Friday, 8 May 2020

AL HAFIZ SHEIKH ABDULLAH IBNU SIDDIQ AL GHUMARI



AL HAFIZ SHEIKH ABDULLAH IBNU SIDDIQ AL GHUMARI

A) Nama dan keluarganya.

Beliau adalah al Allamah al Sayyid Abu al Fadhl; Abdullah ibn al Allamah Abi Abdillah Syamsuddin (Matahari agama) Muhammad ibn al Wali al Kabir (wali yang agung) Sayyidi Muhammad al Siddiq al Ghumari al Hasani (berketurunan Saiduna Hasan ibn Saiduna Ali رضي الله عنهما) al Tonji. Inilah keluarga al Ghumari, keluarga ulama yang melahirkan ahli Hadith. Ayahnya, abang, adik, bapa saudara, serta seluruh keturunannya adalah ulama yang disegani dan diperakui keilmuannya.

B) Kelahirannya.

Beliau رحمه الله dilahirkan pada akhir Jamadil Akhir 1328H/1910M di Thaghr, Tonjah, Magribi.
C) Zaman Mudanya; Pengembaraan Menuntut Ilmu

Syeikh Abdullah al Ghumari membesar dibawah pentarbiahan ayahandanya yang mulia, Muhaddith zamannya Sayyid Muhammad رحمه الله . Beliau menghafaz al Quran dengan qiraat Warasy diikuti dengan qiraat Hafs. Kemudian Syeikh al Ghumari menghafaz hampir keseluruhan matan-matan agama yang masyhur antaranya Manzumah Maurid al Zomaan, Alfiyyah Ibn Malik dalam Ilmu Nahu, al Arbain Nawawi (Hadith), al Ajrumiah (Nahu), Bulugh al Maram dan Mukhtasar Syeikh Khalil (Fekah Maliki) dan lain-lain.

Beliau amat mementingan pembelajaran ilmu Nahu. Kita dapat lihat kesungguhan beliau, dimana beliau bukan sahaja menghafaz matan Nahu iaitu Alfiyyah dan Ajrumiyah semata-mata, tetapi mendalami maksud-maksud dan menguasai masalah-masalahnya. Oleh itu beliau mempelajari kitab Syarah al Azhari 'ala Alfiyyah dengan saudaranya Abu al Faidh, tetapi sebelum itu beliau telah membentangkan penerangannya terhadap permasalahan yng terdapat pada kitab tersebut kepada ayah saudaranya Sayyid Ahmad ibn Abdul Hafiz ibn Ajibah. Lihatlah kesungguhan penuntut ilmu yang sebenar!

Kemudian beliau bermusafir dengan perintah ayahandanya ke Fas, Maghribi; tempat dimana beliau mempelajari ilmu Hadith, Fekah dan Nahu dengan ulama’-ulama’nya dengan menghadiri pengajian di Jamiah (Universiti) al Qurawiyyin di sana, sebelum pulang ke Tonjah semula. Kaedah pengajian ketika itu masih dalam cara tradisional iaitu dengan cara talaqqi di dalam halaqah-halaqah ilmu. Setiap halaqah akan dipimpin oleh guru tertentu yang mahir dalam bidang-bidang ilmu yang pelbagai. Antara guru-guru beliau disana (di dalam kurungan adalah nama kitab yang dipelajari dari guru tersebut) ialah :

1 )) Al Syeikh al Syarif Al Habib al Muhaji (Syarh al Makudi ‘ala Alfiyah/Syarah al Quwaisani ‘Ala al Sullam)
2 )) Syeikh Muhammad ibn al Haj ibn al Muhasyi (Syarh al Makudi Hasyiah Ibn al Haj/Syarh al Bukhari oleh Imam Qustollani)
3 )) Syeikh Muhammad al Haj, sepupu Syeikh Muhammad ibn al Haj (Syarh Ibn Aqil dan Hasyiah al Sujai’e )
4 )) Syeikh Ahmad al Qadiri (kitab al Jinayat dari kitab Syarah al Kharsyi)
5 )) Al Allamah al Sayyid Ahmad ibn al Jailani al Amghari
6 )) Al Allamah Abdullah al Fudhaili (sebahagian Muhktasar Syarh al Zarqani/Risalah al Wadh’ie)
7 )) Syeikh Abdul Rahman al Qurasyi
8 )) Al Faqih Abu Syita’ al Sonhaji (Hasyiah Ahmad ibn al Khayyat)
9 )) Syeikh Muhammad al Sonhaji- saudara kandung Syeikh Abu Syita’ (Syarah al Kharsyi dari bab al Buyu’)
10 )) Syeikh al Husain al Iraqi (Jam’ul Jawami’ Hasyiah al Mahalli)
11 )) Syeikh Abdul Hay al Kattani (Hasyiah al Syinwani ‘Ala Ibn Abi Jamrah)
12 )) Al Allamah al Syeikh al Qadhi al Abbas ibn Abi Bakar Banani (Jam’ul Jawami’/al Maqulat al ‘Asyr/al Tauhid oleh Ibn ‘Asyur)
13 )) Sayyid Muhammad ibn Jaa’far al Kattani
14 )) Sayyid Mahdi al ‘Azuzi
15 )) Syeikh Fathullah al Banani al Ribathi
16 )) Al Allamah al Syeikh al Radhi al Sinani yang masyhur dengan al Hamsh

Sekembalinya ke Tonjah beliau sering mendisiplinkan dirinya mengikuti majlis-majlis pengajian ayahanda di al Zawiyah al Siddiqiyah, yang merupakan ‘sekoloh pondok’ ayahandanya. Antara pengajian ayahanda yang diikutinya ialah Soheh al Bukhari dan Mughni al Labib Ma’a Murajaah Syarah al Damamini. Pada waktu yang sama, beliau telah terkehadapan berbanding rakan-rakan sebayanya dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Maka beliau telah mula mengajar di al Zawiyah al Siddiqiyah kitab al Ajrumiyah dan Risalah al Qairuwani.

Ketika itu, beliau telah menampakkan kematangan akal dan kecerdikan, dengan terhasilnya kitab pertama tulisan beliau iaitu Syarahan Matan al Ajrumiyah, kitab Nahu yang masyhur yang diberi nama oleh saudara kandungnya al Hafiz al Sayyid Abu al Faidh dengan:
Tashyidul Mabani Litaudhih Ma Hawathu al Ajrumiyah Min al Haqaiq wal Ma’aani.

D) Permufasiran ke Kaherah

Selepas Sayyid al Ghumari telah menguasai ilmu-ilmunya terutamanya ilmu Hadith beliau telah berkelana ke Kaherah pada tahun 1930M/1349M. Beliau pun menyambung pengajian di al Azhar dan menjalinkan hubungan erat dengan ulama’-ulama’nya. Ketika menetap di Kaherah, beliau sentiasa mendatangi pintu-pintu para ulama besar Mesir dan meriwayatkan hadith dan ilmu dari mereka.

E) Guru-guru Syeikh al Ghumari di Mesir.
(Di dalam kurungan adalah nama kitab yang dipelajari dari guru tersebut.)
Diantaranya ialah:
1. Syeikh Muhammad Bakhit al Muti’ey. Beliau adalah Mufti Mesir, dan di antara ulama’ hebat al Azhar. (Tafsir al Quran/ al Hidayah fi al Fiqh al Hanafi )
2. Syeikh Abdul Majid al Labban, iaitu pensyarah di Kuliah Usuluddin.
3. Syeikh Muhammad ibn Hasanain ibn Muhammad Makhluf al Adawi al Maliki (Jam’ul Jawami’ Bisyarh al Mahalli dari bab al Qiyas hingga akhir/ al Risalah al Samarqandiah fi Adab al Bahath wal Munazoroh).
4. Syeikh Abdul Qadir al Zintani al Tarabulusi (Syarh al Malawi ‘Ala al Sullam/Hasyiah al Sobban )
5. Syeikh Hamid Jad (Syarh al Asnawi ‘Ala Minhaj al Usul karangan Imam al Baidhawi/ )
6. Syeikh Mahmud Imam Abdul Rahman al Mansuri al Hanafi (Tahzib al Sa’ad Bisyarhi al Khabisi dalam ilmu Mantiq, beliau mendengar Hadith Musalsal Bil Awwaliyah daripadanya.)
7. Syeikh Muhammad ‘Izzat (al Minhaj karangan Syeikh Zakaria)
8. Syeikh Abdul Majid al Syarqawi (Syarah al Khotib ‘Ala Abi Syuja’)
9. Syeikh Muhammad ibn Ibrahim al Hamidi al Samaluthi al Maliki (Sunan al Tirmizi)
10. Syeikh Muhammad Imam ibn Burhanuddin Ibrahim yang masyhur dengan gelaran al Saqqa al Syafi’e.

Pada tahun 131M/1350H beliau telah menduduki peperiksaan Alamiah lil Ghuraba’ yang mengandungi 12 mata pelajaran, dan beliau telah berjaya dengan keputusan cemerlang. Lalu, beliau beralih untuk menduduki Alamiah al Azhar. Sekali lagi ingin saya tegaskan, bahawa beliau sudah menjadi alim semenjak di Tonjah lagi . Akan tetapi kedatangan beliau ke Mesir adalah kerana sifat tamaknya terhadap ilmu dan cintanya kepada ahli-ahlinya. Hal ini telah terakam dalam perbualan Syeikh Mahmud Syaltut keika mengucapkan tahniah atas kejayaan Syeikh al Ghumari dalam imtihan katanya; 'Kami mengucapkan tahniah kepada Syeikh Abdullah atas kejayaan beliau dalam Syahadah al Azhariyah, yang telah sedia alim semenjak dari tanah airnya.' Begitu juga Syeikh Muhammad Zaghlul sejurus al Hafiz al Ghumari mahu pulang selepas selesai dari imtihan, beliau berkata kepadannya 'mabruk, wahai 'Allamah (syeikh yanng amat alim)!'

Walaupun begitu, dalam waktu yang sama beliau sempat mengajar al Hadith di al Rawwaq al Abbasi di Universiti al Azhar. Beliau dikelilingi oleh para pelajar Syahadah al Alamiyah yang telah mengambil kesempatan ini untuk mendalami ilmu dengan al Sayyid Abdullah. Mereka telah mendapat manfaat yang banyak dengan ilmu yang dicurahkannya. Silibus pengajarannya ialah :
o Jam’ul Jawami’ karangan Imam al Suyuti
o Syarh al Malawi ‘ala a Sullam
o Sullam al Wusul ila Ilmi al Usul karangan Imam Ibn Abi Hijab
o Al Jauhar al Maknun fi al Balaghah karangan al Akhdhari
o Syarah al Makudi A’la Alfiyyah
o Tafsir al Nasafi
o Al Ahkam karangan al Aamidi
o Al Khabisi A’la Tahzib al Sa’ad fil Mantiq
o Tafsir al Baidhawi

F) Medan Da’wah.
Syeikh al Ghumari tidak mengehadkan pengajaran kepada penduduk setempat sahaja malah telah bergiat aktif dalam ruang yang lebih luas. Beliau (moga-moga Allah merahmatinya) telah berhubung dengan orang awam, menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dan mengungkai permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

Beliau juga sering menghadiri syarahan dan ceramah-ceramah agama yang ditaja oleh persatuan-persatuan Islam tempatan seperti pertubuhan al Asyirah al Muhammadiyah, Jami’yyah al Hidayah al Islamiyah dan lain-lain.

Saat itu, Mesir telah menerima kunjungan ramai para ulama hebat Islam, sama ada untuk menetap terus di Mesir atau sekadar untuk menziarahinya. Kesempatan ini digunakan Syeikh al Ghumari untuk berhubung dan meriwayatkan ilmu (belajar) daripada mereka antaranya;
1. Syeikh Muhammad Zahid ibn al Hasan al Kauthari yang merupakan salah seorang ulama’ Khilafah Uthmaniah. Beliau telah bermastautin di Kaherah selepas kejatuhan empayar Islam tersebut. Maka para ahli ilmu Kaherah mengerumuni majlis pengajian beliau kerana periwayatannya yang luas dan banyak serta mempunyai jumlah guru-guru yang ramai.
2. Syeikh Muhammad al Khidr Husain, berasal dari Tunisia dan menetap di Kaherah. Beliau antara anggota Persatuan Majlis Bahasa, yang kemudian menjawat Syeikh al Azhar.
3. Malik (Sultan) Idris al Sanusi, raja Libya yang alim lagi soleh yang bermukim di Kaherah.
4. Syeikh Jami’ al Zaitunah Syeikh al Tohir ibn ‘Asyur al Tunisi al Maliki

G) Guru-guru al Hafiz al Ghumari di Hijaz.

1 )) Al Syeikh al Muhaddith Umar Hamdan al Mahrisi.
2 )) Al Syeikh al Muhaddith Abdul Qadir ibn Taufiq al Syalabi al Tarabulusi
3 )) Al Syeikh al Mu’ammar (usianya menjangkau/melebihi 100 tahun) Muhammad al Marzuqi ibn Abdul Rahman Abu al Husain al Makki al Hanafi.

H) Guru-guru Syeikh al Ghumari di Syam.

1 )) Syeikh Yusuf ibn Ismail ibn Yusuf al Nabhani al Syafie al Beiruti
2 )) Syeikh Badruddin ibn Yusuf al Hasani al Dimasyqi Al Syafie, Syeikh Darul Hadith di Damsyik.
3 )) Syeikh Muhammad Raghib ibn Mahmud al Tabbakh al Halabi al Hanafi
4 )) Ummul Banin Aminah binti Abdul Jalil bin Salim al Zura al Dimasyqiyyah

I) Ujian dan Dugaan.

Selama beliau menetap di Kaherah, beliau tidak putus-putus mengarang kitab dan risalah serta mentahqiq (mengulas) kitab-kitab besar ilmu Hadith berdasarkan ilmu, basirah, kekuatan dan kematangan akalnya yang disangga oleh maklumat yang luas terhadap bidang ini, dan penguasaannya yang mendalam terhadap ilmu Ulum Hadith. Sesungguhnya Syeikh Abdul Wahhab ibn Abdul Latif telah memuji Syeikh al Ghumari dalam muqaddimah tahqiq kitab al Maqasid al Hasanah fi Bayan Kathir Min al Ahadith al Musytaharah ‘Ala al Alsinah karangan al Sakhawi, dengan pujian yang amat baik dan layak dengannya. Komentar Syeikh Abdul Wahhab ibn Abdul Latif terhadap tahqiq Syeikh al Ghumari:

وفضيلة الأستاذ المحدث قد وُهب قريحة وقَّادة، وحافظة قوية، وبصيرة نفاذة، قلما تجد في هذا الباب مثله، وسترى فيما يمر عليك من تعليقاته أنه حرر ما فات المؤلف تحريره، وأكمل ما بيض له المصنف
‘ Dan (bahawasanya) Fadhilah al Ustaz al Muhaddith telah dikurniakan kepintaran yang luar biasa, daya ingatan yang kuat, basirah mata hati yang tajam. Amat sedikitlah orang yang menulis bab ini sepertinya. Kamu akan lihat pada syarahan-syarahan beliau terhadap kitab ini, bahawa beliau telah memperbetulkan beberapa tempat yang terlepas pandang oleh penulis asal lalu menyempurnakannya.’

Sentiasalah kemudian dari itu, Syeikh al Ghumari mendapat tempat yang baik di sisi Ulama Mesir, hinggalah menerima ujian yang berat pada akhir tahun 1950-an.
Sesungguhnya angin badai hasad dengki dan kezaliman telah bertiup laju menghantam siapa sahaja yang berdiri di hadapannya, walaupun mereka dikalangan ulama Mesir yang alim dan berakhlak mulia. Orang-orang yang hasad telah melontarkan tuduhan yang kononnya beliau terbabit dengan persatuan Ikhwan Muslimin, kerana berasa dakwah Syeikh akan menggugat kedudukan mereka. Dengan tuduhan tidak berasas ini, Syeikh al Ghumari telah meringkuk di dalam penjara selama 11 tahun! Ya, selama 11 tahun dari 15/12/1959 hingga 26/12/1969. Setelah keluar dari penjara, beliau terus melakukan usaha dakwah seperti dahulu dalam penulisan dan pengajaran.
J) Kitab-kitab Karangannya.
Syeikh Abdullah mempunyai banyak kitab-kitab dalam subjek Fekah dan Hadith yang menjangkau seratus buah kitab. Umpama bunga-bunga di taman yang mengandungi pelbagai warna dan rupa, begitulah jenis buku-buku karangannya yang mengandungi pelbagai disiplin ilmu dan makrifat. Antara kitab yang termasyhur ialah:
* Sebahagian Tafsir Al Quran al Karim (hingga Surah Hud)
* Dilalah al Quran al Mubin A’la Anna al Nabi (صلى الله عليه وآله وسلم ) Afdhal Alamin
* Kaifa Takun Muhaddithan
* Taujih al ‘Inayah bi Ta’rif al Hadith Riwayatan wa Dirayatan
* Al Kanzul Thamin Fi Ahadith al Nabi al Amin
* Nihayah al Aamal fi Syarah wa Tashih Hadith ‘Aradh al A’maal
* Al Saif al Battar Li Man Sabba al Nabi al Mukhtar (membincangkan hukuman penghina Rasulullah)
* Al Rad al Muhkam al Matin Ala al Qaul al Mubin (merupakan penolakan terhadap golongan yang menolak keharusan bertawassul)
* Ittihaf al Anbiya’ bi Jawaz al Tawassul Bi Sayyidil Anbiya’ (mengandungi dalil keharusan Tawassul dengan Rasulullah)
* Irgham al Mubtadi’ al Ghabi bi Jawaz al Tawassul Bi al Nabi (mengandungi dalil keharusan Tawassul dengan Rasulullah)
* Al Qaul al Muqni’ fi al Rad ‘Ala al Albani al Mubtadi’ (penolakan terhadap pemuka bidaah)
* Khawatir Diniyyah
* Al Fathul Mubin li Syarhi al Kanzil Thamin
* Al Arba’un al Siddiqiyah Fi Masail Ijtima’iyyah.
* Al Hujaj al Bayyinat Fi Ithbat al Karamaat
* Taudhih al Bayan li Wusul Thawab al Quran (menerangkan sampainya pahala bacaan Al Quran kepada para arwah.)
* Al I’lam Bi Anna al Tasauf min Syariat al Islam (menerangkan bahawa Tasauf adalah termasuk dalam syariat Islam. )
* Al Mahdi al Muntazar
* Itqan al Sunah fi Bayan Ma’na al Bidaah. (penerangan sebenar maksud bidaah)
* Rafu’ al Syak wa al Irtiyab ‘an Tahrim Nisa’ Ahlil Kitab (menerangkan pengharaman berkahwin dengan Ahli Kitab.)
* Al Fatawa
* Ajwibah Hammah fi al Tib (perubatan)

Beliau juga telah mentahqiq kitab-kitab turath seperti:
* Al Maqasid al Hasanah oleh Imam al Sakhawi
* Bulugh al Maram oleh Imam Ibn Hajar al ‘Asqalani
* Musnad Abi Bakar al Siddiq oleh Imam al Suyuti
* Al Istikhraj li Ahkam al Kharaj oleh Imam Ibnu Rajab al Hanbali.

Begitulah Syeikh al Hafiz (moga-moga Allah merahmatinya) mempunyai sandaran yang kuat terhadap ilmu-ilmu, pandangan yang tajam dan telus, beliau telah mengumpulkan apa yang tidak dapat diperolehi oleh ulama’ selainnya.

Beliaulah al Hafiz (pakar Hadith), Usuli (pakar Tauhid), Nahwi (pakar Nahu), Faqih (alim fekah), Mufassir (ulama Tafsir), Mantiqi (ahli logika), Baligh (petah berkata-kata), penyelidik, pentahqiq dan pengkritik yang cerdik. Beliau telah mengarang kitab, mensyarah, dan mentahqiqnya serta menyebarkannya disamping mengajar dan mengeluarkan fatwa.

K) Kepulangan Ke Tonjah
Syeikh al Hafiz telah pulang ke tanah airnya Tonjah al Mahrusah (yang dilindungi Allah) pada 10 Januari 1971M selepas 40 tahun meninggalkannya. Sesungguhnya ia adalah hari yang amat bersejarah dan dinanti-nantikan semua. Maka bermulalah episod baru beliau dengan penduduk tempatan, dalam menyambungkan karier dakwah dan irsyad, mengajar, menyampai khutbah dan menulis kitab. Sesungguhnya benar-benar beliau telah meninggalkan kesan ilmiah yang penuh keberkatan, yang tidak pernah dikurniakan oleh orang sebelumnya.
L) Pemergiannya…

Syeikh yang hebat ini telah menghabiskan hari-hari akhirnya di Tonjah, tempat lahirnya. Beliau telah mengalami sakit yang membawa kepada kewafatannya di Tonjah 19 Syaaban 1413H bersamaan 12 Febuari 1993M. Beliau telah dikebumikan bersebelahan maqam kedua ibu-bapanya.


-Penutup-

Begitulah pemergian dan kehilangan ilmu yang mencurah-curah banyaknya dan faedah-faedah yang terlalu tinggi nilainya; dengan pemergian ahlinya para ulama’, terutama dengan kehilangan permata yang tidak ternilai ini AL HAFIZ AL SAYYID ABDULLAH BIN SIDDIQ AL GHUMARI.
Hakikatnya, sebanyak mana pengkaji dan pengarang menulis tentang biografinya yang mulia, serasa semakin banyak perkara dan episod penting yang tertinggal disana. Sesungguhnya ketahuilah helaian kertas ini hanyalah sekelumit dari pengalaman saki baki salafus oleh ini, yang haruslah dijadikan perangsang dan motivasi dalam melalui denai seharian kita. Hanya Pencipta sahaja yang mengetahui kadar kedudukannya disisiNya.

Moga-moga Allah Taala merahmati mereka dan menurunkan kepada mereka titisan hujan rahmat dan redha yang berkekalan. Serta golongkanlah kami ya Rab, dikalangan orang yang mengikuti jejak langkahnya, mengasihi lantas melayakkan kami bersamanya di Dar al Qarar... Amin.

M) Rujukan.
سبيل التوفيق للعلامة الحافظ عبد الله الغماري
عبد الله الصديق الغماري الحافظ الناقد تأليف الأستاذ د فاروق بن محمود حمادة
تعريف صغير بالحافظ عبد الله الغماري تأليف أبو الحفاظ الشيخ أحمد درويش
النظر الدقيق في اختصار وترتيب ترجمة الشيخ الحافظ العلامة سيدي عبد الله بن الصديق / إعداد: الدكتور رشيد كهوس
عبد الله الغماري.. بقية السلف الصالح / إعداد: أحمد تمام


No comments:

Post a Comment