TANDA-TANDA AGAMA
فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا
Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Surah Al Kahfi : 110)
Syeikh Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa Bin Muhammad Al Fathoni dalam kitabnya Faridatu Faraid Fi Ilmil Aqaid, menulis .................
Segala tanda agama itu ada empat.
1. Sah iktiqad.
2. Benar qasad.
3. Menyempurnakan janji.
4. Ketiadaan melampaui sengkat.
HURAIAN
Pertama : Sah iktiqad. Mempunyai iktiqad yang jazam (putus) dengan perkara yang diiktiqadkan oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Aqidah hanya sah dengan 4 perkara :
1. Iktiqad yang jazam (putus), tidak dicelahi oleh jahil, syak, zan atau waham.
2. Selaras dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
3. Mempunyai dalil aqli atau dalil naqli.
Kedua : Benar qasad. Maknanya niat yang ikhlas. Iaitu menunaikan ibadah kepada ALLAH dengan ikhlas TANPA menyengutukan ALLAH dengan yang selain ALLAH.
Ketiga : Menyempurnakan janji, iaitu mengerjakan segala suruhan (perintah suruh dari ALLAH SWT). Perintah ALLAH SWT suruh itu ialah perkara yang wajib dan perkara yang sunat. Perkara yang wajib, jia dilakukan berpahala dan jika ditinggalkan akan mendapat dosa. Kedudukan hukum WAJIB ini ialah KENA BUAT. Tak boleh tidak. Suka atau tidak, seseorang muslim kena juga laksanakan dan lakukan perkara yang wajib. Antara perkara-perkara yang wajib dalam syariat Islam ialah :
a. Solat lima waktu.
b. Puasa di bulan Ramadhan.
c. Menutup aurat.
d. Mengeluarkan zakat.
Perkara yang sunat, jika dilakukan, mendapat pahala dan jika ditinggalkan, tak mengapa. Kedudukan hukum SUNAT ini ialah ELOKLAH DIBUAT. Mengapa perkara yang sunat ini elok dilaksanakan oleh seseorang muslim ? Ini adalah kerana :
a. Ianya mendatangkan pahala.
b. Perkara-perkara yang sunat ini adalah sumber kasih sayang kepada ALLAH SWT.
c. Perkara-perkara yang sunat ini dilakukan oleh Rasulullah SAW, para sahabat yang diredhai ALLAH SWT dan golongan Salafussoleh. Maka mereka yang mencintai Rasulullah SAW dan ingin menuruti perjalanan Salaf, sewajarnya melaksanaka sebanyak mungkin perkara-perkara yang sunat.
Antara perkara-perkara yang sunat dalam syariat Islam ialah :
a. Memakai serban.
b. Bersugi.
c. Memakai minyak wangi.
d. Memakai cincin.
Disamping itu, ada pula perkara-perkara yang harus. Perkara yang HARUS jika dibuat atau ditinggalkan oleh seseorang muslim, pahala pun tidak dapat, dosa pun tidak dapat. Antara perkara-perkara kedudukan asalnya harus dalam syariat Islam ialah :
a. Tidur.
b. Makan.
c. Menulis.
d. Berjalan.
e. Berpakaian.
Tetapi jika perkara yang harus ini dilaksanakan bersama syarat-syarat tertentu, maka ianya akan mendatangkan pahala. Lantas ianya dinilai ibadah di sisi ALLAH SWT.
Lima syarat tersebut ialah :
1. Niat yang benar. Sabda Rasulullah SAW, “Hanyasanya amalan-amalan itu sah dengan niat, dan adalah bagi setiap seorang itu menurut apa yang diniatkan".
2. Pelaksanaannya benar, tidak melanggar syariat atau peraturan ALLAH SWT dan sunnah Rasulullah SAW.
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
(Al Ankabut :69)“Dan jika mereka berjuang pada jalan Kami (ikut peraturan Kami) sesungguhnya Kami akan tunjukkan jalan Kami (jalan keselamatan) bahwasanya ALLAH beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)
3. Perkara (subjek) kegiatan tersebut dibenarkan oleh syariat dan mendapat keredhaan ALLAH,
Misalnya, seorang yang hendak berniaga mencari rezeki untuk keluarga, dengan berniaga barang makanan, yang hasilnya boleh juga menjadi makanan asas dan memberi manfaat kesihatan rohani dan jasmani kepada semua umat Islam.
Sabda Rasulullah SAW, “Tiap-tiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram, maka Neraka adalah yang lebih patut dengannya. (Riwayat Tarmizi). Dan, “Hati ditempa mengikut makanan dan minuman”.
4. Natijah (Hasil) mesti baik kerana merupakan pemberian ALLAH ataupun nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dan setelah itu, hamba-hamba yang dikaruniakan rahmat itu wajib bersyukur kepada ALLAH. Bagaimanakah seseorang itu menunjukkan tanda bersyukur kepada ALLAH? Di antaranya dengan berzakat, melakukan korban, serta membuat amal bakti seperti bersedekah dan sebagainya.
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
(Surah Ibrahim:7)Dan ingatlah peringatan dari Tuhan mu, “Jika kamu bersyukur nescaya akan Aku tambah lagi nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu kufur sesungguhnya siksaan-KU sangat dahsyat”. (Surah Ibrahim : 7)
5. Tidak meninggalkan atau melalaikan ibadah-ibadah asas. Rasulullah SAW. Sabdanya, “Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa telah mendirikannya maka dia telah mendirikan agama. Dan barang siapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama."
Dua perkara utama yang menjadi asas ibadah ialah Rukun Iman dan Rukun Islam.
Kedua-duanya merupakan tapak atau ‘platform’ untuk menegakkan amalan-amalan yang lain. Tanpa tapak, macamana nak dirikan binaan?
Di antara dua rukun tersebut, Rukun Iman menjadi ‘platform utama’, dan ianya yang pertama-tama ilmu yang wajib diketahui, dan hendaklah dibina, dipupuk, dibaja dengan ‘keyakinan yang qatie’.
Ini selaras tuntutan dalam syariat Islam, iaitu “awal-awal ilmu ialah mengenal ALLAH”.
Manakala, Rukun Islam menjadi perkara asas dalam jenis-jenis ibadah yang lain. Melaksanakan amalan yang dituntut di dalamnya adalah amalan asas, manakala amalan-amalan yang lain (seperti baca Al-Quran, wirid dan lain-lain) merupakan pelengkap ibadah.
Keempat : Ketiadaan melampaui sengkat (sekatan). Maknanya meninggalkan segala larangan ALLAH SWT.
No comments:
Post a Comment