mukasurat 64)
32. Ibn Majah, Ar Ruyani, Ibn Khuzaimah, Abu ‘Awaanah, Haakim dan Abu Nua’im meriwayatkan daripada Abi Umamah katanya, “Pernah Rasulullah s.a.w. berucap di hadapan kami. Baginda menyebutkan dajjal dan juga bahawa Madinah akan menolak kekotoran daripadanya sebagaimana penyembur api menolak kotoran daripada besi, hari itu dipanggil hari pembersihan. Ummu Syarik bertanya “Di manakah oramg-orang Arab pada masa itu ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Mereka pada masa itu sedikit dan Imam mereka ialah Al Mahdi, seorang lelaki yang soleh. Sedang Imam mereka tampil ke hadapan untuk menjadi Imam sembahyang Subuh tiba-tiba turun kepada mereka Isa Ibn Maryam pada waktu subuh itu. Imam itu pun undur kebelakang supaya Isa tampil ke hadapan (untuk menjadi imam). Maka Isa pun meletakkan tangannya diantara dua belikat Imam itu kemudian berkata kepadanya, “Pergilah ke hadapan dan imamkanlah sembahyang kerana iqamat tadi untukmu. Maka Imam mereka itulah yang menjadi imam sembahyang kepada mereka”. (Ibid Jilid 2 Mukasurat 65)
33. Daraqutni menukilkan dalam sunannya daripada Muhammad bin Ali katanya, “Sesungguhnya Mahdi kita itu mempunyai dua tanda yang tidak pernah terjadi semenjak Allah s.w.t menjadikan langit dan bumi. Bulan gerhana pada malam pertama bulan Ramadhan kemudian matahari pula gerhana pada pertengahan bulan Ramadhan itu. Kedua-dua tanda ini tidak pernah berlaku semenjak Allah s.w.t. menjadikan langit dan bumi”. (Sunan Ad Daraqutni Jilid 2 Mukasurat 65)
34. Abu Nua’im meriwayatkan dari Abi Umamah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Di antara kamu dan orang-orang Rom akan berlaku 4 kali perdamaian. Pada kali keempatnya berlaku di tangan salah seorang daripada keluarga Hiraqlu. Perjanjian itu berterusan selama 7 tahun”. Ada seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah! Siapakah Imam orang ramai (orang Islam) pada hari itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Al Mahdi daripada anak cucuku. Dia berumur 40 tahun, mukanya bagai bintang yang bersinar-sinar, di pipi sebelah kanannya terdapat tahi lalat hitam, dia memakai dua jubah Qatwaniyyah bagaikan pemuda Bani Israel. Dia mengeluarkan gedung-gedung dan menakluk negeri-negeri syirik”. (Al Hawi Li Al Fatawi Jilid 2 Mukasurat 66)
35. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Muhammad bin Al Hanafiyyah katanya, “Akan keluar panji-panji hitam anak cucu Al Abbas. Kemudian keluar daripada Khurasan panji-panji hitam yang lain. Songkok mereka hitam, pakaian mereka putih. Mereka dipimpin oleh pemuda yang dipanggil Syua’ib bin Soleh daripada Bani Tamim. Mereka akan mengalahkan tentera Sufyaani sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis. Dia meratakan jalan untuk kekuasaan Al Mahdi dan membantunya dengan 300 orang tentera daripada Syam. Jarak masa di antara keluarnya dengan masa ia menyerahkan kepimpinan kepada Al Mahdi ialah 72 bulan.” (Ibid Jilid 2 Mukasurat 68)
36. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Alqamah katanya, “Akan keluar membawa panji-panji Al Mahdi seorang anak muda, nipis janggutnya, kuning warna kulitnya. Jika dia memerangi gunung akan bergoyanglah gunung hingga sampai ke Ilya’ (di Palestin).” (Ibid Jilid 2 Mukasurat 68)
37. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Sayyidina Ali r.a. katanya, “Bendera-bendera akan keluar untuk memerangi tentera Sufyaani. Di kalangan mereka ada pemuda Bani Hasyim. Di tapak tangan kirinya ada tanda. Tenteranya diketuai oleh seorang dari Bani Tamim dipanggil Syua’ib bin Soleh. Dia akan mengalahkan tentera-tentera Sufyaani”. (Ibid Jilid 2 Mukasurat 69)
38. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud katanya, “Bila terhenti perdagangan dan jalan-jalan fitnah banyak berlaku, akan keluarlah 7 orang ulamak dari pelusuk dunia yang berlainan (tempatnya) dengan tidak berjanji. Setiap orang dari mereka dibai’ahkan oleh tiga ratus dan belasan orang lelaki sehinggalah mereka berjumpa di Mekah. Maka bertemulah 7 orang itu. Sebahagian mereka bertanya kepada sebahagian yang lain, “Apakah yang membuatkan kamu datang ke sini?” Mereka berkata, “Kami datang mencari orang yang sepatutnya fitnah-fitnah ini tenang di tangannya dan Konstantiniyyah akan ditaklukinya. Kami mengenalinya dengan namanya, nama ayahnya, nama ibunya dan tenteranya. Maka ketujuh orang ulamak itu bersepakat di atas perkara tersebut. Mereka pun mencarinya dan menemuinya di Mekah. Mereka berkata kepadanya, “Engkaulah fulan bin fulan?” Dia menjawab “Tidak; Bahkan saya adalah daripada Ansar”. Sehinggalah dia melepaskan diri dan lari daripada mereka. Tujuh orang ulamak itu pun menggambarkan sifat-sifatnya kepada orang-orang yang mengetahui tentangnya dan mengenalinya, maka dikatakan, “Itulah orang yang kamu cari! Dia sudah pergi ke Madinah”. Mereka pun pergi mencarinya di Madinah tetapi dia melarikan diri pula. Mereka datang pula ke Mekah mencarinya dan menemuinya lalu berkata, “Engkau fulan bin fulan? Ibumu fulanah binti fulan? Padamu ada tanda begini….begini….engkau telah melarikan diri daripada kami sekali. Sekarang hulurkanlah tanganmu untuk kami berbai’ah denganmu.” Dia berkata, “Aku bukan orang yang kamu cari itu!” Sehingga ia melarikan diri daripada mereka. Mereka mencarinya semula di Madinah, dia pula datang ke Mekah. Kemudian mereka menemuinya di Mekah dekat Rukun dan Maqam. Mereka pun berkata kepadanya, “Engkaulah tangggung dosa kami dan darah-darah kami dipikul olehmu jika engkau tidak hulurkan tanganmu untuk kami berbai`ah denganmu. Ini tentera-tentera Sufayaani telahpun menghadap untuk mencari kita. Mereka dipimpin oleh seorang lelaki daripada Hiram”. Maka dia pun duduk di antara Rukun dan Makam Ibrahim serta menghulurkan tangan lalu dibai’ahkan kepadanya. Ketika itu Allah campakkan perasaan kasih sayang kepadanya di dalam hati manusia dan dia pun bersama golongan yang bagaikan singa-singa di waktu siang dan bagaikan rahib-rahib di waktu malam.” (Ibid Jilid 2 Mukasurat 72)
39. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Abi Thufail bahawa Rasulullah s.a.w. menggambarkan sifat Al Mahdi. Baginda s.a.w. menyebutkan bahawa terdapat sedikit kegagapan pada lidahnya. Bila dia terlambat untuk mengatakan sesuatu (kerana gagap) dia akan memukul peha dengan tangan kanannya. Namanya seperti namaku dan nama ayahnya seperti nama ayahku.” (ibid Jilid 2 Mukasurat 73)
40. Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Ali r.a. daripada Nabi s.a.w. sabda Baginda, “Mahdi itu adalah seorang daripada cucuku. Dia akan berperang mengikut sunnahku sebagaimana aku berperang mengikut wahyu”. (Ibid Jilid 2 Mukasurat 74)
InsyaALLAH kita akan mengupas ciri-ciri serta peranan Imam Mahdi Al Muntazar berdasarkan hadis-hadis yang dipaparkan dalam penulisan yang akan datang.
To be continue
Madrasah Darus Syifa, Tampin
15 Ramadhan 1433H / 4 Ogos 2012
4.52am
No comments:
Post a Comment