ALLAH BUKAN DI LANGIT (BAHAGIAN 1)
Salah satu keyakinan Islam yang wajib diyakini adalah bahawa Allah Ta’ala itu tidak berada di suatu tempat, tidak di langit dan tidak di bumi.
Keyakinan keberadaan Allah di langit ini merupakan sebuah keyakinan sesat dan menyesatkan. Keyakinan Allah bertempat di langit bermula dari keyakinan kelompok yang sering disebut sebagai kelompok mujassimah (kelompok yang menyatakan tuhan bersifat dengan sifat benda. Pada zaman sekarang mereka sering menamakan dirinya sebagai kaum Salafi).
Berikut ini keterangan para ulama besar Ahlussunnah wal Jama’ah yang menjelaskan bahawa Allah tidak bertempat di langit, yakni sebagai berikut:
1. Abd al-Qahir al-Bagdadi (w. 429 H) dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq mengatakan:
واجمعوا على انه لا تحويه السماء ولا يجري عليه الزمان
“Telah terjadi ijmak ulama bahawa Allah Ta’ala itu tidak diliputi oleh langit dan tidak berlaku zaman atas-Nya.”
Masih dalam kitab dan halaman yang sama untuk menguatkan pernyataan beliau di atas, al-Baghdadi mengutip perkataan Sayyidina Ali r.a. seperti berikut:
إن الله تعالى خلق العرش إظهارًا لقدرته لا مكانا لذاته
“Sesungguhnya Allah Ta’ala menciptakan arasy untuk menampakkan kekuasaan-Nya, bukan untuk tempat zat-Nya.”
dan perkataan Sayyidina Ali r.a yang lain:
قد كان ولا مكان، وهو الان على ما كان
“Adalah Allah, tiada tempat bagi-Nya, dan Dia sekarang sebagaimana sebelumnya”[1]
2. Ibnu al-Jauzi (w. 597 H), salah seorang ulama hadits bermazhab Hanbali menyebut dalam kitabnya, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih seperti berikut:
قد ثبت عند العلماء أن الله تعالى لا تحويه السماء والارض ولا تضمه الاقطار ، وإنما عرف بإشارتها تعظيم الخالق عندها .
“Telah tetap di kalangan para ulama bahawa Allah Yang Maha Tinggi tidak diliputi oleh langit dan bumi dan tidak pula dihimpun oleh penjuru. Akan tetapi ditunjuk kearah langit sebagai pengagungan Zat Maha Pencipta.”[2]
3. Mulla Ali al-Qarii (w. 1014 H), seorang ulama hadits terkenal dalam kitabnya Syarh Fiqh al-Akbar karya Abu Hanifah, mengatakan bahawa Syeikh al-Imam Ibnu Abdussalam dalam kitabnya Hall al-Rumuz mengatakan:
قال الامام ابو حنيفة رضي الله عنه : من قال لا اعرف الله تعالى في السماء هو ام في الارض فقد كفر لان هذا القول يوهم ان للحق مكانا ومن توهم ان للحق مكانا فهو مشبه
“Imam Abu Hanifah mengatakan, Barangsiapa yang mengatakan saya tidak tahu apakah Allah berada di langit ataukah berada di bumi maka dia telah kafir, kerana perkataan ini memberikan persangkaan bahawa Allah bertempat, dan barang siapa yang menyangka bahawa Allah bertempat maka ia adalah musyabbih (orang yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.”
Seterusnya Mulla Ali al-Qarii mengatakan, tidak diragukan bahawa Ibnu Abdussalam adalah seorang ulama besar dan sangat dipercayai, maka wajib berpegang pada kutipannya.[3]
4. Ibnu Hajar al-Asqalani (w. 852 H), seorang ahli hadits terkenal bermazhab Syafi’i mengatakan dalam kitabnya, Fathul Barri seperti berikut:
فإن إدراك العقول لاسرار الربوبية قاصر فلا يتوجه على حكمه لم ولا كيف ؟ كما لا يتوجه عليه في وجوده أين.
“Sesungguhnya jangkauan akal terhadap rahsia-rahsia ketuhanan itu terlampau pendek untuk menggapainya, maka tidak boleh dialamatkan untuk menetapkan-Nya, mengapa dan bagaimana begini? Sebagaimana tidak boleh juga mengalamatkan kepada keberadaan Zat-Nya, di mana?.”[4]
Keyakinan adanya Allah di langit bertentangan dengan penjelasan al-Asqalani di atas yang mengatakan bahawa wujud Allah tidak dapat diisyaratkan dengan kata-kata: “di mana?”. Kerana langit merupakan tempat yang dapat menjadi jawapan pertanyaan “di mana”.
5. Al-Zabidi telah menukil perkataan Imam Syafi’i dalam kitabnya, Ittihaf al-Saadah al- Muttaqin bi Syarh Ihya ‘Ulumuddin seperti berikut:
إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته.
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah ada sedangkan tempat belum ada. Lalu Dia menciptakan tempat. Dia tetap atas sifat-Nya sejak azali sebagaimana sebelum Dia menciptakan tempat. Mustahil atas-Nya perubahan dalam Zat-Nya dan pergantian pada sifat-Nya.” [5]
6. Imam Ghazali (w. 505 H) menegaskan dalam kitab beliau yang terkenal, iaitu Ihya ‘Ulumuddin seperti berikut:
ولا يحل فيه شئ تعالى عن ان يحويه مكان كما تقدس عن ان يحده زمان بل كان قبل ان خلق الزمان والمكان وهو الان على ما عليه كان
“Tidak menempati pada-Nya sesuatu pun, Maha Suci Allah dari meliputi oleh tempat sebagaimana Maha Suci Dia dari pembatasan oleh zaman, tetapi Dia telah ada sebelum diciptakan zaman dan tempat, Dia sekarang sebagaimana ada sebelumnya.”[6]
7. Imam al-Juwaini (w. 478 H), guru dari Imam al-Ghazali mengatakan dalam kitab al-Isyad seperti berikut:
ومذهب اهل الحق قاطبة ان الله سبحانه وتعالى يتعالى عن التحيز والتخصيص بالجهات
“Mazhab ahlul haq dari ulama quthub sesungguhnya Allah SWT Maha Suci dari mengambil tempat dan dari dibatasi dengan arah.”[7]
8. Dalam Matan al-Aqidah al-Thahawiyah, Imam al-Thahawi al-Hanafi dalam menjelaskan akidah Ahlussunnah wal Jama’ah berdasarkan akidah Abu Hanifah, Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Anshary dan Abu Abdullah Muhammad bin Hasan al-Syaibani, beliau mengatakan:
لا تحويه الجهات الست
“Allah itu tidak diliputi oleh jihat (arah) yang enam.”[8]
Mengatakan Allah bertempat di langit bererti mengi’tiqadkan Allah berada pada salah satu arah yang enam, iaitu arah atas. Dengan demikian, i’tiqad Allah bertempat di langit bertentangan dengan keterangan yang telah dijelaskan oleh Imam al-Juwaini dan al-Thahawi di atas.
9. Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh dalam keputusan fatwanya No. 09 Tahun 2014, Tanggal 25 Jun 2014 memutuskan antara lain:
a. Mengimani bahawa zat Allah hanya di atas langit/arasy adalah sesat dan menyesatkan.
b. Mengimani bahawa zat Allah terikat dengan waktu, tempat dan arah (berjihat) adalah sesat dan menyesatkan.
Dalil-dalil yang menegaskan keyakinan bahawa Allah tidak bertempat di langit
1. Firman Allah Ta’ala berbunyi:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya: Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat. (Q.S. al-Syuraa: 11)
Ayat ini adalah ayat yang paling jelas dalam al-Qur’an yang menjelaskan bahawa Allah sama sekali tidak menyerupai makhluk-Nya.
Seandainya Allah mempunyai tempat seperti langit dan arah, maka akan serupa dengan-Nya. Kerana dengan demikian, bererti ia memiliki dimensi (panjang, lebar dan tinggi), sedangkan panjang, lebar dan tinggi merupakan sifat yang khusus terdapat pada benda yang baharu.
2. Ijmak para ulama bahawa tidak ada yang azali dan qadim selain Allah ini sesuai dengan firman Allah Q.S al-Hadid: 3, berbunyi:
هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ
Ertinya: Dia (Allah) yang awal dan yang akhir (Q.S al-Hadid: 3)
Dalam ayat lain Allah berfirman, yakni Q.S. al-An’am: 101, berbunyi:
وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Ertinya: Dia (Allah) menciptakan segala sesuatu dan Dia mengetahui segala sesuatu. (Q.S. al-An’am: 101)
Allah Ta’ala dengan jelas menerangkan melalui firman-Nya ini bahawa semua yang ada merupakan ciptaan-Nya, jadi tidak ada sesuatu pun selain-Nya yang bukan ciptaan Allah.
Sesuatu disebut sebagai ciptaan tentu merupakan sesuatu yang ada sesudah tidak ada. Dengan demikian, tidak ada yang qadim dan azali selain Allah.
Hadits Nabi SAW di bawah ini juga mendukung keyakinan bahawa tidak ada yang qadim selain Allah, yakni sabda Nabi SAW yang berbunyi:
كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ
Ertinya : Ada Allah tidak ada sesuatupun selain-Nya (H.R. Bukhari) [9]
Berdasarkan firman Allah dan hadits di atas, maka bererti Allah ada sebelum terciptanya tempat (langit) dan arah, maka Ia tidak memerlukan kepada keduanya dan Ia tidak berubah dari asal, yakni tetap ada tanpa tempat dan arah, kerana berubah adalah ciri dari sesuatu yang baharu (makhluk).
Seandainya Allah berada pada suatu tempat (langit), maka Allah tentu menyerupai makhluk, yakni berpindah dari azal kepada langit yang datang kemudian (yang diciptakannya).
3. Firman Allah Ta’ala berbunyi:
قُلْ لِمَنْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ قُلْ لِلَّهِ
Ertinya: Katakanlah: "Milik siapakah apa yang ada di langit dan di bumi." Katakanlah: "Milik Allah." (Q.S. al-An’am: 12)
Berdasarkan ayat ini, maka semua yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah Ta’ala. Oleh itu, apabila kita mengatakan Allah bertempat di langit, maka Allah itu menjadi milik Allah juga. Tentu ini mustahil terjadi, kerana Allah tidak mungkin memiliki diri-Nya sendiri.
4. Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda dalam doanya:
اللهم أنت الاول فليس قبلك شئ وأنت الآخر فليس بعدك شئ وأنت الظاهر فليس فوقك شئ وأنت الباطن فليس دونك شئ اقض عنا الدين واغننا من الفقر
Ertinya: Ya Allah, Engkaulah Zat Yang Maha Awal, maka tiada sesuatupun sebelum-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Akhir, maka tiada sesuatupun setelah-Mu. Engkaulah Zat Yang Maha Zahir maka tiada sesuatupun di atas-Mu dan Engkaulah Zat yang Maha Batin maka tiada sesuatu di bawah-Mu. Ya Allah selesaikanlah hutangku dan kayakan aku dari kefakiran. (H.R. Muslim)[10]
Dalam kitab al-Asmaa wa al-Shifat, al-Baihaqi menyebutkan bahawa sebahagian ulama telah menjadikan hadits ini sebagai dalil bahawa Allah Ta’ala tidak bertempat. Penjelasannya, apabila di atas Allah tidak ada sesuatu pun dan di bawah-Nya juga tidak ada sesuatu, maka Allah tidak berada di tempat manapun.[11]
5. Hadits riwayat Abu Ya’la dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أذن لي أن أحدث عن ملك قد مرقت رجلاه في الارض السابعة والعرش على منكبه وهو يقول سبحانك أين كنت وأين تكون
Ertinya: Aku telah diizinkan untuk menyampaikan berita bahawa ada seorang malaikat yang kedua kakinya terperosok dalam bumi lapis ketujuh sedang Arasy berada di pundaknya, ia berkata, “Maha Suci Allah (dari) di mana Engkau? Di mana Engkau nanti?(H.R. Abu Ya’la)[12]
Al-Haitsami mengatakan, rijalnya rijal sahih.
[13] Berdasarkan hadits ini, malaikat bertasbih dengan mengucapkan Maha Suci Allah dari pertanyaan di mana Allah? Seandainya Allah bertempat di langit, maka tasbih malaikat yang tersebut dalam hadits di atas tentu tidaklah tepat. Ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala itu tidak bertempat, baik di langit mahupun di mana sahaja.
Catatan:
Hadits-hadits sahih yang kami kemukakan di atas meskipun darjatnya ahad (dhanni wurud), tetapi kandungannya adalah qath’i, mengingat kandungan hadits tersebut bersesuaian dengan maksud firman Allah di atas.
[1] Abd al-Qahir al-Baghdadi, al-Farq baina al-Firaq, Maktabah Ibnu Sina, Kairo, Hal. 287
[2] Ibnu al-Jauzi, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih, Dar al-Imam al-Rawas, Beirut, Hal. 189
[3] Mulla Ali al-Qarii, Syarah Fiqh al-Akbar, Hal. 137-138
[4] Ibnu Hajar al-Asqalany, Fathul Barri, al-Maktabah al-Salafiyah, Juz. I, Hal. 221
[5] Al-Zabidi, Ittihaf al-Saadah al- Muttaqin, Muassisah li Tarikh al-Araby, Beirut, Juz. II, Hal. 24
[6] Al-Ghazali, Ihya Ulumuddin, Thaha Putra, Semarang, Juz. I, Hal. 89
[7] Al-Juwaini, al-Irsyad, Maktabah al-Khaaniji, Mesir, Hal. 39
[8] al-Thahawi, Matan al-Aqidah al-Thahawiyah, al-Maktab al-Islami, Hal. 7
[9] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 129
[10] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 2084, No. 2713
[11] Al-Baihaqi, al-Asmaa wa al-Shifat, al-Maktabah al-Azhariyah lil Turatsi, Hal. 373
[12] Abu Ya’la, Musnad Abu Ya’la, Maktabah Syamilah, Juz. XI, Hal. 496, No. 6619
[13] Al-Manawi, Faidh al-Qadir, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 458.
Alizar Usman (MA)
No comments:
Post a Comment