Saturday, 18 July 2020

04 INILAH IMAM AL MAHDI : Apa Kata Periwayat ? Part 4





Ayuh kita kenali sepintas lalu akan para ulamak yang meriwayatkan akan hadis tentang Imam Al Mahdi dan juga kita sorot sejenak, apa kata mereka tentang Imam Al Mahdi.

Telah disebut dalam penulisan yang lalu, kedapatan ulamak-ulamak dan ahli hadis yang menulis berkenaan Imam Mahdi dalam tajuk-tajuk yang khusus. Antaranya ialah :

  1. Abu Daud,
  2. At Tarmizi,
  3. Ibnu Majah,
  4. An Nasai,
  5. Al Imam Ahmad bin Hambal,
  6. Ibnu Hibban,
  7. Al Hakim
  8. Dan lain -lain


Justeru itu, dapat dibuat kesimpulan akan pentingnya persoalan Imam Al Mahdi pada kaca mata mereka. Apabila seseorang tokoh hadis mengadakan bab untuk sesuatu perkara, bermakna perkara itu adalah tsabit dan terbukti di sisinya berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam, terutamanya bila disebutkan di bawah tajuk tersebut beberapa hadis dan kemudian dia tidak membuat apa-apa komentar terhadapnya.

Berdasarkan sikap dan tindakan mereka dapat kita simpulkan bahawa mereka berpegang dengan apa yang disebutkan di dalam hadis yang dikemukakan sebagai aqidah apabila hadis-hadis itu tidak termasuk di dalam bahagian amal tetapi termasuk di dalam bahagian kepercayaan. Bab kemunculan Al Mahdi selalunya diletakkan oleh ulamak-ulamak hadis di bawah tajuk besar iaitu “Kitab Al Fitan”.

Satu sorotan sejenak dibuat dalam penulisan kali ini terhadap tokoh-tokoh atau ulamak hadis yang meriwayatkan hadis berhubung kait dengan Imam Al Mahdi. Tokoh atau pun ulamak ini terang-terangan menyebut gelaran AL MAHDI dalam penulisan dan riwayat mereka.

1. Imam Abu Daud – Nama penuh beliau ialah Sulaiman bin Al Asy-ats bin Ishak bin Baasyir bin Syaddad bin ‘Amr bin Imran Al Azdi Assijistaaniy. Beliau wafat pada tahun 275H (Al Fatihah buat beliau). Beliau telah mengadakan bab khusus berhubung dengan Al Mahdi di dalam kitab Al Fitan Jilid 2 mukasurat 232-233. Di dalamnya dikemukakan beberapa hadis dengan sanad-sanadnya yang lengkap dengan tidak membuat sebarang komentar terhadap hadis berkenaan yang mana mengikut kaedahnya sekurang-kurangnya hadis itu bertaraf hasan.

2. Imam At Tirmizi – Nama penuh beliau ialah Abu ‘Isa Muhammad bin Tsaurah bin Musa bin Dhahhak As Sulami Al Bughiy. Beliau wafat pada tahun 279H (Al Fatihah buat beliau). Di dalam kitabnya “Sunan” di bawah tajuk “Abwab Al Fitan” Imam At-Tirmizi telah mengadakan satu bab khusus bertajuk “Baabu Ma Jaa-a Fi Al Mahdi”  Jilid 2 mukasurat 47. Beliau telah mengemukakan beberapa hadis yang lengkap dengan sanad-sanadnya.

3. Imam Ibnu Majah - Nama penuh beliau ialah Abu Abdillah Muhammad bin Yazid bin Abdillah bin Majah Al Qazwini Beliau wafat pada tahun 273 Hijrah (Al Fatihah buat beliau). Beliau telah menukilkan beberapa hadis dengan sanad-sanadnya berhubung dengan kemunculan Al Mahdi di dalam Bab Al Fitan. Daripada hadis yang dikemukakan beliau, kesimpulan dapat dibuat bahawa beliau memang mempercayai akan apa yang diriwayatkannya.

4. Imam Abdul Razzak bin Hammam bin Naafi’, beliau wafat pada tahun 211H (Al Fatihah buat beliau). Beliau telah menulis satu bab berhubung Al Mahdi di dalam kitabnya “Musannaf”. Di dalam kitab itu beliau telah meriwayatkan beberapa hadis tentang kemunculan Al Mahdi (Sila rujuk kitab Musannaf, Jilid 11, muka surat 371-374)

5. Abu Abdillah Al Haakim An Naisaburi (Al Fatihah buat beliau). Beliau telah menukilkan banyak sekali riwayat tentang kemunculan Al Mahdi di dalam kitabnya “Al Mustadrak” (Sila rujuk kitab Mustadrak Jilid 4, Muka surat 502, 520, 553, 554, 557, dan 558). Daripada tindakan beliau ini dapat difaham bahawa beliau memang beri’tikad tentang kemunculan Al Mahdi. Kerana itulah beliau telah mengemukakan hadis-hadis mengenainya di dalam kitab tersebut.

6. Imam As Suyuthi wafat pada tahun 911H( Al Fatihah buat beliau). Di dalam kitab-kitab beliau iaitu Jam’ul Jawaami’, Al Jaami’ul Shaghir dan lain-lain telah mengumpulkan sekian banyak hadis-hadis tentang kemunculan Al Mahdi. Bahkan beliau telah menulis satu maqalah khusus berhubung dengan Al Mahdi ini. Di dalamnya beliau mengumpulkan sebahagian besar daripada hadis-hadis mengenainya selain daripada menekankan tentang termasuknya perkara Al Mahdi itu di dalam bab aqidah. Risalah itu bernama Al ‘Arfu Al Wardi Fi Akhbari Al Mahdi dan risalah ini kemudiannya dimasukkan ke dalam kitabnya “Al Hawi Li Al Fatawi” (Jilid 2 muka surat 57-58)

7. ‘Alauddin Ali Al Muttaqiy Al Hindi ( Al Fatihah buat beliau ) adalah penyusun kitab Jam’ul Jawaami’ karangan As Suyuthi yang berselerak ke dalam bab-bab yang lengkap dan tersusun rapi lalu kemudiannya dikeluarkan dengan nama Kanzu Al ‘Ummal. Kitab Kanzu Al 'Ummal ini  juga telah menyediakan satu bab khusus berkenaan dengan Al Mahdi. Di dalam bab itu telah dikemukakan 30 riwayat mengenainya (lihat Kanzu ‘Ummal Jilid 4 mukasurat 584-599). Di dalam kitabnya Muntakhab Kanzul ‘Ummal juga diadakan satu tajuk berhubung dengan Al Mahdi dan di bawahnya dikemukakan beberapa hadis mengenainya (lihat Muntakhab Kanzu Al Ummal di tepi Musnad Imam Ahmad – Jilid 6 mukasurat 29-37)

8. Imam Ahmad bin Hambal , wafat tahun 241Hijrah (Al Fatihah buat beliau), juga telah meriwayatkan beberapa hadis berhubung dengan kemunculan Al Mahdi di dalam Musnadnya. Daripada sikap beliau dapat difahami pendirian beliau tentang kemunculan Al Mahdi sebagai satu aqidah.

9. Hafidz Nuruddin Ali bin Abi Bakr Al Haitsami , wafat pada tahun 807Hijrah (Al Fatihah buat beliau). Beliau telah menukilkan riwayat daripada Abu Sa’id Al Khudri di dalam kitabnya “Majma’u Az Zawaa’id” tentang kemunculan Al Mahdi. (Jilid 7 muka surat 314). Selepas mengemukakan riwayat ini beliau mengatakan Imam Ahmad di dalam Musnadnya begitu juga Abu Ya’la di dalam Musnadnya telah mengemukakan riwayat ini dengan beberapa sanadnya yang mana perawi-perawinya adalah tsiqah.

10. Imam Abu Ya’la Al Maushili , wafat ada tahun 307Hijrah (Al Fatihah buat beliau) di dalam kitabnya Musnad juga telah meriwayatkan hadis-hadis tentang Al Mahdi dengan terang-terangan menyebutkan gelarannya dengan sanad-sanadnya yang sahih.

11. Hafidz Ibn Hajar Al Asqalani di dalam “Fathu Al Baari” ada menukilkan kata-kata Abul Hasan Al Khas’i Al ‘Abdi di dalam kitabnya Manaqib As Syafi’i beliau menyebutkan bahawa hadis-hadis telah sampai kepada kita secara mutawaatir bahawa Al Mahdi itu adalah daripada ummat ini dan Nabi Isa a.s akan bersembahyang di belakangnya (Fathu Al Baari Jilid 13 mukasurat 256). Di dalam kitabnya Syarah Nukhbatu Al Fikar, Hafidz Ibn Hajar menerangkan bahawa hadis-hadis mutawaatir itu tidak perlu dibahas lagi tentang perawi-perawinya bahkan wajib beramal dengannya tanpa perbahasan lagi. (Mukasurat 12)

12. Syah Waliyullah, wafat pada tahun 1176H (Al Fatihah buat beliau) menyebutkan di dalam kitabnya ‘Izqalatu Al Khafa’ bahawa kita mengetahui dengan penuh yakin bahawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam telah menyebutkan dengan terang bahawa Imam Mahdi itu akan muncul sebelum qiamat dan beliau adalah khalifah yang benar di sisi ALLAH SWT dan Rasul-NYA Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam. Dia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Dari hadis ini diketahui bahawa khilafah Imam Mahdi itu adalah sesuatu yang mesti (wajib).(Izqatulatu Al Khafa’Jilid 1 Muka Surat 6)

13. Maulana Muhammad Idris Khandahlawi mengemukakan nukilan As Suyuthi daripada kata-kata Abul Hasan Muhammad bin Al Husain bin Ibrahim bahawa “hadis-hadis kedatangan Al Mahdi dan ia dari Ahlul Bait Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam telah sampai kepada kita secara mutawaatir dan ramai sekali perawi-perawinya daripada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam”. Beliau juga menyebutkan bahawa hadis-hadis marfu’ tentang Al Mahdi melebihi 90 bilangannya, selain daripada atsar sahabat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam (sila rujuk At Ta’liqu As Sabih  Jilid 6 Mukasurat 197-198). Di satu tempat lain, Maulana Idris menulis, “Ringkasnya hadis-hadis tentang kemunculan Al Mahdi telah sampai ke peringkat mutawaatir kerana terlalu banyaknya. Ummah telah menerimanya dengan baik. Oleh itu, wajib beri’tiqad tentangnya dan tidak harus menolak dan mengingkarinya sebagaimana telah dinyatakan oleh ulamak mutakallimun sebagai salah satu aqidah yang mesti dii’tiqadkan oleh setiap orang Islam. (Sila rujuk kitab At Ta’liqu As Sabih, Jilid 6 Mukasurat 198)

a) Di antara kitab-kitab usuluddin pula yang membincangkan perkara ini dikemukakan sebagai contohnya “Syarah Aqidah As Safarini”, di dalamnya pengarangnya ada menyebutkan tentang masalah kemunculan Al Mahdi dengan panjang lebar sekali. Selepas mengemukakan sekian banyak hadis-hadis berhubung dengan kemunculan Al Mahdi, pengarangnya menulis, “Bahawa telah banyak riwayat-riwayat sampai kepada kita tentang kemunculan Al Mahdi itu sehingga ia telah sampai ke peringkat “tawaatur ma’nawi” dan perkara ini tersebar dengan luas di kalangan ulamak Ahlus Sunnah sehingga dikira sebagai salah satu aqidah mereka. Jadi beriman dengan kemunculan Al Mahdi adalah wajib sebagaimana telah ditentukan di sisi ahli ilmu dan telah dibukukan di dalam “Aqa’id ahlus Sunnah Wal Jamaah.” (Sila rujuk Syarah Aqaid As Safarini Jilid 2 Mukasurat 80)

b) Di dalam sebuah kitab aqidah yang masyhur “Nukhbatu Al La-ali Syarah Nadzam Badi’ Al Amali” pengarangnya Allamah Muhammad bin Sulaiman Al Halabiy menulis, “Ketahuilah bahawa wajib beriman dengan turunnya ‘Isa a.s. Demikian juga dengan keluarnya Al Mahdi.” (Mukasurat 71)

Berdasarkan profile periwayat, maka terungkai persoalan bahawa kemunculan Imam Mahdi di akhir zaman ini adalah suatu juzuk dalam iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

InsyaALLAH akan dipaparkan hadis-hadis berkenaan Imam Mahdi dalam penulisan yang akan datang.

To be continue ....

Masjid Pusara Aman
13 Ramadhan 1433H / 3 Ogos 2012
5.15am

No comments:

Post a Comment