(dari http://bahrusshofa.blogspot.my/2009/12/)
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI
SEMBILAN
MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiahdan rububiah yang
dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara
kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang
menafikan sama sekali perbezaan ini.
Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan
membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik
sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.
Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid
rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan
kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.
Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui
bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini,
tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana
menyekutukan Allah dalam sembahannya.
Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu
boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan
tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.
Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan
kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama
dari sudut akal dan naqal.
Dari sudut aqal
Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam
golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka
percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan
tidak berbelah bahagi).
Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak
akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir
dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau
pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.
Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal,
dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk
disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang
manfaat atau mudarat kepada mereka?
Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat
menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan
mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan
mudarat.
Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh
mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan
kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang
yang berpaling daripadanya.
Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.
Dari sudut naqal
Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas,
terang dan qatie(pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa
dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata
dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang
musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus
kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.
Sebagai contoh, kami sebutkan di sini
dalil-dalilnya:
1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang
orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah
berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau
memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan
kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)
Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir
beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan
hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya
sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.
Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi
tauhid rububiah?!.
2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang
musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada
mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu
kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata
bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit
gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu).(Hud: 54)
Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka
boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik
mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan
sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.
Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun
mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah
dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka
ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah
pembahagian tauhid.
3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau
pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi
Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan
orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi)
ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga
boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)
Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat,
Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentangrububiah seperti
mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.
Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang
boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan
Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang
Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat
tersebut.
Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang
mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiahdan
Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?
4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan
tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah
tauhid yang suci:
Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan
menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab - jama' kepada Rabb) yang
bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa
lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)
Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi
Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah:
"Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata:
"Tuhan-tuhan (Aalihah - jamak kepada Ilah)."
Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah
lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.
Adakah masih boleh diterima oleh akal yang
sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhidrububiah dan
Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja?
Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.
5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang
Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya.
Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi'aat:
24)
Demikianlah dakwaan rububiah Firaun
bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini.
Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka
yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan
telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?
Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi
dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui
adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas:
38)
Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di
antara rububiahdan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa
yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan
dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).
Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula,
maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang
menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.
6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur,
masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya,
tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan)
kamu?"
Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai
oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan
tauhidrububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan
bermanfaat?
Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah
adalah tidak benar dan palsu semata-mata.
Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya
dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik
pada rububiahmaka dia juga adalah syirik pada uluhiah.
Minggu hadapan kami akan mengemukakan
dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah
perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah
rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment