(dari http://bahrusshofa.blogspot.my/2009/11/)
MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan
tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu
lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau
tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,
sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada
ketiga-tiga tauhid ini.
Tauhid rububiah didefinisikan
dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran
dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.
Manakala tauhid uluhiah didefinisikan
dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang
manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.
Tauhid Asma' dan Sifat pula
didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan
disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau
yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang
telah ditetapkan bagi diri-Nya.
Dalam membincangkan pembahagian ini, maka
perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian
ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke
atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun
perkara baru yang dicipta (bidaah)?
Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:
Jawapan Pertama
Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian
tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.
Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang
dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian
tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu
mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhiduluhiah dan
tauhid asma' dan sifat.
Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa
sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira
makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini
telah diketahui oleh orang musyrikin.
Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a
telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam
kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat
langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah
mengambil tauhid ini?
Jawapan Kedua
Tidak berkata walau seorang daripada
Sahabat-sahabat Nabi r.a: "Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan
tauhiduluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhiduluhiah,
maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhidrububiyyah kerana
tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang
musyrikin".
Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang
mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami
pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun
dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.
Jawapan Ketiga
Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas
dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis
sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu'jam-mu'jam yang menyebut bahawa Nabi
SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu
terbahagi kepada tauhiduluhiah dan juga rububiah yang
telah diketahui oleh orang musyrik.
Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama
mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW
dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan
mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.
Jawapan Keempat
Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa
dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru
mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah
dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga
mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.
Di antara hadis yang paling masyhur menyebut
tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan
oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka
kepada penyaksian "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi
Muhammad adalah pesuruh Allah". Sekiranya mereka mentaatinya, maka
hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat
lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)
Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu
Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah
melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan
Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah
syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)
Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga
bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW
menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak
mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka
telah mengetahuinya.
Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda
kepada Muaz r.a, "Serulah mereka kepada tauhid uluhiah,"
dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat
anak bulan Ramadan, "Adakah kamu mengetahui tentang tauhiduluhiah dan
perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhidrububiah, dan adakah kamu
mengetahui tauhid asma' dan sifat?"
Jawapan Kelima
Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak
dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan
tauhidrububiah.
Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka:
Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira
imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah
SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah
SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah,
bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan
keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.
Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah
al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya
ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiahsebagaimana
yang mereka sangkakan?
Jawapan Keenam
Melalui pembahagian yang direka ini, memberi
kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan
agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama
Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan
pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.
Pada kurun ini, lahirnya pembahagian
tauhid uluhiah, rububiah,asma' dan sifat yang
dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak
mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid
rekaan ini.
Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan
pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai
sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.
Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah
rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan,
insya-Allah.
Kalau macam tu tauhid Asyairah dan Maturidiyah juga tidak bersumber dari Rasulullah
ReplyDeleteYa kerana sifat 20 semuanya berdalil menggunakan ayat al quran..tdk menggunakan hadith
Delete