Saturday, 28 June 2014

AHLUL BAYT : Kemuliaan Ahlul Bayt Part 1 29 May 2013 at 17:50

AHLUL BAYT : Kemuliaan Ahlul Bayt Part 1

29 May 2013 at 17:50


Saya ditanya berkenaan nasab ahlul bait. Antara soalan yang ditanya :

  1. Benarkah Ahlul Bayt ini mulia dan mesti dimuliakan ?
  2. Jika ada Ahlul Bayt yang tidak bersyariat, apakah mereka harus dimuliakan ?
  3. Siapakah sebenarnya Ahlul Bayt ?

Saat gugur syahidnya Imam Hussain bin Ali bin Abi Talib r.a., terdapat usaha-usaha untuk menutup terus jaluran nasab Rasulullah SAW dari umat Islam. Seolah-olah keturunan Rasulullah SAW ini telah terhenti di peringkat Imam Hussain r.a. sedangkan anak kepada Imam Hussain r.a. , iaiti Ali Zainal Abidin r.a. telah berjaya diselamatkan oleh Saiyidatina Zainab rha, dari dijadikan korban tentera Yazid.


Tidak cukup setakat itu, di era Muhammad Bin Abdul Wahab An Najd Al Wahabiy, ramai ulamak-ulamak dari keturunan Rasulullah SAW yang dibunuh dan dikorbankan oleh gerakan Wahabi di Hijaz. Ini semua adalah usaha-usaha dalam menghapuskan keturunan Ahlul Bayt dari muka bumi ini. Setelah usaha ini gagal, maka muncul pula dari pengingkar kata-kata yang mengatakan bahwa manusia semua keturunan Nabi Adam AS, jadi tidak ada sebarang perbezan pun antara keturunan Rasulullah SAW dengan keturunan lainnya, kecuali orang yang paling bertaqwa. Sedangkan persoalan kemuliaan nasab keturunan keluarga Rasulullah SAW banyak dikemukakan dalam hadis-hadis sahih.


Kalau memang benar kata-kata golongan yang menyama tarakan Ahlul Bayt dengan orang biasa ini, kita ingin bertanya;


Apakah keistimewaan ayat-ayat dari ALLAH SWT dan hadis-hadis yang bakal kami paparkan di sini, yang diakui oleh ulamak-ulamak hadis tentang kemuliaan, keutamaan Rasulullah SAW, Ahlul Bayt dan nasab keturunannya, jika semua ini sama ?


Firman ALLAH SWT SWT dalam surah Al-Hujurat  ayat  13  :

يَآ اَيُّهَا النَّـاسُ إنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ اَوْ أنْثىَ وَجَعَلنَاكُمْ شُعُوبًا اَوْ قَبَآئِل َلِـتَعَارَفُوْا, إنَّ أكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أتقَاكُم

“Wahai manusia sesungguhnya KAMI menciptakan kamu laki-laki dan perempuan dan KAMI jadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu terhadap ALLAH SWT ialah orang yang paling taqwa diantara kamu “.

Firman ALLAH SWT SWT tersebut tidak pula mengurangi makna sabdaan Rasulullah SAW yang mengatakan : “Tiada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab(‘ajam), dan tiada kelebihan bagi orang bukan Arab atas orang Arab kecuali kerana taqwa”.

Begitu juga firman ALLAH SWT  dalam Al-Hujurat : 13 dan hadis Rasulullah SAW diatas ini tidak juga bertentangan dengan surah Al-Ahzab : 33 yang menegaskan :

إنَّمَا يُرِيْدُ اللهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ اَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيْرًا

“Sesungguhnya ALLAH SWT hendak menghapuskan noda dan kotoran (ar-rijsa)dari kamu, ahlul-bait, dan mensucikan kamu sesuci-sucinya”

Kemuliaan yang diperoleh seorang beriman dari kebesaran taqwanya kepada ALLAH SWT dan Rasul-NYA adalah kemuliaan yang bersifat umum. Sesiapa sahaja boleh memperolehinyha dengan syarat ianya Islam dan beriman serta melalui jalan taqwa dengan melaksanakan segala perintah suruh oleh ALLAH SWT sambil meninggalkan segala perintah larang dari ALLAH SWT.

TETAPI, kemuliaan Ahlul Bayt adalah berbeza. Ahlul Bayt mereka mendapat kemuliaan berdasarkan kesucian yang dilimpahkan dan di kurniakan ALLAH SWT  kepada mereka sebagai keluarga dan keturunan Rasulullah SAW. Oleh itu kemuliaan yang ada pada mereka ini bersifat khusus, dan tidak mungkin dapat diperoleh orang lain yang bukan AHlul Bayt dan bukan keturunan Rasulullah SAW.

AKAN TETAPI itu bukan bermakna keturunan Rasulullah SAW tidak perlu menjalani jalan taqwa dan tidak bermakna mereka mendapat pelepasan untuk tidak bertaqwa kepada ALLAH SWT dan Rasul-NYA. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang yang AMAT menjaga syariat inikan pula nasab keturunan baginda SAW. Malah, SEWAJARNYA nasab keturunan Saiyidina Muhammad SAW inilah yang paling kuat menjaga syariat, paling kuat amal ibadahnya, paling kuat sabarnya, paling pemurah, paling berlemah lembut, paling berakhlak mulia di kalangan manusia. Andainya mereka menjadi sebaliknya, maka dosa dan azab siksa yang diterima mereka juga berlipat dua kali ganda, baik di dunia, mahu pun di akhirat. Malah sebaliknya, ALLAH SWT SWT berfirman dalam surat Al-Ahzab ayat 30-31

سُوۡرَةُ الاٴحزَاب

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ مَن يَأۡتِ مِنكُنَّ بِفَـٰحِشَةٍ۬ مُّبَيِّنَةٍ۬ يُضَـٰعَفۡ لَهَا ٱلۡعَذَابُ ضِعۡفَيۡنِ‌ۚ وَكَانَ ذَٲلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرً۬ا (٣٠) ۞ وَمَن يَقۡنُتۡ مِنكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتَعۡمَلۡ صَـٰلِحً۬ا نُّؤۡتِهَآ أَجۡرَهَا مَرَّتَيۡنِ وَأَعۡتَدۡنَا لَهَا رِزۡقً۬ا ڪَرِيمً۬ا (٣١)

Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH SWT melaksanakannya. (30) Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada ALLAH SWT dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. (31)

ALLAH SWT  memberi amaran kepada Ahlul Bayt bahwa bila mereka (Ahlul Bayt) berbuat maksiat, akan dilipat gandakan dua kali dosanya dan bila mereka berbuat kebaikan akan dilipatkan dua kali pahalanya.


Kepada Ahlul Bayt yang tidak menjaga syariat, ALLAH SWT akan membalas dua kali ganda kehinaan di dunia dan disusuli dua kali ganda dosa yang diterima. Andainya Ahlul Bayt yang menjaga syariat dan mengikut jejak langkah Saiyidina Rasulullah SAW, mereka akan ALLAH muliakan dua kali ganda di kaca mata manusia dan mereka akan mendapat penghormatan dua kali ganda dari manusia YANG SOLEH YANG MENCINTAI Rasulullah SAW. Sebaliknya bagi Ahlul Bayt yang tidak menjaga syariat, mereka TIDAK akan mendapat penghormatan dari manusia yang mencintai Saiyidina Rasulullah SAW, kerana ALLAH tidak buka pintu kemuliannya di hati manusia. Sebaliknya ALLAH membuka pintu penghormatan di kalangan manusia-manusia yang derhaka kepada ALLAH SWT.


Bagi Ahlul Bayt, dengan memperbesar ketaqwaan pada ALLAH SWT dan Rasul-NYA mereka ini memperoleh dua kemuliaan iaitu kemuliaan khusus dan kemuliaan umum. Sedangkan orang-orang selain mereka ini dengan ketaqwaan kepada ALLAH SWT dan Rasul-NYA hanya memperoleh kemuliaan umum. Itulah yang membezakan martabat kemuliaan Ahlul Bayt dan keturunan Rasulallah SAW dengan martabat kemuliaan orang-orang selain Ahlul Bayt dan keturunan Rasulullah SAW. Ketinggian martabat yang di berikan ALLAH SWT kepada mereka (Ahlul Bayt) merupakan penghargaan ALLAH SWT kepada Rasul-NYA junjugan kita Muhammad SAW.


Ahlul Bayt atau keturunan Rasulallah SAW yang mengikuti jejak nenda mereka iaitu Saiyidina Muhammad SAW, sama sekali TIDAK LEPAS dari rasa tanggung jawab mereka yang LEBIH BERAT dan LEBIH BESAR daripada yang harus dipikul orang lain. Mereka ini HARUS SELALU MENYEDARI kedudukan mereka ditengah-tengah umat Islam. Mereka WAJIB menjaga diri dari ucapan-ucapan, perbuatan dan sikap yang dapat MENCEMARKAN kemuliaan keturunan Saiyidina Muhammad Rasulallah SAW. Mereka WAJIB pula menyedari tanggung jawabnya yang lebih besar atas perjuangan Islam dan umatnya. Selama mereka menjaga kemuliaan Saiyidina Muhammad SAW, mereka tidak perlu meminta-minta agar orang ramai menghormati dan memuliakan mereka. TETAPI tatkala mereka melalui jejak langkah nenda mereka Saiyidina Muhammad SAW dengan ikhlas dan tawaddhuk, dengan demikian maka kewajiban menghormati mereka yang dibebankan oleh syari’at kepada kaum muslimin dapat diwujudkan dengan sebaik-baiknya.


Para Ahlul Bayt tidak akan menonjol-nonjolkan diri mereka kerana itu BUKANLAH jalan nenda mereka. Mereka akan bersifat tawaddhuk namun mereka akan tetap ditonjolkan atas kemuliaan Rasulullah SAW oleh golongan mukmin selama mana mereka tetap di atas jalan Rasulullah SAW. Kaum muslimin yang menghayati syari’at Islam pasti menempatkan mereka pada kedudukan sebagaimana yang telah menjadi ketentuan syari’at. Kami rasa kemuliaan dan kedudukan mereka perlu difahami oleh kaum muslimin, terutama oleh orang-orang keturunan Ahlul Byit sendiri sebagai pihak yang paling berkewajiban menjaga kemuliaan martabat Rasulallah SAW dan Ahlul Bait baginda SAW.


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

No comments:

Post a Comment