Tidak Cintakah Engkau Kepada Nya ?

Hikayat 1
Tatkala Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam bertanya kepada malaikat Jibril, akan nama-nama pintu neraka dan penghuninya ? Jibril merasa malu untuk menyebut nama pintu neraka ke tujuh dan siapakah penghuninya. Setelah didesak, maka berkatalah Jibril :
Neraka yang ketujuh adalah daripada umat-umat MU Ya Rasulullah (Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam), yang sampai mati mereka belum sempat untuk bertaubat.
Terus baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam pengsan setelah mendengar keterangan dari Jibril. Dengan perlahan dan kasih sayang, Jibril meletakkan kepala Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam ke atas pangkuannya. Jibril berselawat ke atas baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam sambil membelai rambut makhluk termulia ciptaan ALLAH. Tersedar Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam dengan wajah kebimbangan. Lantas baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam bersabda :
Wahai Jibril. Amat besar kerisauan dan kesedihan ku. Apakah benar ada di kalangan umat ku yang akan masuk ke neraka ?
Maka dijawab oleh Jibril : Ya. Ada. Mereka ialah orang yang melakukan dosa besar dari kalangan umat mu.
Maka berderaianlah tangisan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam di pangkuan Jibril. Tangisan kasih sayang. Tangisan kerisauan. Tangisan kesedihan. Mengenang nasib umat baginda yang bakal menjadi penghuni neraka. Tangisan yang sayu, hingga Jibril juga turut sama menangis bersama baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam
Hikayat 2
Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oeh Abdullah bin Ammar bin Al As.
Dalam solat malam Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam, pernah baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam membaca sepotong ayat dari Surah Al Maaidah ayat ke 118 :
سُوۡرَةُ المَائدة
إِن تُعَذِّبۡہُمۡ فَإِنَّہُمۡ عِبَادُكَۖ وَإِن تَغۡفِرۡ لَهُمۡ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (١١٨)
Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (118)
Seusai solat, baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada ALLAH dalam keadaan menangis, “Ya ALLAH Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku...”
Esak tangis makhluk termulia ciptaan ALLAH didengari oleh Yang Maha Mendengar. Lantas ALLAH berfirman kepada baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam melalui malaikat Jibril.
"Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad dan katakan kepadanya, sesungguhnya KAMI redha kepada mu dan umat mu dan KAMI tidak akan melakukan apa-apa perkara memudaratkan umat mu."
Hikayat 3
Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan tercatat di dalam sahih Bukhari. Menceritakan akan peristiwa di padang Mahsyar. Umat manusia tercari-cari pemberi syafaat. Umat manusia silih berganti mendatangi para nabi dan rasul. Mendatangi mereka akan nabi Adam AS memohon syafaat, namun Nabi Adam AS keberatan kerana dirinya telah melanggar larangan ALLAH di syurga. Lalu Nabi Adam AS meminta mereka agar memohon syafaat dari Nabi Nuh AS.
Maka berbondong-bondonglah umat manusia mendatangi Nabi Nuh AS dan memohon syafaat. Namun Nabi Nuh AS merasa keberatan kerana perbuatannya mendoakan kecelakaan ke atas umatna. Maka Nabi Buh AS menyuruh umat manusia memohon syafaat dari Nabi Ibrahim AS.
Bergeraklah umat manusia mendatangi Nabi Ibrahim AS memohon syafaat. Namun Nabi Ibrahim AS juga merasakan dirinya juga tidak layak memberi syafaat kerana merasakan dirinya berdosa. Lalu menyuruh umat manusia memohon syafaat dari Nabi Musa AS.
Mendatangilah umat manusia kepada Nabi Musa AS untuk memohon syafaat. Sekali lagi permohonan umat manusia di tolak. Nabi Musa AS memberi alasan dia tidak mampu memberi syafaat kerana dia pernah membunuh satu jiwa. Disuruhlah umat manusia memohon syafaat dari Nabi Isa AS. Hal yang sama juga berlaku. Permohonan syafaat umat manusia ditolak oleh Nabi Isa AS. Lantas Nabi Isa AS menyuruh umat manusia memohon syafaat dari Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam.
Maka mereka mendatangi Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam dan berkata “Wahai Muhammad, engkau adalah utusan ALLAH dan penutup segala nabi. Sesungguhnya ALLAH telah mengampuni dosa-dosa mu yang terdahulu dan yang terkemudian. Syafaatilah kami kepada Tuhanmu. Apakah Tuantidak melihat kesukaran yang kami hadapi?”
Sejurus terlihat oleh baginda dikalangan umat manusia itu, ada terdapat umat baginda, terus Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam datang ke bawah arasy. Baginda bersujud kepada ALLAH sambil memanjatkan puji-pujian kepada ALLAH SWT. Sujudlah baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam dengan lama bersulamkan esak tangisan yang hiba sambil melafazkan .... UMAT KU, UMAT KU, UMAT KU ......
Kemudian ALLAH SWT berfirman : Wahai Muhammad.Angkatlah kepala mu dan mohonlah apa saja kepada KU. Nescaya akan AKU perkenankan. Mohonlah syafaat kepada KU, nescaya akan AKU izinkan dikau memberi syafaat.
Perlahan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam mengangkatkan kepala baginda. Kelihatan air mata baginda yang mulia, bagaikan titisan mutiara mengalir di sudut matanya tanpa henti membasahi janggut baginda. Diangkat tangannya tinggi sambil berkata dengan esak tangis yang tidak henti : Ya ALLAH Ya Tuhan ku. Selamatkanlah Umat ku. Selamatkanlah umat ku. Selamatkanlah umat ku.
Lalu dikatakan kepada baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam., ‘AKU akan memasukkan sebahagian dari umat mu ke syurga, iaitu orang-orang yang tiada hisaban atasnya melalui Baabul Aiman, iaitu salah satu pintu syurga. Mereka adalah sekutu-sekutu manusia lainnya mengenai pintu-pintu selain Baabul Aiman.’
Hikayat 4
Dari sebuah hadis dari Abu Said Al Khudri tercatat di dalam Kitab Hadis Imam Muslim mencerita akan sebuah kisah.
Setelah selesai urusan di Mahsyar. Ada di kalangan umat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam yang dimasukkan ke neraka. Maka berderaianlah tangisan baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam melihat nasib malang yang menimpa umat baginda. Lalu baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam berjalan ke arasy dan baginda menyembamkan mukanya, tunduk dan sujud kepada ALLAH Yang Maha Adil sambil menangis. Lidah baginda tidak henti melafazkan .... Umat Ku, Umat Ku, Umat Ku ....
Lalu ALLAH mengizinkan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam mengeluarkan umat baginda yang di dalam hatinya mempunyai iman seberat satu dinar. Maka berlarianlah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam menuju neraka untuk mencari umat baginda yang di dalam hatinya mempunyai iman seberat satu dinar. Kesemua mereka dikeluar dan ditebus oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam dengan syafaat baginda dan memasukkan mereka ke dalam syurga. Tapi Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam masih terbayang umat baginda yang masih menderita terseksa di dalam neraka. Lalu baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam berjalan ke arasy dan sujud kembali kepada ALLAH sambil menangis .... YA ALLAH, UMAT KU, UMAT KU, UMAT KU ....
Sekali lagi ALLAH mengizinkan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam mengeluarkan umat baginda dari neraka untuk dimasukkan ke syurga. Dengan syarat, umat baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam mempunyai iman di dalam hati seberat setengah dinar. Tanpa membuang masa, berlarianlah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam menuju ke neraka untuk menebus keluar umat baginda. Namun masih ada lagi umat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam yang sedang di azab dalam neraka. Sekali lagi Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam berjalan ke arasy. Baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam sujud sambil merintih kepada ALLAH dengan rintihan kehambaan .... YA ALLAH UMAT KU, SELAMATKANLAH UMAT KU, SELAMATKANLAH UMAT KU. SELAMATKANLAH UMAT KU.
Mendengar rintihan kekasih-NYA, lalu ALLAH mengizinkan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam memberi syafaat lagi. Umat Muhammad yang sedang diazab di dalam neraka tetapi mempunyai iman walau seberat biji sawi, boleh ditebus dengan syafaat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam. Berlarian lagi Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam mencari umat baginda Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam di dalam neraka untuk dimasukkan ke dalam syurga.
***************
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kerana kita umat baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam, telah banyak air mata baginda Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam yang mengalir.
Kerana kita umat baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam, telah banyak rintangan dan kesusahan yang baginda Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam terpaksa lalui demi keselamatan kita.
Kerana kita umat baginda Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam, telah banyak penderitaan dan keperitan dalam perjuangan ini yang terpaksa baginda Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam rintis dan hadapi.
Guru ku berkata : Apabila saya membaca ayat Al Quran ini, sebak dada menggambarkan KECINTAAN YANG SUNGGUH HEBAT SEORANG NABI KEPADA UMATNYA. Jauh sekali lebih hebat dari kkecintaan kita kepadanya.
سُوۡرَةُ التّوبَة
لَقَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولٌ۬ مِّنۡ أَنفُسِڪُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡڪُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٢٨)
"SESUNGGUHNYA telah datang kepada kamu semua, seorang RASUL dari kalangan kamu sendiri, BERAT SEKALI TERASA OLEHNYA jika kamu ditimpa kesusahan, sangat-sangat mengingkan (kebaikan dan keimanan) bagi kamu. Amat belas kasihan lagi sungguh penyayang kepada orang-orang beriman..." (At-Taubah, 128).
Ya Subhanallah! Seolah-olah dengan ayat ini, Allah ingin mencabar kepada umatnya, siapakah yg lebih hebat dari KECINTAAN RASULULLAH Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam kepada umatnya ? Beginilah kecintaan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam yang luar biasa sehingga seorang Sahabat Nabi yg baru memeluk Islam berkata "Dahulu Muhammad adalah orang yang paling aku benci. Tapi sekarang ini, MUHAMMADLAH ORANG YANG PALING AKU CINTAI!" Ayuh, marilah kita berselawat kepadanya 10 kali nescaya Allah akan berselawat kepada kita 100 kali amiin!!
اللَّهُـمّ صَــــــلٌ علَےَ مُحمَّــــــــدْ و علَےَ آل مُحمَّــــــــدْكما صَــــــلٌيت علَےَ إِبْرَاهِيمَ و علَےَ آل إِبْرَاهِيمَ إِنَّك حَمِيدٌمَجِيدٌ اللهم بارك علَےَ مُحمَّــــــــدْ و علَےَ آل مُحمَّــــــــدْ كماباركت علَےَ إِبْرَاهِيمَ و علَےَ آل إِبْرَاهِيمَ إِنَّك حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Tidak cintakah engkau kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam ?

Saujana Utama
11 Rabiul Awwal 1434
4.25am
No comments:
Post a Comment