Sunday, 24 July 2016

Nafsu dan Persoalan Part 2



TINGKATAN NAFSU Part 2
Saya sambung artikel berkenaan NAFSU.

Nafsu adalah salah satu elemen yang ALLAH ciptakan di dalam diri manusia. Manusia tidak akan hidup tanpa nafsu. Malangnya, sifat asal nafsu ini ialah mengajak manusia ke arah kejahatan. TETAPI andainya nafsu ini dididik ke arah iman dan Islam, nafsu ini menjadi alat untuk seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada ALLAH Ta'ala.

Ayuh kita kenali ciri-ciri Nafsu berdasarkan Tingkatannya.

1. NAFSU AMARAH
ALLAH berfirman dalam Al Qur'an, maksudnya :
" Tidak ada kebaikan dalam diriku, kerana sesungguhnya nafsu itu senantiasa mengajak kepada kejahatan" [Yusuf : 53]

Nafsu sifatnya adalah mengajak manusia ke arah maksiat dan kemungkaran. Walau siapa sahaja di dunia ini, jika gagal mendidik nafsu, hidup mereka di dunia akan menjadi hina walau mereka seorang bangsawan atau kenamaan. Lihat sahaja peristiwa Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha, isteri perdana menteri Mesir. Walau kedudukan Zulaikha sebagai isteri kepada Perdana Menteri Mesir amat tinggi, namun kerana godaan nafsu, Zulaikha tanpa segan silu cuba menggoda Nabi Yusuf AS untuk melakukan perbuatan terkutuk. Apabila permintaan Zulaikha ditolak oleh Nabi Yusuf AS, maka Nabi Yusuf AS difitnah dan dizalimi dengan dipenjarakan. Namun itu sama sekali tidak menutup perbuatan terkutuk yang dilakukan oleh Zulaikha. Zulaikha dihina, dicaci dan diaibkan oleh masyarakat.

Begitu juga diri kita. Siapa kita, apa kedudukan kita, setinggi mana jawatan kita, apa nasab kita, berapa banyak ilmu kita, sekaya mana duit dan harta kita. Andainya kita gagal mendidik nafsu, kita juga akan dipandang hina oleh masyarakat.

Barang siapa yang memiliki nafsu ammarah, dia tidak akan mampu untuk menjaga kehormatan dirinya, walaupun dia orang terkenal. Mereka akan tetap dipandang hina oleh makhluk dunia. Orang yang memiliki nafsu ammarah, tidak mampu lagi untuk menjaga diri agar tidak terjerumus ke dalam maksiat. Mengapa kita lihat orang yang tidak disangka-sangka tiba-tiba minum arak, punya simpanan perempuan, rasuah dan sebagainya ?

Ini adalah kerana nafsu ammarah yang ada dalam diri.
Nafsu Ammarah ialah nafsu yang paling hina, paling buruk dan paling jahat. Apakah ciri-ciri orang bernafsu ammarah ?

Orang yang bersifat dengan nafsu Ammarah,

Dia akan rasa bangga bila berjaya membuat dosa. Kalau dia boleh togok arak, dia akan cerita kepada orang lain dengan bangga bahawa dia tu "power giler" sebab boleh minum 5 jug Carlsberg masih tak mabuk. Dia rasa gembira dan rasa lazat yang amat sangat bila ada peluang buat dosa. Jika dia berzina, dia tidak ada rasa malu atau segan. Dia bangga menceritakan perbuatan maksiatnya kepada orang ramai dan rakan taulan.

Bukan setakat tu sahaja, orang nafsu Ammarah ni, dia akan ajak orang lain buat dosa juga. Andainya, ada usaha yang dilakukan untuk mencegah kemungkaran, mereka-mereka inilah yang menjadi manusia-manusia durjana lagi terkutuk, yang menghalang kepada usaha menyeru yang makruf dan mencegah kemungkaran.

Andainya ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang yang menegur itu dimusuhi. Orang yang bernafsu Ammarah inilah yang sentiasa jadi batu api, melaga-lagakan orang demi kepentingan diri mereka. Mereka jugalah agen kepada kesesatan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Tak hairanlah mereka boleh dilabel sebagai hamba nafsu atau pun hamba syaitan.

Orang yang bernafsu Ammarah, tempatnya tidak lain dan tidak bukan ialah di neraka. Muktamad, kalau dia mati akan dibenamkan ke neraka. Orang yang berada di peringkat nafsu Ammarah tak peduli dengan Akhirat. Mudah kecewa tidak tahan bila diuji. ALLAH panjangkan umur mereka, agar puas dengan maksiat, bila dia mati nanti dengan mudah ALLAH akan lemparkan dia ke dalam api Neraka. Orang yang mempunyai nafsu Ammarah adalah nafsu ahli Neraka. Dan dosa-dosa orang yang menyahut seruannya untuk melakukan maksiat juga, dia akan dapat saham darinya.

Secara ringkasnya, cirri-ciri orang yang mempunyai Nafsu Ammarah ialah :
1. Bangga bila dapat membuat maksiat.
2. Rasa tenang, bahagia dan lazat bila dapat buat maksiat.
3. Mengajak orang membuat maksiat bersama-sama.
4. Benci kepada amar makruf nahi mungkar.
5. Tidak boleh ditegur dan tak boleh dinasihati, dia akan memusuhi penegur dan orang yang menasihat.
6. Mudah kecewa dan tidak tahan dnegan ujian ALLAH di dunia.
7. Mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu yang tidak dipunyai oleh orang lain kerana istidraj dari ALLAH SWT.

Jadi cuba kita muhasabah diri kita. Ada tak sifat orang nafsu ammarah dalam diri kita ? Kalau ada, berusahalah untuk bertaubat, belajar ilmu dan memperbaiki diri kea rah yang lebih warak atau jika masih engkar, bersiap sedialah untuk dibakar di neraka.

2. NAFSU LAWWAMAH
Tingkatan kedua nafsu ialah Lawwamah. Orang bernafsu Lawwamah ialah orang yang sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama. Waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Dia sedar bahawa diri dia sering terlibat dengan dosa, dan dia sering mengkritik diri dia bila terlibat dengan dosa.

Orang bernafsu Lawwamah, mereka sentiasa melakukan dosa. Waktu melakukan dosa, mereka tak fikir apa-apa pun. Tak ingat kat ALLAH, tak ingat kat syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa yang hakikatnya adalah nikmat yang sementara. Sebaik saja habis buat dosa, baru dia sedar yang dia telah terlanjur. Dia menyesal dan mengkritik diri dia sendiri di atas keterlanjurannya. Waktu dia berzina, dia tak ingat langsung yang zina tu berdosa, tapi bila dah shoot, dah lesu, baru sedar diri yang dibuat tu dosa. Tapi setelah masa berlalu, dia buat balik dosa yang jadi favourite dia.

Orang bernafsu Lawwamah ini , bila berjaya buat kebaikan, maka senanglah timbul riyak dan ujub dalam dirinya. Dirasakan dialah yang paling arif dalam bab-bab benda kebaikan ni. Syok sendiri. Perasan. Dirasakan dialah yang paling mulia dan suci. Perasan dan syok sendiri. Inilah antara ciri-ciri yang ada pada orang yang bernafsu Lawwamah.

Beza antara orang nafsu Ammarah dan Lawwamah, orang di nafsu Lawwamah tak rasa bangga bila buat dosa, dia tak pula ajak orang lain turut sama membuat dosa dengannya dan dia tak pula menghalang usaha-usaha mencegah kemungkaran. Tapi dia sering terjebak dengan dosa, sebab tak mampu meninggalkan nikmat dunia ketika membuat dosa. Contohnya, dia sudah merasa kelazatan zina, maka dia terus melakukan zina walau dia tahu ianya berdosa.

Tingkatan nafsu Lawwamah lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu Lawwamah ini sudah mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah ibadah dan kebaikan. Nafsunya masih belum dididik sepenuhnya. Syurga untuk orang di nafsu Lawwamah masih jauh panggang dari api. Nafsu yang begini masih belum dapat menyelamatkan yang empunya diri dari api neraka.

Orang yang sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama, waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Timbul perebutan antara nafsu dan akal, nafsu mengajak kepada kejahatan, akal mengajak kepada kebaikan. Orang yang memiliki nafsu lawwamah belum dapat membuat keputusan untuk berbuat baik baik. Ia seperti daun lalang, ikut kemana arah angin bertiup. Tidak ada kekuatan untuk meninggalkan maksiat, dia boleh melakukan kejahatan lagi sesudah ia berbuat baik. Kadang-kadang ke tempat ibadah, kadang-kadang ke tempat maksiat, hatinya selalu merintih kepada ALLAH bila tidak dapat melawan nafsu untuk membuat maksiat. Atau tidak dapat istiqomah dalam berbuat kebaikan.

Pendekata, orang bernafsu Lawamah ini tempatnya masih di neraka.

3. NAFSU MULHAMAH
Tingakatan yang ketiga ialah nafsu Mulhamah. Orang bernafsu Mulhamah apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan ALLAH dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di Syurga dan mengenangkan azab seksa neraka.

Dalam hatinya masih banyak sifat-sifat mazmumah. Dia sudah dapat mengenali penyakit yang ada dalam dirinya. Dia sudah kenal, dalam dirinya ada ujub, ada riyak, ada takbur, ada gila kuasa, ada gila puji, ada hasad dengk. Cuma tidak boleh lawan.

Dia mencuba beribadah dengan sabar. Orang yang bernafsu Mulhamah, bila dia sedar dia buat dosa, dia rasa menyesal dan mengkritik diri sendiri. Tetapi usahanya tidak henti di situ, dia usahakan untuk perbaiki diri. Dia akan BERUSAHA menghisab diri dan berusaha memperbaiki diri.

Dia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan mula mengamalkannya. Berdasarkan ilmu tasawwuf yang dia pelajari, dia berusaha menyucikan hatinya. Inilah beza antara orang bernafsu Mulhamah dengan orang bernafsu Lawwamah, iaitu ADA USAHA UNTUK MEMBAIKI DIRI.

Orang yang bernafsu Mulhamah, dia masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Namun dosa, walau sekecil mana pun, balasannya di akhirat tetap ke neraka.

Andainya orang nafsu Lawwamah, terjebak kepada dosa kerana inginkan kelazatan nikmat kemungkaran yang sementara, orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa kerana TIDAK SENGAJA. Bukan dia suka-suka cari. Andainya orang di tingkatan nafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, baru dia sedar akan kejinya perbuatannya itu. Orang bernafsu Mulhamah sewaktu buat dosa, sedang dia buat dosa, dia dah terasa betapa kejinya perlakuan maksiat yang sedang dia lakukan. Andainya orang bernafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, dia mengkritik diri dia. Orang yang bernafsu Mulhamah bukan setakat kritik diri dia, malahan dia mencari kaedah untuk tidak melakukan dosa dan menghindarkan dari jalan-jalan yang mengundang dosa .

Namun orang di tingkatan Mulhamah ini, masih belum sunyi dari melakukan dosa. Hati dia pedih bila melakukan dosa, walau pun tidak sengaja. Namun usaha dilakukan untuk tidak mengulangi perlakuan dosa itu lagi.

Firman ALLAH artinya :
"Maka ALLAH mengilhamkan kepada jiwa itu, jalan kejahatan dan ketaqwaan" [Asy-Syams : 8]

Bagaimana rasa hati orang yang memiliki nafsu mulhamah ini ? Iaitu apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan ALLAH dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di Syurga.

4. NAFSU MUTHMAINNAH
Tingkatan yang keempat ialah nafsu Mutmainnah. Orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa dengan usaha yang istiqamah dan sungguh-sungguh, maka ALLAH akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang.

Hatinya puas jika dapat beribadah kepada ALLAH. Selalu rindu dengan kebaikan dan amal soleh. Datanglah 1001 macam ujian musibah melanda, hatinya tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari ALLAH. Dia sujud dan syukur di atas segala nikmat yang diberikan oleh ALLAH kepadanya. Ujian musibah yang melanda dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan diri kepada ALLAH. Nikmat yang diberikan oleh ALLAH kepadanya dikongsi bersama dengan saudara semuslim dengannya agar nikmat itu dapat diedarkan ke seluruh pelusuk alam. Orang yang bernafsu Mutmainnah inilah yang dikatakan orang-orang bertaqwa. Orang yang mampu melaksanakan segala titah perintah ALLAH dan mampu meninggalkan segala larangan ALLAH. Mereka inilah yang dijamin akan selamat dari siksaan neraka ALLAH di akhirat. Mereka inilah juga yang bakal menjadikan syurga yang penuh dengan kemanisan nikmat yang berkekalan sebagai tempat rehatnya nanti di akhirat.

Orang yang memiliki nafsu muthmainnah, ALLAH berfirman dalam Al Qur'an :

"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku" [Al Fajr : 27-30]

Hamba Tuhan yang sebenarnya ialah mereka yang telah sampai kepada nafsu Muthmainnah. Sebelum itupun hamba juga. Cuma hamba yang didasarkan kepada dia buat atau dipaksa, bukan atas dasar keredhaan. Orang yang sudah sampai kepada nafsu ini, dia sudah dijamin Syurga.

Bagaimana sifat orang-orang yang memiliki nafsu Muthmainnah ? Yaitu bila dia buat amal, kebajikan rasa sejuk hatinya, tenang dan puas. Selalu rasa rindu hendak membuat kebajikan, mereka senantiasa menunggu waktu untuk beribadah kepada ALLAH. Mereka ini dikatakan penggembala matahari (senantiasa menunggu waktu beribadah)

Hati senantiasa rindu dengan ALLAH, bila dia baca ayat ALLAH yang ada kaitannya dengan Neraka, dia rasa takut, cemas, ada yang pengsan, kadang-kadang ada yang mati. Dia takut dengan dosa, seolah-olah gunung akan menimpa kepalanya. Bila berkorban habis-habisan, baru rasa puas hatinya, sentiasa cemas dengan maksiat dan cuba cegah habis-habisan. Dia akan bersabar dengan ujian dari ALLAH kepada dirinya. Doanya mustajab, ALLAH cepat kabulkan, rezekinya terjamin, dijamin oleh ALLAH. Bila selalu diuji dia sabar, akhirnya ia sudah boleh redha dengan ujian. Hasil dari kesabaran dan keredhaan dalam hatinya, maka ia akan meningkat kepada nafsu yang kelima yaitu nafsu Radhiah.

5. NAFSU RADHIAH
Nafsu Radiah. Nafsu inilah yang tingkatannya menjadikan pemilik nafsu ini bukan sekadar dapat mencapai tingkatan ketenangan, ketenteraman dan kesucian, malah meredhai akan setiap musibah bala bencana yang diturunkan ALLAH ke atasnya.

Bagi mereka ujian dan musibah dari ALLAH itu adalah sesuatu yang dinantikan. Ujian dan musibah dari ALLAH bagi mereka adalah HADIAH dari Sang Pencipta Cinta, Iiaitu ALLAH Yang Maha Mencinta.
Ujian bagaikan sesuatu alat untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH yang amat dikasihi dan sebagai salah satu wadah untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada NYA.

Mereka menlaksanakan yang wajib sepenuh hati dan meninggalkan yang haram juga sepenuh hati. Orang bernafsu Radhiah akan menjaga amal ibadahanya sunguh-sungguh. Perkara yang sunat dianggap wajib lalu diamalkan sungguh-sungguh, kerana disitulah letaknya cinta ALLAH kepadanya. Perkara yang makruh dianggap haram, lalu ditinggal sungguh-sungguh kerana di situ letaknya kebencian ALLAH. Mereka juga banyak mendapat pertolongan dari ALLAH, di antaranya firasat yang ALLAH berikan, mereka mudah kenal dengan orang yang berbuat maksiat atau tidak. Mereka mudah pimpin masyarakat, sebab dia kenal sifat-sifat hati. Orang yang dia didik nasehat-nasehatnya tepat, bila mereka dihalau dari masyarakat, tunggulah bala ALLAH akan turun. Banyak lahir karamah-karamah dari mereka, mulutnya masin apa yang disebut insya ALLAH akan terjadi.

Walau kecil tentang larangan, ia akan tinggalkan sungguh-sungguh, bagi dia perkara yang makruh, dia anggap macam haram, yang sunat dia anggap macam wajib. Kalau tidak buat yang sunat seolah-olah rasa berdosa, kalau kita lihat riwayat mereka kadang-kadang kalau anak mati mereka berkata "Alhamdulillah".

Pernah terjadi dalam sejarah, seorang ibu bila orang membawa berita tentang anaknya yang gugur di medan jihad. Dia rasa gembira, orang ini sudah dapat jauhkan diri dari perkara yang syubhat, bila disuruh pada jihad pada jalan ALLAH mereka sambut macam hari raya. Kalau kita lihat takbir hari raya itu adalah hasilnya dan takbir selepas para sahabat mendapat kemenangan di peperangan Khandak.
Sebahagian mereka kalau dilarang ke medan jihad mereka menangis, di dalam Al Qur'an ada disebut "ashabul buka" sebanyak 18 orang, bila Rasulullah tiada kendaraan untuk bawa mereka dalam peperangan Tabuk. Mereka menangis siang dan malam mengadu kepada ALLAH, apakah dosa mereka kerana tidak dipilih ke medan jihad. Hingga ALLAH turunkan wahyu kepada Rasulullah SAW bahawa mereka menangis sepanjang malam, mereka sangka mereka banyak dosa. Mereka begitu cinta dengan mati syahid. Mereka redha terhadap apa yang Tuhan redha.

Dalam beribadah kepada ALLAH, bukan sekedar sedap membaca, bahkan sedap beramal. Akhlak mereka terpuji di sisi ALLAH. Dapat memberi maaf ketika berkuasa.

Satu peristiwa, sahabat Rasulullah SAW yang memiliki hamba, suatu hari hambanya bawa dulang, yang berisi daging kambing, tiba-tiba pisau yang terletak di atas dulang terjatuh di kepala anaknya yang sedang merangkak dan terus mati. Dalam keadaan demikian hamba tadi merasa takut, maka kata sahabat tadi "Bertenanglah kamu, anak itu ALLAH punya, ALLAH ambil balik, maka pada hari ini aku memerdekakan kamu"

Tidak ada siapa yang boleh berbuat demikian kecuali mereka yang memiliki nafsu Radhiah.
Inilah ciri-ciri sifat Radhiah.


6. NAFSU MARDHIAH
Nafsu inilah yang tingkatannya menjadikan pemilik nafsu ini berada kategori para wali ALLAH. Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi:

"Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan."

Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.

7. NAFSU KAMILAH

Nafsu inilah yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul.

Ayuh kita muhasabah diri kita. Di tahap manakah tingkatan nafsu kita ?

Jika kita bangga dengan maksiat yang kita lakukan, itu nafsu ammarah. Kita adalah ahli neraka.
Begitu juga, jika kita melakukan dosa, setelah uas buat maksiat baru kita menyesal. Itu nafsu Lawwamah, kita masih lagi dalam senarai calon ahli neraka.

Jika kita melakukan dosa, kita menyesal, kita rasa tidak tenang lantas kita BERUSAHA mengelakkan diri dari melakukan maksiat, itu nafsu mulhamah. Kita masih lagi belum selamat dari api neraka .

Jika kita sudah mampu mengawal diri dari melakukan maksiat, jika kita sudah rasa tenang dan rasa manis dalam beribadah, sudah banyak amalan-amalan sunatnya, rajin mencari ilmu, sudah berupaya untuk sabar apabila menerima ujian musibah, walau dalam kesedihan. Itu adalah nafsu mutmainnah. Bersyukurlah., Kerana tingkatan nafsu ini anda sudah berjaya menjadi calon ahli syurga.

Jika anda sudah merasa rindu dengan ALLAH, hati tersentuh dengan ALLAH dan Rasulullah SAW, anda ternanti-nanti ujian musibah kerana anda tahu ujian musibah itu membersihkan dosa sebagai kifarah, serta memberi peluang anda mendapat pahala sabar. Anda tenang dan gembira dengan kehidupan ini. Anda sudah memiliki nafsu Radhiah. Anda adalah calon ahli syurga.

MUHASABAHLAH. Tak rugi kita bermuhasabah.

BAGAIMANA HENDAK MENDIDIK NAFSU ?

Tidak ada lain ialah dnegan MUJAHADATUNNAFSI. Dengan melalui proses mujahadatun nafsi, anda akan melakukan Takhalli, Tahalli dan Tajalli.

Ayuh kita muhasabah diri kita.
Di tingkatan mana nafsu kita ?
Andainya di tingkatan rendah, ayuh kita usahakan melalui mujahadatanunafsi agar nafsu kita terdidik.

1.       Nafsu Dan Persoalan Part 1 ~ Apa itu nafsu (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/nafsu-dan-persoalan-part-1.html )
2.       Nafsu Dan Persoalan Part 2 ~ Tingkatan Nafsu (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/nafsu-dan-persoalan-part-2.html )

3.       Nafsu Dan Persoalan Part 3 ~ Cara Mendidik Nafsu (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/nafsu-dan-persoalan-part-3.html )

No comments:

Post a Comment