Wednesday, 4 October 2017

MENJAWAB FITNAH WAHABI : NUR MUHAMMAD PART 2

SOAL JAWAB AGAMA BERSAMA 
AL FADHIL USTAZ DR UMAR BIN ABU BAKAR AL HAFIZ PHD AL BESUTY
FELLOW DAR-AL HADITH AL HASANIYYAH, MOROCCO

NUR MUHAMMAD DAN PERSOALANNYA



SOALAN 1 : Ada seorang Ustaz memberitahu, konsep Nur Muhammad ini adalah konsep yang sesat, bida’ah dan syirik. Kerana konsep Nur Muhammad ini meletakkan ALLAH menjadi TERPAKSA untuk menjadikan alam ini kerana Nur Muhammad. Betulkah begitu ?

JAWAPAN 1 : Itu BUKAN konsep Nur Muhammad. Ustaz tersebut TIDAK JUJUR dalam menjelaskan apa itu Konsep Nur Muhammad.

Berdasarkan Hadith dan atsar para sahabat. 

Makhluk pertama yang diciptakan ALLAH   adalah Nur Rasulullah atau kini dinamai sebagai Nur Muhammad. Selepas penciptaan Nur Muhammad, barulah diciptakan makhluk-makhluk yang lain dan alam ini. Dan penciptaan makhluk-makhluk yang lain selepas penciptaan Nur Muhammad, BUKAN bermakna ALLAH terpaksa mencipta alam ini kerana Nur Muhammad. Yang sebenarnya dari Nur Muhammad ini dijadikan makhluk-makhluk yang lain. 

Tamsilan yang mudah faham. 

ALLAH menciptakan Adam AS dan Siti Hawa AS. Dari mereka maka lahirlah manusia yang pelbagai bangsa, rupa paras dan warna kulit. Apakah ALLAH dikatakan TERPAKSA mencipta manusia yang pelbagai bangsa, rupa paras dan warna kulit kerana Adam AS ? ... Jawapannya TIDAK.

Begitu juga, bila ALLAH menciptakan Nur Muhammad sebagai makhluk yang pertama. Dan dari Nur Muhammad inilah ALLAH menciptakan Qalam, Kursi, Arasy, malaikat, jin, manusia syaitan dan alam ini. WARASKAH AKAL jika kita mengatakan ALLAH adalah terpaksa mencipta alam ini kerana Nur Muhammad? ... Jawapannya adalah TIDAK WARAS.


Ini dinyatakan oleh Al-Amir 'Abdul Qadir al-Jazaairi dalam kitabnya "al-Mawaqif". 


Juga dinyatakan oleh Syaikhul Islam Ibrahim al-Baijuri rahimahullah. Dalam kitab tawhidnya "Tuhfatul Murid 'ala Jawharatit Tawhid", mukasurat 80. Syeikh Ibrahim Bajuri rahimahullah ada;ah ulama besar yang menjadi Syaikhul Azhar, pengarang berbagai kitab pegangan antaranya yang masyhur "Hasyiah al-Bajuri 'ala Ibni Qasim al-Ghazi" dalam fiqh Syafi`i. 

Dan ramai lagi ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada konsep Nur Muhammad. Dan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang berpegang kepada konsep Nur Muhammad ini telah memberikan tafsiran yang sekali-kali TIDAK BERCANGGAH dengan 'aqidah dan syariah Islam serta disandarkan kepada DALIL-DALIL yang boleh dipegangi. 

Secara ringkasnya mereka berpegang bahawa:-

  1. Nur Muhammad adalah makhluk PERTAMA yang diciptakan ALLAH yaitu paling awal di alam arwah dan merupakan roh Junjungan
  2. Nur Muhammad ini dicipta daripada nur yang juga dicipta dan dimiliki ALLAH , yang mana hakikatnya tidak diketahui kerana ianya merupakan ilmu ALLAH . semata-mata dan BUKANlah erti "nur" itu cahaya atau sinar seumpama cahaya matahari atau lampu yang merupakan lawan bagi kegelapan atau sesuatu yang boleh menerima kegelapan.
  3. Nur Muhammad inilah yang menjadi asal atau benih atau dengan kata lain menjadi sebab bagi kewujudan sekalian makhluk lain. Seumpama kewujudan Nabi Adam AS sebagai penyebab kewujudan sekelian manusia yang berbagai bangsa, rupa paras dan warna kulit. Dan kewujudan makhluk lain dan alam ini HANYALAH HARUS BAGI ALLAH . Bukannya TERPAKSA bagi ALLAH untuk mewujudkan makhluk dan alam ini. ALLAH jadikan alam ini semata-mata kerana hendak menzahirkan rahmat-NYA ini bagi sekalian alam.
Justeru itu, nampaklah perbezaan yang ketara antara konsep Nur Muhammad yang SEBENAR berbanding konsep Nur Muhammad yang disebarkan oleh Ustaz tersebut dengan secara tidak jujur.


@@@@@@@@@@@@@@@@@


SOALAN 2 : Ustaz tersebut menyatakan, konsep Nur Muhammad ini adalah konsep sesat, bida’ah dan syirik yang diada-adakan oleh orang sufi yang berfahaman Bathiniyyah. Apa pandangan Ustaz ?

JAWAPAN 2 : Berat tuduhan tersebut. Ustaz tersebut sama ada dia TIDAK JUJUR atau dia seorang JAHIL. Sama ada tidak jujur atau jahil, kita tidak boleh menuntut ilmu darinya.

Bila dia kata konsep ini adalah bida’ah, dia mengatakan konsep Nur Muhammad tidak ada di zaman Rasulullah dan para sahabat yang diredhai ALLAH .

Sebenarnya konsep Nur Muhammad ini sudah dibahaskan di kalangan para sahabat Rasulullah 
 .BUKTINYA, secara ILMIAH, konsep Nur Muhammad ini dibahaskan oleh DUA ORANG SAHABAT RASULULLAH .

Sahabat pertama ialah Saiyidina Ibnu Abbas radhiyallahuanhu. Dalam Tafsir Ibnu Abbas berjudul TANWIR AL MIQBAS cetakan Lebanon: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Halaman 296. Saiyyidina Ibnu Abbas Radhiyallahuanhu yang wafat pada tahun 68 Hijrah, TELAH membahaskan tentang NUR MUHAMMAD dalam tafisr Surah An Nur ayat ke 36 pada kalimat “Nur ‘ala Nur” (Cahaya di atas cahaya). Ini BUKTI Nur Muhammad sudah ada di zaman sahabat Rasulullah .

Sahabat kedua ialah Saiyidina Abu Darda radhiyallahuanhu. Ini dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar Al Asqalaniy rahimahullah dalam kitabnya “Ta’jil Al-Manfa’ah”. Beliau menukilkan kenyataan Sulaiman ibn Ahmad Ath-Thabrani (Imam Thabarani) dalam kitab Musnad Asy-Syamiyin, cetakan Beirut: Muassasah Ar-Risalah, 1984 Jil. III, hal. 385. Saiyidina Abu Darda radhiyallahuanhu juga menjelaskan konsep Nur Muhammad saat menjelaskan Sirah ibn Fatik Al-Asadi. Anda semua boleh rujuk Ibnu Hajar Al-Asqalani, Ta’jil Al-Manfa’ah Bizawa’id Rijal Al-‘imah Al-Arba’ah, (Beirut: Dar Al-Basya’ir, 1996) Jil. I, hal. 568. 

Apakah Saiyyidina Ibnu Abbas radhiyallahuanhu dan Saiyidina Abu Darda radhiyallahuanhu menganut fahaman Bathiniyah ? …. MUSTAHIL. Kedua-duanya sahabat Rasulullah yang diredhai ALLAH . Mereka adalah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang paling hampir dengan Rasulullah dan yang paling LAYAK menghalalkan konsep Nur Muhammad. 

Sesungguhnya Ustaz tersebut salah kerana tidak jujur atau jahil. Justeru itu Ustaz tersebut mengajak orang awam untuk memfitnah para sahabat Rasulullah ﷺ. Ini AMAT bahaya. Sewajarnya dilaporkan Ustaz ini kepada pihak penguasa agama.

@@@@@@@@@@@@@@


SOALAN 3 : Ada seorang ustaz cakap, Nur Muhammad ini tiada sandaran dalil dari Al Quran dan Hadith. Betul ke Ustaz ?


JAWAPAN 3 : SALAH TU. Nur Muhammad ada BANYAK dalil dari Al Quran dan Hadith. Antara dalil Al Quran ialah :

Firman ALLAH :

يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡڪِتَـٰبِ قَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمۡ ڪَثِيرً۬ا مِّمَّا ڪُنتُمۡ تُخۡفُونَ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَيَعۡفُواْ عَن ڪَثِيرٍ۬‌ۚ قَدۡ جَآءَڪُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ۬ وَڪِتَـٰبٌ۬ مُّبِينٌ۬ (١٥)



Ertinya : Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad ) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu CAHAYA KEBENARAN (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. (Al Maidah ayat : 15)

Ini salah satu ayat Al Quran yang ada hubung kait dengan Nur Muhammad. Antara ayat lain ialah Surah An Nur ayat 35 dan 36. Dan ada BANYAK lagi ayat-ayat Al Quran yang menjadi dalil akan konsep Nur Muhammad.

Antara dalil Hadith pula :

Dari Maisarah Al Ajrah beliau berkata :


قلت يا رسول الله . متى كنت نبيا ؟. قال : وأدم بين الروح والجسد.


 “Aku Berkata “ Wahai Rasulullah , Bila Anda telah  menjadi Nabi?. Baginda bersabda ” Sedang Adam diantara Ruh dan Jasad”

Hadith ini telah diriwayatkan oleh IMAM AHMAD, AL BUKHARI ( dalam kitabnya TARIKH). AT THOBARANIY DAN AL HAKIM MENSAHIHKANNYA. Berkata AL HAFIZ IBNU HAJAR AL ASQALANIY ” SANADNYA ADALAH KUAT “.

Secara langsung, dakwaan Ustaz yang mengatakan TIADA dalil dari Al Quran dan Hadith adalah TERTOLAK. Ini bermakna Ustaz berkenaan sebenarnya tidak belajar dan tidak ada ilmu. Seeloknya carilah Ustaz yang belajar dan ada banyak ilmu. Bukan Ustaz yang jahil tetapi merasakan dirinya paling alim.



@@@@@@@@@@@@@@@@@@


SOALAN 4 : Ustaz tu cakap, hadith berkenaan Nur Muhammad KESEMUANYA adalah Hadith Palsu. Katanya lagi, meriwayatkan hadith palsu bermakna berdusta atas nama Nabi dan menempah tempat duduk di dalam neraka. Benarkah Ustaz ?


JAWAPAN 4 : Dalil hadith yang berhubungkait dengan Nur Muhammad yang saya sebutkan tadi diriwayatkan oleh :

1. Imam Ahmad dalam Musnad 
2. Imam Al Hakim dalam kitab Mustadrak ‘ala Sahihain
3. Imam Bukhari dalam kitab At Tarikh 
4. Imam Al Baghawi dalam Ma'alim Al Tanzil
5. Imam Ibn As Sakan
6. Imam Abu Nuaim dalam kitabnya Al Hilyah
7. Imam Ibnu Hajar Al Asqalaniy dalam kitabnya Al Isabah
8. Qadi ‘Iyad yang terkenal dengan kitab al-Shifa,
9. Imam al-Suyuti dalam kitabnya Tafsir Jalalain dan Al Riyad Al Aniqa
10. Firuzabadi dalam kitabnya Tanwir al-Miqbasnya atau Tafsir ibn ‘Abbas.
11. Imam Fakhru’d-Din al-Razi, dalam kitabnya Tafsir al-Kabir
12. Qadi al-Baidawi dalam kitabnya Tafsir al-Baidawi
13. Al-Nisaburi dalam kitabnya Ghara’ib al-Qur’an
14. Al-Baghawi dalam kitabnya Ma’alim al-Tanzilnya
15. Al-Tabari dalam kitabnya Tafsir  At Tabari dan al-Riyad al-Nadira
16. Tirmidzi dalam kitabnya Sunan Tirmidzi
17. Baihaqi dalam kitabnya Daala’il al-Nubuwwah
18. Ibn Hajar Haitami dalam kitabnya D ala’il al-Nubuwwah
19. Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Kathir  dan kitab Mawlidur Rasulullah
20. Al-Nasafi dalam kitabnya Tafsir al-Madarik
21 dan ramai lagi

Kesemua ulama-ulama Hadith yang saya sebut meriwayatkan hadith tersebut adalah ulama-ulama BESAR di bidang hadith khususnya Imam Bukhari.  Kesemua mereka bukan sekadar menghafal Al Quran, mereka juga menghafal ratusan ribu hadith beserta sanad dan matan. Apakah KESEMUA ulama-ulama berkenaan meriwayatkan Hadith Palsu ? Apakah KESEMUA ulama-ulama berkenaan sudah menempah tempat duduk di dalam neraka kerana berdusta atas nama Rasulullah  kerana meriwayatkan hadith palsu ? TIDAK SAMA SEKALI. 

Adakah Ustaz tersebut menghafal AL Quran ? Apakah Ustaz tersebut menghafal ratusan ribu hadith beserta sanad dan matan ? Jika tidak. Apa hak Ustaz tersebut hendak menuduh imam-imam hadith ini meriwayatkan hadith palsu ? Sungguh TIDAK BERADAB.

Ustaz yang menuduh hadith berhubungkait dengan Nur Muhammad adalah hadith palsu, dia sebenarnya yang berdusta atas nama Rasulullah  dan memfitnah ulama-ulama besar Hadith.





Kota Damansara
5 October 2017
1.15 am 


4 comments:

  1. {نار نور على نور} فهو النور على النور المصباح نور والقنديل نور والزيت نور {يهدي الله لنوره} يكرم الله بنوره يعني المعرفة ويقال يكرم الله بدينه

    Apa yang saudara faham tentang tafsiran ini?

    ReplyDelete
  2. Kitab At-Tarikh Al-Kabir adalah kitab Rijal ditulis oleh Imam al-Bukhari sebelum Kitab Sahih al-Bukhari ditulis.
    Imam al-Bukhari tidak menilai status kesahihan hadis dalam kitab At-Tarikh Al-Kabir.

    ١٦٠٥ - مروان المقفع (١) روى عن ابن عمر.
    باب ميسرة
    ١٦٠٦ - ميسرة الفجر له صحبة، قال محمد بن سنان حدثنا إبراهيم بن طهمان عن بديل بن ميسرة عن عبد الله بن شقيق عن ميسرة الفجر قال قلت يا رسول الله متى كنت نبيا؟ قال (كنت نبيا - ٢) وآدم بين الروح والجسد.
    وروى (٣) ابن مهدي عن منصور بن سعد عن بديل، مثله.

    ١٦٠٧ - ميسرة أبو جميلة الطهوي سمع عليا وعثمان، روى عنه حصين يعد في الكوفيين.

    ١٦٠٨ - ميسرة أبو صالح عن علي، روى عنه عطاء بن السائب وسلمة بن كهيل، قال وكيع يعد في الكوفيين.

    ١٦٠٩ - ميسرة أبو جعفر (يعد في الكوفيين - ٤) عن أبي هريرة ومروان، روى عنه (٥) حصين.

    ١٦١٠ - ميسرة المرادي عن علي، روى عنه يحيى بن ميسرة

    ReplyDelete
  3. Dengan konsep Nur Muhammad inilah kita dapat mengenal Allah dan dgn konsep Nur Muhammad inilah ulamak2 Tasawuf zaman dulu membawa masuk agama Islam. Saya sangat setuju Ustaz, dgn penjelasannya dan Imam2 yng mencatatkan Hadith ttng Nur Muhammad. Alhamdulillah...

    ReplyDelete
  4. Nabi saw tidak pernah bercerita tentang nur Muhammad, sahabat2 Nabi saw juga tidak meriwayatkan tetangnya , imam-imam mazhab juga tidak merekodkan sebarang berita tentang nur Muhammad.
    Bahkan ajaran yang cuba menuhankan Nabi Muhammad adalah maksud utama dari ajaran ini.
    Nur Muhammad bukan akidah Islam, Pertama kali dibawa masuk oleh al Hallaj, kemudian dikembangkan oleh Ibnu Arab pada abad yg ke 6 Hijra melalui kitabnya Futuhat Makkiyah. Dicatatkan seramai 31 orang ulama ahlu sunnah dizamannya telah mengisytihar bahawa Ibnu Arabi telah kafir dan Murtad. Ibnu Hajar al Asqalani yg datang kemudian telah bermubahalah dengan anak murid Ibnu Arabi tentang kekafiran Ibnu Arabi.
    "Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: "Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". "
    Surah Al-Kahf: 110
    Nabi adalah manusia keturunan Adam a.s. Baginda adalah manusia yg dilahirkan oleh Aminah.
    Alam ini bukan berasal dari nur Muhammad, Alam ini adalah ciptaan Allah swt yg mana Allah swt mencipta alam ini dalam enam hari. Tiada siapa yg tahu tentang bagaimana Allah mencipta alam ini. Ia adalah rahsia Allah.
    ‘Aisyah, Ummul Mukminin Radhiyallahu anhuma berkata:
    Barang siapa yang mengatakan bahwasanya Rasulullah SAW mengetahui apa yang akan terjadi di esok hari, maka sungguh dia telah berbuat dusta yang besar kepada Allah (kerana) Allah telah berfirman (yang ertinya), ”Katakanlah, tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah .”
    Nabi saw bersabda :.
    “Sesuatu yang pertama-tama dicipta oleh Allah S.W.T. adalah al-Qalam. Allah berfirman kepadanya, “menulislah!” “Ia bertanya, apa yang harus ku tulis?” Allah berfirman, “tulislah ketentuan-ketentuan segala sesuatu hingga terjadinya hari kiamat” (HR Abu Daud, at-Tirmizi at-Thabari dan al-Baihaqi)
    Inilah pegangan ahlu sunnah wal jamaah.
    Sesiapa yg berpegang dengan akidah nur Muhammad bermakna beliau telah menafikan ayat2 Allah dan Hadis2 Nabi saw. Menolak satu ayat alQuran atau menolak satu hadis Sahih sahaja hukumya kafir.
    Apbila seseorang yakin dan percaya bahawa Alam ini berasal dari Nur Muhammad , maka ia telah menolak hadis sahih permulaan alam ini adalah al Qalam.
    Dimana persaksian wa asyhdu anna Muhammad Rasulullah..ketika kamu meninggalkan ucapan nabi dan percaya kepada Ibnu Arabi.
    Buanglah ajaran nur Muhammad, peliharalah prinsip akidah kerana Nabi saw tidak pernah bercerita tentang nur MUhammad, sahabat2 Nabi saw juga tidak meriwayatkan , imam2 mazhab juga tidak merekodkan sebarang berita tentang nur Muhammad.
    yg menjadi dalil kepada pengikut nur Muhammad adalah satu hadis palsu yg kononnya ada didalam Musannaf Abdul Razaq. Tapi hakikatnya tidak ada dan pendustaan semata.
    Sebuah kumpulan ajaran sesat dari India iaitu Brelwi (golongan penyembah kubur dan yang nur muhammad menjadi akidah teras mereka) yang mempunyai jutaan pengikut telah membuat klaim bahawa mereka menjumpai manuskrip serpihan dari Musannaf Abdul Razaq dan didalamnya terdapat hadis Jabir berkaitan awal penciptaan makhluk adalah nur muhammad.
    Ini adalah satu perkara besar yangg bakal mengubah dunia Islam sekiranya dakwaan mereka benar.
    Pada tahun 2005 Ulama2 hadis telah meminta manuskrip tersebut untuk dikaji. Malangnya pihak Brelwi hanya memberi salinan dan menyatakan bahawa manuskrip tersebut telah hilang di Rusia.
    Kegagalan pihak brelwi untuk menyerahkan manuskrip dan percubaan memasukkan hadis palsu nur muhammad tersebut membuka tembelang bahawa niat jahat mereka.
    Kenapa gagal?, kerana Allah telah berjanji untuk memelihara al Quran dan apa yg terikat dengan al Quran (hadis sebagai penfsir alQuran) akan turut terpelihara dari diselewengkan.

    ReplyDelete