Sunday, 10 May 2020

REKOD MERAH ZULKIFLI AL BAKRI



















Neraka Binasa dan Azab Kuffar Berakhir di Hari Akhirat- kata Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri (SURAT TERBUKA SIRI 1)
1. Antara keyakinan umat Islam sama ada salaf atau khalaf bahawa syurga dan neraka telah diciptakan oleh Allah taala dan kedua-duanya kekal tanpa ada penghujung. al-Imam al-Tohawi antara ulama salaf yang masyhur menegaskan keyakinan para salafus soleh yang disepakati di dalam kitabnya al-'Aqidah at-Tohawiyyah :
وَالْجَنَّةُ وَالنَّارُ مَخْلُوقَتَانِ، لَا تَفْنَيَانِ أَبَدًا وَلَا تَبِيدَانِ
"Syurga dan neraka adalah dua makhluk yang tidak akan lenyap selamanya dan tidak akan binasa". Tidak ada dalam kalangan umat Islam sama ada salaf atau khalaf yang meyakini syurga dan neraka itu binasa melainkan golongan yang menyeleweng jua.
2. Sebelum ini telah timbul individu yang mendakwa bahawa syurga dan neraka kedua-duanya itu akan binasa seperti Jahm bin Safwan, pengasas bagi kelompok sesat Jahmiyyah. Kemudian timbul pula setelahnya individu yang menyertai sebahagian daripada keyakinan tersebut seperti ibn Taymiyyah al-Harrani yang mendakwa di dalam kitabnya bahawa neraka sahaja yang akan binasa dan akan berakhir azab seksaan ke atas golongan kuffar.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang merupakan anak murid kepada ibn Taymiyyah sependapat dengan ibn Taymiyyah dan bertaqlid kepadanya dalam perkara tersebut sebagaimana kenyataannya dalam kitabnya Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, hlm. 579 dan 582.
Seterusnya al-Albani yang juga merupakan rujukan al-Wahhabiyyah telah memperakui bahawa keyakinan ini sememangnya thabit daripada ibn Taymiyyah.
al-Hafiz al-Mujtahid as-Subki merupakan ulama Ahlus Sunnah Wal jamaah yang sezaman dengan ibn Taymiyyah sendiri mengambil tanggungjawab menolak dan membantah ibn Taymiyyah dengan penulisan yang cemerlang melalui kitabnya "al-I’tibar Bibaqa’ al-Jannah wan Naar" selain menthabitkan keyakinan ini adalah keyakinan ibn Taymiyyah.
Kemudian datang al-Qardhawi pula menyetujui pendapat syaz ibn Taymiyyah dan ibn Qayyim al-Jawziyyah ini. Lebih parah lagi keyakinan yang buruk ini diteruskan dan dihidupkan oleh Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri hingga dia memasukkan keyakinan menyimpang ini dalam tulisannya Irsyad al-fatwa dan buku-bukunya yang lain buat tatapan umum masyarakat
walaupun ia jelas bercanggah dengan ijmak ummah seluruhnya. Padahal apa yang disepakati daripada al-Quran dan as-Sunnah ialah syurga dan neraka itu kekal tanpa ada sebarang penghujung.
3. Insyaallah dalam penulisan ini, kami akan memaparkan isu ini dalam beberapa siri dan akan diperlihatkan betapa jahat syubuhat yang didatangkan oleh Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri untuk mempengaruhi umat Islam dengan pegangan yang menyeleweng serta ditegakkan pada perbahasan ini hujjah-hujjah jawapan secara tepat dan tuntas dengan kepelbagaian sumber rujukan.
4. Terlebih dahulu kami katakan : Antara penyimpangan yang paling besar yang dilakukan oleh ibn Taymiyyah adalah pendapatnya mengenai neraka itu binasa. Ibn Taymiyyah dalam bukunya ar Radd ‘Ala Man Qala Bifana' al Jannah wan Naar, hlm. 27 menyebutkan :
وفي المسند للطبراني ذكر فيه أنه ينبت فيها الجرجير، وحينئذ فيحتج على فنائها بالكتاب والسنة، وأقوال الصحابة، مع أن القائلين ببقائها ليس معهم كتاب ولا سنة ولا أقوال الصحابة اهـ.
“Dalam al-Musnad karangan al-Tobarani disebutkan di dalamnya bahawa akan tumbuh di dalam neraka sejenis tumbuhan, justeru itu dijadikan hujjah atas kebinasaan neraka berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, dan pendapat para sahabat manakala mereka yang berpendapat mengenai kekalnya neraka maka tidak bersama mereka itu al-Quran dan al-Sunnah dan pendapat-pendapat sahabat". Ini dakwaan jahat ibn Taymiyyah al-Harrani terhadap Ahlus Sunnah wal Jamaah sama ada salaf mahupun khalaf.
5. Kemudian di dalam kitab yang sama, pada hlm. 71-72, ibn Taymiyyah mendakwa kononnya pendapat Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang mengatakan kekalnya neraka dengan berdasarkan hujjah ijmak itu tidak diketahui dan tidak dimaklumi. Oleh itu menurut ibn Taymiyyah hal ini tidak boleh diputuskan sebagai ijmak. Walaupun perbahasan ijmak tentang isu ini akan dibahaskan pada siri yang berikutnya, namun suka kami nyatakan bahawa ramai dalam kalangan al-Wahhabiyyah sendiri menolak dan tidak menyokong pendapat ibn Taymiyyah ini dan lebih cenderung kepada pendapat ijmak ini. Cuma agak pelik dan aneh kenapa al Bakri seolah-olah rasa terpanggil untuk menyokong fahaman ibn Taymiyyah ini dan menyebarkannya dalam masyarakat di Malaysia.
6. Ibn Taymiyyah mendakwa dengan secara dusta dan bohong seperti kebiasaan adatnya bahawa pendapat yang mengatakan neraka itu binasa adalah pendirian salaf dan khalaf. Untuk itu, ibn Taymiyyah cuba mendatangkan riwayat daripada Umar, ibn Mas'ud, Abu Hurairah, Abu Sa'id al-khudri, dan sebagainya. Berhubung kesahihan sanad periwayatan ini kepada mereka itu akan dibahas pada siri-siri yang akan datang.
7. Sangggahan :
Apa yang diketengahkan oleh ibn Taymiyyah hakikatnya adalah bertentangan dengan kenyataan yang sorih daripada al-Quran, as-Sunnah yang thabit lagi disepakati akan kesahihannya serta bercanggah dengan ijmak ummah padanya.
Pada siri 1 ini akan dibahaskan terlebih dahulu pendapat ibn Taymiyyah, ibn Qayyim al Jawziyyah dan Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri ini, dimana ambilan pendapatnya ini serta perbandingannya dengan nas-nas al-Quran yang bersifat qath’i.
8. Hakikat yang tidak boleh dinafikan terdapat ayat al-Quran yang terlalu banyak menunjukkan kekalnya neraka, thabitnya azab yang berterusan bagi golongan kuffar tanpa putus hingga tidak ada lagi penghujungnya dan golongan kuffar tidak sesekali keluar daripada neraka. Antaranya :
📖 Allah taala berfirman dalam Surah al Ahzab, ayat 64-65 :
إِنَّ ٱللَّهَ لَعَنَ ٱلْكَٰفِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۖ لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
"Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang menyala-nyala. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperolehi seorang pelindungpun dan tidak ada (pula) seorang pun penolong."
Ayat ini terlalu jelas buat yang memiliki akal yang sihat bahawa neraka itu kekal, golongan kuffar selama-lamanya berada di dalam neraka dan berterusan mereka diazab di dalamnya. Apatah lagi Allah taala menyebutkan “خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا”. Maf'ul mutlak yang didatangkan dalam ayat ini adalah penguat hujjah dan sokongan tambahan kepada hujjah ini bahawa ahli neraka dalam kalangan kuffar itu kekal selama-lama di dalam neraka.
📖 Allah taala berfirman dalam Surah at Taubah, ayat 68 :
وَعَدَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ هِيَ حَسْبُهُمْ ۚ وَلَعَنَهُمُ اللَّهُ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُقِيمٌ
“Allah taala telah berjanji dalam memberi ancaman buruk kepada orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta golongan kuffar dengan neraka jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka, dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab yang kekal abadi".
📖 Antara ayat lain yang menunjukkan golongan kuffar tidak sesekali keluar daripada neraka tersebut. Firman Allah taala dalam Surah al-Baqarah, ayat 167:
وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ
"Dan mereka (orang orang musyrik) tidak akan ke luar dari api neraka."
 Al-Tobari seorang mufassir yang terkenal tidak berfahaman sepertimana ibn Taymiyyah dalam isu ini dan juga dalam isu-isu yang lain. Beliau mengatakan mengenai ayat di atas dan menolak golongan yang mengatakan neraka itu binasa dan lenyap dengan tegasnya :
وفي هذه الآية الدلالة على تكذيب الله الزاعمين أن عذاب الله أهل النار من أهل الكفر منقضٍ، وأنه إلى نهاية، ثم هو بعد ذلك فانٍ؛ لأن الله - تعالى ذكره - أخبر عن هؤلاء الذين وصف صفتهم في هذه الآية، ثم ختم الخبر عنهم بأنهم غير خارجين من النار، بغير استثناء منه وقتاً دون وقت، فذلك إلى غير حد ولا نهاية
“Di dalam ayat ini terdapat dilalah yang menunjukkan pendustaan golongan yang mendakwa bahawa azab Allah taala terhadap penghuni neraka dalam kalangan kuffar itu akan lenyap dan ia akan ada kesudahan kemudian ia setelah itu akan binasa. Kerana Allah taala mengkhabarkan mengenai mereka yang sifat mereka telah disebutkan dalam ayat ini. Kemudian setelah itu disudahi perkhabaran tersebut bahawa mereka itu tidak akan keluar sesekali daripada neraka tanpa ada pengecualian, waktu demi waktu. Justeru, azab tersebut dengan tanpa batasan had dan tanpa penghujung”.
Lihat Muhammad bin Jarir al-Tobari, Jamek al- Bayan Fi Takwil la Quran (Tafsir al-Tobari), j.3 hlm. 299.
Lihat bagaimana al Tobari menyifatkan kelompok yang mengatakan neraka itu binasa dan azab golongan kuffar akhirnya lenyap sebagai pendusta agama. Justeru, ibn Qayyim dan Dr Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri (dalam Irsyad al-Fatwa, j.2, hlm. 26) yang menolak dan membantah pengistidlalan bahawa neraka itu kekal dan azab ditimpakan ke atas kuffar berterusan tanpa penghujung menerusi ayat ini berdasarkan pendapat al-Tobari mereka termasuk dalam kalangan pendusta agama dan pengkhianat ilmu.
Kemudian perlu kita ingat, al-Tobari ini adalah antara tokoh ulama salafus soleh. maka kenyataannya ini antara lain adalah bukti salaf menyakini kekalnya neraka sebagaimana ulama khalaf.
📖 Juga firman Allah taala dalam Surah an Nisa' ayat, 168-169 :
إِنَّ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا وَظَلَمُوْا لَمْ يَكُنِ اللهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَ لاَ لِيَهْدِيَهُمْ طَرِيْقًا إِلاَّ طَرِيْقَ جَهَنَّمَ خَالِدِيْنَ فِيْهَا أَبَدًا وَكَانَ ذَالِكَ عَلَى اللهِ يَسِيْرًا
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir atau kufur dan yang melakukan kezaliman, Allah taala sekali-kali tidak akan mengampuni (dosa) mereka dan tidak (pula) akan menunjukkan jalan hidayah kepada mereka. Kecuali jalan ke neraka jahannam; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."
📖 Allah taala berfirman dalam Surah al-Fatir, ayat 36:
الَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ مِنْ عَذَابِهَا كَذَٰلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ
“Dan orang-orang kafir bagi mereka neraka jahannam. Mereka tidak dibinasakan sehingga mereka mati dan tidak (pula) diringankan dari mereka azabnya. Demikianlah Kami membalas setiap orang yang sangat kafir.”
📖 Dalam Surah as-Sajadah, ayat 20, Allah taala berfirman :
كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ
“Setiap kali mereka (golongan Kuffar) hendak keluar daripadanya (neraka), mereka dikembalikan ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: “Rasakanlah azab neraka yang dahulu kamu mendustakannya”.
📖 Allah taala berfirman dalam Surah an-Nisa', ayat 56 :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Betapa ayat ini dengan jelas menunjukkan golongan kuffar tidak akan keluar daripada neraka selama-lamanya dan azab mereka bersifat abadi tanpa ada penghujungnya lagi.
Dan sangat banyak lagi ayat yang menegaskan mengenai kekekalan neraka, azab penghuni neraka dalam kalangan kuffar tidak akan terputus dan mereka tidak akan keluar sesekali daripadanya.
9. Al-Hafiz al-Mujtahid Taqiyyuddin as Subki salah seorang ulama terkemuka di dalam kitabnya "al Iktibar bi Baqa'i al Jannah Wan Naar” yang dikarangnya untuk membantah ibn Taymiyyah, beliau menyebutkan sekitar 60 ayat yang menjelaskan kekekalan syurga dan neraka. Bahkan memadai menolak dan melenyapkan dakwaan ibn Taymiyyah, ibn Qayyim dan Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri ini dengan firman Allah taala dalam Surah al-Israk, ayat 97 :
كُلَّمَا خَبَتْ زِدْنَاهُمْ سَعِيرًا
"Tiap-tiap kali malap nyalaan apinya (neraka), maka Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang."
10. Antara syubhah yang didatangkan oleh al-Bakri sebagai sandaran untuk mengatakan kebinasaan neraka adalah dengan cara menyelewengkan tafsiran firman Allah taala dalam Surah an-Naba’, ayat 23 :
لَابِثِينَ فِيهَا أَحْقَاباً
“Mereka (kuffar) tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya”
Setelah menyebut ayat ni, Dr Zulkifli bin Mohamad al Bakri dalam Irsyad al Fatwa, j.2,hlm.18 dengan jelas sekali mendakwa dan menyokong pendapat ibn Taymiyyah mengenai kebinasaan neraka dengan menyalahgunakan ayat ini dan menyandarkannya kepada sahabat nabi sebagaimana kenyataannya :
"Di dalam ayat ini tinggalnya mereka [kuffar] di dalam neraka dikaitkan dengan abad (kurun) yang menunjukkan satu jangka masa tertentu yang dapat dikira kerana sesuatu yang tiada penghujungnya tidak akan dikatakan berkenaan dengannya, "Dia kekal di dalamnya beberapa kurun". Hal ini telah difahami oleh para sahabat yang merupakan golongan yang paling memahami makna al Quran sebagaimana yang kami akan sebutkan nanti".
Golongan yang menyelewengkan ayat ini, mereka mengatakan bahawa al-Ahqab (الأحقاب) adalah jamak bagi perkataan : Huqbun (حقب), ia bermaksud 80 tahun. Ia adalah jamak taksir (جمع التكسير) atas wazan (أفعال) dan ia termasuk dalam kata jamak al-Qillah (جموع القلة) yang ia untuk bilangan 3 ke atas hinggalah ke bilangan 10.
11. Kita katakan : bahawa pendapat ini yang mempergunakan ayat ini sebagai sandaran itu adalah kegelinciran yang sangat dahsyat dan penyelewengan yang menyesatkan kerana ia akan berlaku percanggahan yang amat ketara dengan firman Allah taala yang telah kita sebutkan sebelum ini :
إِنَّ ٱللَّهَ لَعَنَ ٱلْكَٰفِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۖ لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
"Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang menyala-nyala. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; mereka tidak memperolehi seorang pelindungpun dan tidak (pula) seorang penolong."
Sebagaimana maklum, ayat-ayat Al-Quran sudah tentu tidak akan saling bercanggah diantara satu sama lain sebagaimana ditegaskan oleh para ulama bahkan ayat-ayat al-Quran antara satu sama lain begitu juga hadith-hadith yang thabit antara satu sama lain saling kuat-menguat kerana ia bersumberkan wahyu ilahi.
Maka jelas di sini firman Allah taala tersebut :
لَابِثِينَ فِيهَا أَحْقَاباً
Bermaksud ahqab atau berabad-abad yang tidak ada penghujungnya lagi. Dengan kata lain ia termasuk dalam penggunaan sebahagian binaan jamak al-Qillah dengan makna kata jamak al-Kathrah (جمع الكثرة). Untuk perbahasan ini mari kita lihat pendapat ulama berikut :
12. Dalam Lisan Arab, j.1 hlm. 324 karangan ibn Manzhur seorang lughawi atau pakar bahasa arab terkenal menyebutkan :
وقال الفرَّاءُ في قوله تعالى لابِثينَ فيها أَحْقاباً قال الحُقْبُ ثمانُون سنةً والسَّنةُ ثَلثُمائة وستون يوماً اليومُ منها أَلفُ سنة من عَدد الدنيا قال وليس هذا مما يدل على غاية كما يَظُنّ بعضُ الناس وإِنما يدُل على الغايةِ التوْقِيتُ خمسةُ أَحْقاب أَو عشرة والمعنى أَنهم يَلْبَثُون فيها أَحْقاباً كُلَّما مضَى حُقْب تَبِعه حُقْب آخَر وقال الزجاج المعنى أَنهم يَلْبَثُون فيها أَحْقاباً لا يذُوقُون في الأَحْقابِ بَرْداً ولا شَراباً وهم خالدون في النار أَبداً كما قال اللّه عز وجل
“ Berkata al-Farra’ berhubung firman Allah taala لَابِثِينَ فِيهَا أَحْقَاباً, kata al-Farra’ : al-Huqb bermaksud tempoh 80 tahun. Setahun ada 360 hari. Sehari darinya bersamaan 1000 tahun bagi bilangan hari di dunia”. Kata al-Farra’ lagi : “Bukan ayat ini menunjukkan ada penghabisan dan ada kemuncak (bagi azab di dalam neraka) sebagaimana yang disangka-sangkakan sebahagian manusia (al-Farra’ tidak menolak secara langsung ibn Taymiyyah dalam isu ini kerana beliau sebelum ibn Taymiyyah dengan perbezaan masa yang sangat panjang tetapi ada kemungkinan beliau membantah golongan Jahmiyyah yang diketuai oleh Jahm bin Safwan kerana mereka yang terawal menyebut isu ini). Makna ayat tersebut (mengikut al Farra') bahawa mereka (kuffar) akan tinggal di dalam neraka ahqaba (berabad-abad) setiap kali berlalu huqbun (80 tahun) dikuti dengan huqbun yang lain pula (80 tahun yang lain pula sehingga tiada lagi penghujung)”. Berkata az-Zajjaj (seorang ulama lughawi terkenal) : "Makna ayat tersebut bahawa golongan kuffar berada di dalam neraka ahqaba (berabad-abad) mereka tidak merasai dalam tempoh ahqab itu kesejukan di dalamnya atau dan tidak merasai minuman di dalamnya, mereka kekal di dalam neraka selama-lama sebagaimana difirmankan oleh Allah taala azza wajalla”.
13. al-Hafiz as-Subki dalam kitabnya "al-I'tibar Bibaqai al Jannah wan Naar" menegaskan dengan ulasan yang tuntas mengenai penyimpangan ibn Taymiyyah dalam isu ini :
فإن قلت: قد قال الله تعالى "لابثين فيها أحقاباً " قلت: هو جمع منكر يصدق على القليل والكثير وعلى ما لا نهاية له، فإن قلت هو جمع قلة لأن افعالاً من جموع القلة، قلت: قد تجمع القلة بجمع الكثرة وأيضاَ فالحقب الزمان والزمان يصدق على القليل والكثير فإذا كان المفرد كذلك فما ظنك بالجمع، فإن قلت: قد قيل إن الحقب ثمانون سنة السنة ثلثمائة وستون يوماً اليوم كألف سنة مما تعدون اليوم منها كالدنيا كلها. قلت: إذا صح ذلك فغاية الأخبار بأنهم لابثون فيها ذلك ولا يدل على نفي الزيادة إلا بالمفهوم والمنطوق يدل على التأييد والمنطوق مقدم على المفهوم، هذا إن جعلنا أحقاباً ءاخر الكلام وقد جعله الزجاج وغيره موصوفاً بقوله "لا يذوقون فيها برداً ولا شرابا" وعلى هذا لا يبقى فيه متعلق البتة.
"Jika kamu katakan: "Allah taala telah berfirman "لابثين فيها أحقاباً maka aku katakan : " ahqab adalah kata jamak yang sesuai disepadankan dengan bilangan sedikit atau banyak dan juga digunakan untuk perkara yang tidak ada penghujungnya lagi."Jika kamu kata : ia adalah kata jamak qillah, maka aku katakan : Kadang-kadang boleh digunakan jamak qillah dengan kata jamak kathrah." Juga al-Huqb itu merujuk kepada tempoh masa maka masa boleh sahaja merujuk kepada sedikit atau banyak. Jika kata mufrad boleh merujuk pada perkara tersebut apatah lagi kata jamak. Jika kamu katakan bahawa al Huqb itu adalah 80 tahun sahaja, setahun 360 hari, sehari (di akhirat) sama seperti 1000 tahun bilangan hari di dunia ini seakan-akan tempoh dunia semuanya. Aku katakan : Jika sahih perkara tersebut maka kemuncak dari perkhabaran tersebut hanyalah menunjukkan mereka tinggal di dalam neraka dalam tempoh tersebut, tidak langsung menafikan tempoh tambahan melainkan dengan cara mafhum ayat. Mantuq (apa yang dinaskan) pula menunjukkan akan kekalnya neraka dan keabadiannya. Mantuq hendaklah didahulukan atas mafhum nas (apa yang difahami dari nas). Ini jika kita anggap bahawa ahqaba adalah akhir kalam bagi ayat tersebut. Adapun az-Zajjaj dan selainnya mereka telah menjadikan ahqab tersebut hendaklah disifatkan dengan firman Allah yang seterusnya :
"لا يذوقون فيها برداً ولا شرابا"
"Mereka tidak merasai di dalam neraka kesejukan dan minuman (kekal dalam neraka)" atas pendapat ini maka tidak ada lagi sebarang taaliq untuknya dalam hal ini".
14. Jelas daripada perbahasan ini betapa bahaya pandangan Dr Zulkifli bin Mohd al-Bakri yang disebarkan kepada umat Islam melalui buku Irsyad al Fatwa dan buku-buku yang lain. Bagaimana dalam hal ini dia telah mendahulukan akal daripada nas yang sorih.
Jika dalam isu ilmu kalam sebelum ini al Bakri menolak penghujahan akal oleh golongan ulama mutakallimin, kenapa dalam isu yang berkait dengan akidah seperti ini dia mendahulukan pendapat ibn Taymiyyah, ibn Qayyim al Jawziyyah, dan al Qardhawi berbanding dengan nas-nas yang qath'i??!
15. al-Bakri juga mengelirukan umat Islam dengan mendatangkan pendapat al-Qardhawi dan lainnya yang menyelewengkan firman Allah taala berikut :
خَالِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ إِلَّا مَا شَاءَ رَبُّكَ
"Mereka kekal di dalamnya selama ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu”
Padahal tiada langsung di dalam ayat ini sebarang dalil untuk al- Bakri bagi menunjukkan neraka tersebut akan binasa dan azab golongan kuffar akan terhenti serta tidak juga menunjukkan mereka yang kuffar itu akan keluar daripada neraka.
Bahkan maknanya :
فمعناه أنهم خالدون في النار مدة دوام السماوات والأرض وما شاء الله من الزيادة التي لا نهاية لها
"Mereka kekal di dalam neraka bagi tempoh kekalnya langit-langit dan bumi serta tempoh yang dikehendaki oleh Allah taala sebagai tambahan tempoh hingga tidak ada lagi penghujung."
Ayat ini bukan bermaksud penghuni neraka dalam kalangan kuffar tersebut kekal di dalam neraka hingga ke waktu binasanya bumi dan langit-langit, kemudian setelah itu mereka akan keluar daripada neraka. Bukan itu maknanya. Hal tersebut kerana tafsiran ayat seperti itu bertentangan dengan banyak ayat yang sorih yang menunjukkan kekalnya neraka dan berterusan azab yang dikenakan kepada golongan kuffar di dalamnya.
Maka jelas di sini tafsir yang sahih bagi ayat ini adalah ahli neraka dalam kalangan kuffar itu kekal di dalam neraka untuk suatu tempoh selagi masih ada langit-langit dan bumi dan tempoh yang dikehendaki oleh Allah taala sebagai tempoh tambahan yang tidak ada kesudahan dan penghujungnya lagi. Ayat ini tafsirannya adalah sama dengan tafsiran firman Allah taala yang telah kita bahaskan sebelum ini :
لابثين فيها أحقابا
Maknanya mereka akan tinggal di dalam neraka ahqaba (berabad-abad) hingga tidak ada penghujung baginya.
16.Al-Imam Abu Mansor al-Maturidi (w. 333 H) dalam Tafsirnya “ Takwilaat Ahlis Sunnah”, j.10, hlm. 395 menyebutkan :
وقوله - عَزَّ وَجَلَّ -: (لَابِثِينَ فِيهَا أَحْقَابًا ذكر الأحقاب، ولم يبين منتهى العدد، ولو كان اللبث فيها يرجع إلى أمد في حق الكفرة، لكان يأتي عليه البيان؛ كما أتى البيان على منتهى يوم القيامة بقوله: [(فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ)]
“Mengenai firman Allah Azza Wajalla “لَابِثِينَ فِيهَا أَحْقَابًا”, disebut al-Ahqab dan tidak dijelaskan kemuncak bilangan tempohnya. Jika sekiranya tinggal di dalam neraka itu merujuk kepada masa tertentu bagi golongan kuffar sudah tentu akan datang padanya penjelasan. Sebagaimana ada penjelasannya bagi kemuncak Hari Kiamat menerusi firman Allah taala dalam Surah al-Maarij, ayat 4 yang mafhumnya :
“Dalam sehari (Hari Kiamat) yang kadarnya lima puluh ribu tahun"
Apabila tidak dijelaskan maka telah thabit bahawa ia tidak lagi merujuk kepada had batasan masa, pendapat ini disebut oleh al-Hasan”
Kemudian beliau berkata lagi :
ليعلم أنهم أبدًا فيها؛ كما قال: (خَالِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ)
“ Ketahuilah bahawa mereka (golongan Kuffar kekal selama-lamanya di dalam neraka”. Begitu juga makna firman Allah taala :
“خَالِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ”.
Dalam j.6, hlm 185, al-Imam Abu Mansor al-Maturidi mengatakan :
وقَالَ بَعْضُهُمْ: (خَالِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ) أي: ما دامت سماء الجنة وأرض الجنة، وسماء النار وأرض النار
“Sebahagian ulama mengatakan : firman Allah taala : “خَالِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ” bermaksud : mereka kekal di dalam neraka selagi masih ada langit syurga dan bumi syurga, langit neraka dan bumi neraka”.
Mengikut pendapat ini bukan langit dunia ini dan bukan bumi dunia ini yang dimaksudkan tetapi ia merujuk kepada langit syurga dan bumi syurga, langit neraka dan bumi neraka di akhirat iaitu langit dan bumi yang mubaddalah (yang ditukar) sebagaimana dijelaskan dalam surah Ibrahim, ayat 48.
17. Kita berasa hairan dan aneh kenapa Dr Zulkifli bin Mohamad al Bakri memasukkan sisipan soalan berkenaan kebinasaan neraka buat tatapan umum masyarakat seperti ini seakan-akan ia dimasukkan bukan berdasarkan soalan yang ditanya daripada masyarakat awam. Tiada faedah dan manfaat dari mendatangkan isu seperti ini dalam masyarakat melainkan untuk menyesatkan ummat!!
18.Walaubagaimanapun, suka kami kemukakan soalan ini untuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri yang memperjuangkan pendapat ibn Taymiyyah dan mempertahankannya :
🔹Jika neraka itu akan binasa dan golongan kuffar akan keluar daripadanya, serta azab mereka pula akan berakhir, di mana akan pergi golongan kuffar setelah itu??! Dimana akan pergi Abu Jahal, Firaun dan lain-lainnya??! Dimanakah nanti Iblis dan kuncu-kuncunya akan tinggal setelah binasanya neraka?!! Padahal di hari Akhirat tidak ada tempat lain melainkan dua tempat sahaja sama ada syurga atau neraka.
Bersambung...
Asatizah Masjid
Lihat lampiran di bawah ini

No comments:

Post a Comment