Ilmu Tauhid : Qudrat Part 13

Sifat wajib bagi ALLAH yang ketujuh yang wajib dipelajari oleh setiap muslim yang mukallaf adalah QUDRAH.
Adapun sifat yang wajib bagi ALLAH Taala ialah Qudrah ertinya berkuasa. Erti berkuasa ALLAH Taala itu ialah sifat yang mudah bagi-NYA mengadakan atau meniadakan segala yang baharu. Segala yang baharu adalah jirim, jisim dan aradh. ALLAH Taala mencipta segala yang baharu itu muafakat dengan sifat IradahNYA iaitu sifat berkehendak bagi menentukan dan sifat ilmu iaitu mengetahui.
Bagaimanakah ketiga sifat itu saling berfungsi? Ia berturutan mengikut aturan. Pertama ALLAH Taala dengan sifat ilmu-NYA, DIA mengetahui sesuatu itu keadaan-NYA samada akan diujudkan atau tidak. Maka apabila ALLAH Taala mengetahui sesuatu itu akan diujudkan-NYA, maka DIA menentukan pula hakikat sesuatu itu apabila akan diujudkan dan setelah diujudkan. Dan aapabila telah ditentukan-NYA untuk diujudkan, maka ALLAH Taala pun mencipta sesuatu itu dengan Kuasa-NYA.
Bahasa pasarnya, upto ALLAH untuk buat atau tak mahu buat makhluk ni. Kalau ALLAH hendak buat, ALLAH akan buat. Kalau ALLAH tak mahu buat, ALLAH takkan buat. ALLAH akan buat berdasarkan apa yang ALLAH nak bukan berdasarkan apa yang makhluk hendak.
Namun harus diketahui dengan sebaik-baikNYA bahawa turutan ini bukanlah atas dasar masa, seperti semalam diketahui-NYA, hari ini ditentukan-NYA dan esok dicipta-NYA. Turutan ini hanyalah pandangan bathin orang yang arif untuk melihat tamthil fungsi sifat ilmu, sifat iradah dan sifat Qudrah ALLAH Taala dalam penciptaan alam.
Adapun ALLAH Taala mencipta segala yang baharu yakni alam adalah semata-mata dengan zat-NYA Yang Berkuasa. ALLAH Taala tidak mencipta alam ini dengan tenaga, atau dengan bantuan yang lain, atau dengan peralatan, melainkan semata-mata dengan zat-NYA yang Qadim Yang Maha Bekuasa. Jika ALLAH Taala mencipta sesuatu yang baharu yakni alam ini dengan tenaga, atau dengan bantuan, atau dengan peralatan, maka ia mustahil. Kerana yang menggunakan tenaga, menggunakan peralatan dan dengan bantuan adalah makhluk yang baharu. ALLAH Taala adalah bersalahan dengan sesuatu yang baharu (Qiamuhuubinafsih).
Segala yang baharu
Adapun yang baharu itu terbahagi kepada empat perkara iaitu:
1) Ia ujud pada masa ini seperti ujud manusia, haiwan, tumbuhan dan alam maya sekarang ini.
2) Ia telah tiada ujud pada masa ini seperti masa yang telah berlalu atau orang yang telah meninggal dunia.
3) Ujud ia pada pada masa akan datang seperti akan lahir anak, akan berlaku Qiamat, atau setiap orang akan mati.
4) Yang baharu pada azali yang diketahui oleh ALLAH Taala patut ditiadakanNYA. Seperti iman orang yang mati dalam kekafiran, dia pada hukum akal mungkin beriman dan mungkin tidak. Tetapi ALLAH Taala telah mengetahu sejak azali lagi bahawa orang itu sendiri yang mahu tetap di dalam kekafiran walaupun telah didakwahkan, maka ALLAH Taala menetapkan dia mati dalam kekafiran kerana kemahuannya sendiri itu.
Takluk sifat Qudrah
Apakah erti takluk? Takluk pada istilah theology Tauhid ialah tuntut sifat kepada pekerjaan yang lebih lagi setelah ia ujud di atas Zat. ErtiNYA sifat ALLAH Taala tidak hanya maujud bergantung kepada Zat sahaja tetapi ia mempunyai fungsi tersendiri yang lebih lagi.
Adapun takluk Qudrah itu kepada yang baharu sahaja. Yang baharu adalah alam dan segala isinya. Ertinya Qudrah mencipta seseuatu yang baharu daripada tiada kepada ada dan meniadakan daripada ada kepada tiada. Ertinya tidak mustahil manusia beranak kerana ALLAH Taala juga yang mencipta manusia dan sifat manusia itu beranak. Dan seperti lagi harus ALLAH Taala mencipta alam kerana dikehendaki-NYA dan jika tidak dikehendaki-NYA harus tiada Dia mencipta alam ini.
Adakah Qudrah takluk ia kepada yang mustahil pada adat? ContohNYA apakah ALLAH Taala berkuasa menjalankan manusia ke angkasa tanpa alat seperti kapal angkasa? Apakah israk mi’raj itu memang berlaku? Jawabnya YA, kerana jika tidak takluk pada yang mustahil pada adat alam maka lemahlah ALLAH Taala, dan ia adalah mustahil bagi ALLAH Taala lemah. Jika lemah ALLAH Taala tidaklah layak disebut Tuhan dan tidak lagi ia menepati definasi hakikat ketuhanan. Cuma amat jarang berlaku kerana yang mustahil pada adat itu juga ciptaan ALLAH Taala dan DIA jugalah yang menentukan fitrah mustahil pada adat itu. Contoh perkara mustahil pada adat ialah mustahilnya unta masuk ke dalam lubang jarum. Ia hanya berlaku jika lubang itu lebih besar dari unta.
Adapun perkara mustahil yang berlaku menyalahi adat itu khusus dinamakan mukjizat Nabi dan Rasul. Contohnya ialah keluarnya air dari celah jari Nabi Muhammad. Mustahil pada adatnya jari manusia boleh memancarkan air. Namun inilah maksud Qudrah ALLAH Taala juga takluk kepada yang mustahil pada adat kejadian alam tetapi dalam kes yang dinamakan mukjizat. Dan mukjizat ini tidak berlaku kepada semua makhluk melainkan Nabi dan Rasul. Bagi selain dari Nabi dan Rasul ia dinamakan karomah dan maunah atas jalan yang sama tetapi berlainan fungsi tujuan. Karomah ialah perkara luar biasa yang berlaku kepada aulia’ALLAH, contohNYA ia berjalan di atas air yang mana pada adatnya mustahil. Maunah pula berlaku kepada orang biasa seperti contohnya seseorang yang dilanggar lori yang pada adatnya harus dia mati tetapi selamat ia.
Maka mustahilnya berlaku unta masuk ke lubang jarum yang sangat kecil, keluar air dari jari Rasulullah SAW, berjalannya di atas air dan hidup dilanggar lori adalah juga ketentuan yang diciptakan ALLAH Taala. Maka jika ada orang yang mempersoalkan jika ALLAH Taala tidak menjadikan unta boleh masuk ke dalam lubang jarum yang kecil, maka ALLAH Taala tidak mutlak kuasaNYA, maka jawabnya ialah semua itu adalah ketetentuan dan kehendak-NYA juga. Ertinya ALLAH Taala menentukan unta tidak boleh masuk ke lubang jarum atas jalan mustahil pada adat dan keluar air dari jari Rasulullah SAW atas mukjizat.
Dalil al-Quran bahawa Qudrah takluk kepada yang mustahil pada adat ialah Firman ALLAH Taala bermaksud “Sesunggunya, apabila ALLAH Taala menghendaki mengadakan sesuatu maka berfirman DIA, jadilah. Maka jadilah sesuatu itu”. (Surah Yaasin : 82)
Dan Qudrah tidak takluk ia kepada yang mustahil pada zat peribadi ALLAH Taala sendiri. Ertinya Qudrah itu tidak mencipta zat peribadi ALLAH Taala, dan tidak mencipta sifat lain seperti Qudrah mencipta sifat Kalam, atau Qudrah mencipta Sama’ dan sebagaiNYA dari sifat ALLAH Taala yang lain.
Takluk sifat Qudrah itu kepada enam perkara iaitu:
1. Keadaan sepatutnya sesuatu itu pada azali samada ALLAH Taala menghendaki mengadakannya atau tidak.
2. Keadaan sesuatu yang sudah tentu samada dikehendaki ALLAH Taala ujud maka akan diujudkannya dan jika sebaliknya maka tidak diujudkannya.
3. Mengujudkan sesuatu itu secara tunai.
4. Keadaan sesuatu itu ketika telah ujudnya, jika dikehendaki ALLAH Taala ujud maka dikekalkan ujudnya dan jika sebaliknya maka ditiadakanNYA.
5. Meniadakan ALLAH Taala sesuatu itu.
6. Keadaan sesuatu itu ketika tiadanya.
7. Menentukan ALLAH Taala kesempurnaan ujud sesuatu itu, jika dikehendaki ALLAH Taala kekal maka dikekalkan kesempurnaan ujud itu.
Adapun ketujuh-tujuh takluk itu adalah atas satu makna jua iaitu iaitu samada ALLAH Taala mencipta atau meniadakan alam yang baharu ini.
Adapun dalil al-Quran ALLAH Taala Maha Berkuasa ialah FirmanNYA bermaksud “SesungguhNYA ALLAH Taala di atas segala sesuatu itu Maha Berkuasa”
Adapun dalil akal ALLAH Taala itu Maha Berkuasa ialah, jika tidak berkuasa maka lemahlah ALLAH Taala itu. Dan jika lemah tidak akan ujud alam ini dan segala isiNYA. Yang lemah tidak layak dipertuhankan dan tidak layakpun disebut Tuhan. Dan ALLAH Taala tidak seperti itu.
Masjid Kuning, Kota Damansara
9 September 2011
3.20pm
No comments:
Post a Comment