Semakin banyak krisis berlaku di dunia. Semakin ramai juga umat Islam tertindas dan dizalimi. Palestine, Afghanistan, Iraq, Bosnia, Myanmar, Syria dan banyak lagi umat Islam di sembelih dan di zalimi.
Maka semakin ramailah yang mengaku dan mendakwa dirinya adalah Imam Mahdi dan jemaahnya adalah jemaah Imam Mahdi. Tak kurang juga yang berani mengubah makna hadis malah ada juga yang berani membuat hadis palsu semata-mata ingin mendapat perhatian dan mencari pengaruh dan pengikut.
Mengapa jadi begini ?
Tidak lain dan tidak bukan, kerana para pendusta ini tahu bahawa gelaran IMAM MAHDI ini adalah gelaran keramat yang menjadikan umat Islam akan menjadi pengikutnya.
Dalam penulisan yang lalu, ada di sebut riiwayat tentang Mahdi berada di sekitar seramai 25-26 orang para sahabat radhiallahu anhuma, oleh sebab itu ia mutawatir maknawi. Sementara ulama-ulama muktabar salafussoleh yang telah mentakhrij hadis-hadis tentang Imam Mahdi tidak kurang seramai 38 orang.
Tentang kesahihan riwayat, Imam Syaukani telah menjejaki sebanyak 50 hadith, di mana terdapat sebahagian daripadanya hadis-hadis yang sahih, sebahagian baki yang lain terdiri daripada hasan lizatiih, hasan lighairihi ( iaitu diangkat dari hadis dhaif yang khafif (ringan).
Hadis yang sahih boleh dipakai sebagai dalil. Begitu juga dengan hasan lighairiih yang digunakan bersama hadis hasan lizatiih. Hadis dhaif yang khafif sebagai syawahid dan semua hadis itu saling menafsirkan antara satu sama lain.
Tiada satu pun hadis yang sarih (jelas) di dalam Sahih Bukhari dan Muslim ( yang disebut kalimah Mahdi). Dalam hadis riwayat Abu Hurairah ( Sahih Bukhari dan Muslim) dan hadis riwayat Jabir bin Abdillah ( Sahih Muslim) yang mana kalimah Mahdi tidak disebut secara sarih (jelas). Kenapa Imam Bukhari dan Muslim tidak meriwayat hadis yang mempunyai lafaz al-Mahdi? Jawapannya Wallahua’lam, mungkin ia berkaitan dengan syarat yang dikehendaki oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim sendiri. Kita tahu syarat kedua-dua Imam ini iaitu mesti adanya pertemuan antara perawi (al-Luqiyah) atau kemungkinan adanya pertemuan antara perawi (Imkaan al-Luqiyah).
Ada pun, kerana tidak kedapatan hadis yang sarih di dalam Sahih Bukhari dan Muslim yang menyebut akan kalimah IMAM MAHDI, maka Imam Ibnu Khaldun berpendapat bahawa akan ada seorang yang diutuskan ALLAH di akhir zaman sebagai mujaddid. Ibnu Khaldun sama sekali tidak menolak konsep Imam Mahdi. Yang dipersoalkan ialah akan satu tokoh bernama Imam Mahdi. Antara alasan yang digunakan ialah kedapatan pihak yang BUKAN bernama Mahdi digelar sebagai Imam Mahdi oleh para ulama salafussoleh. Antaranya :
- Khulafa Rasyidin yang Empat iaitu Saiyidina Abu Bakar As Siddiq radhiallahu anhu, Saiyidina Omar Al Khattab radhiallahu anhu, Saiyidina Osman Ibnu Affan radhiyallahu anhu dan Saiyidina Ali Ibn Abu Talib karamallahu wajhah.
- Saiyidina Umar Abdul Aziz rahimahumullahu taala
Ibnu Khaldun bukan menolak konsep kezahiran Imam Mahdi. Maka ramailah pihak yang tidak faham akan perselisihan pendapat ini mengatakan Imam Mahdi adalah persoalan khilafiah bukannya persoalan aqidah. Hakikatnya Imam Mahdi adalah persoalan aqidah yang furu' dari pokok keimanan percaya kepada hari kiamat. Sebahagian hadis yang sahih itu sudah mencukupi untuk dijadikan sebagai asas ambilan aqidah walaupun ia tidak jelas. Ini kerana kita menerima ia seadanya dari hadis sahih, dari hadis hasan Lizaatiih dan hasan Lighairiih yang berfungsi sebagai penyokong hadis sahih. Namun ada juga hadis tentang Mahdi yang sangat dhaif, yang statusnya maudhu’ , yang tidak boleh dijadikan ambilan seperti hadis Mahdi al-Askari yang berasal dari riwayat-riwayat Syiah laknatullah.
Dalam penulisan terdahulu juga ada dipaparkan bahawa antara ulama-ulama yang banyak menulis hadis-hadis Imam Mahdi adalah :
1. Imam As-Suyuti dalam kitabnya Al Hawi Lil Fatawi yang memaparkan lebih 200 hadis berkenaan Imam Mahdi. Kesemua hadis tersebut dari kategori Hasan, Dhaif dan Maudhu'. Hadis Maudhu' dipaparkan bagi memperjelaskan kedudukan hadis palsu buatan Syiah.
2. Juga buku tulisan Abu Bakar Ibn Abi Haitsamah yang disebutkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimah Ibnu Khaldun.
3. Juga dalam buku Hadis-Hadis tentang Mahdi oleh al-Hafiz Abu Naiem.
4. Al-Hafiz Ibnu Kathir telah menulis di dalam kitab al-Fitan wa al-Malahim
5. Ibnu Hajar al Haitami di dalam kitabnya al-Qawl al-Mukhtasar Fi 3alamah al-Mahdi al-Muntazhar
6. As-Safariini di dalam Lawami3 al-Anwar al-Bahiyyah
7. Mulla Ali Qari di dalam Sharh al-Misykah dan di dalam al-Masyrab al-Ward Fi Mazhab al-Mahdi
8. Imam Syaukani di dalam bukunya at-Tawdiih Fi Tawatur al-Mahdi al-Muntazhar Wa Ad-Dajjal Wa al-Masiih.
9. Syeikh Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki dalam kitabnya Man Hua Al Mahdi.
Timbul pula persoalan.
Apakah hukumnya menolak kezahiran Imam Mahdi ? Maka jawabnya ialah samalah hukumnya dengan menolak hadis yang sahih.
Maka akan ditanya lagi .... Apakah kezahiran Imam Mahdi ini perkara usul ? Maka jawabnya, YA, kezahiran Imam Mahdi adalah perkara usul kerana tiada ruang untuk ijtihad. Yang menjadi perdebatan antara Ibnu Khaldun dan ulama di zamannya ialah tentang GELARAN Imam Mahdi kerana tiada hadis yang sarih menyebut akan kalimah Imam Mahdi. Namun Ibnu Khaldun sama sekali tidak menolak kezahiran seseorang mujaddid yang akan membela Islam, membawa keadilan, kemakmuran dan kesaksamaan sebelum tibanya Kiamat.
Imam Ibnu Hajar Al Haitami dalam kitabnya Al Qawl Al Mukhtasar Fi Alamatil Madi Al Muntazar, berdasarkan hadis-hadis yang ditulis dalam kitabnya itu, beliau menulis akan sifat-sifat Imam Mahdi seperti berikut :
1. Keturunannya dari Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam melalui Siti Fatimah binti Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam. Namanya seperti nama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam dan nama bapanya seperti nama bapa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam iaitu Muhammad Bin Abdullah.
2. Wajahnya tidak sama seperti wajah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam.
3. Wajahnya bersinar indah seperti sinaran bintang.
4. Akhlaknya seperti akhlak Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam.
5. Nama gelarannya ialah Abu Abdillah.
6. Warna kulitnya warna kulit Arab.
7. Tubuhnya seperti tubuh Israel.
8. Pipi kanannya ada tahi lalat.
9. Keningnya nipis melengkung tetapi tidak bersambung.
10. Hidungnya mancung.
11. Giginya jarang.
12. Renggang antara dua pehanya.
13. Umrnya ketika zahir ialah 40 tahun.
14. Lama memerintahnya 5, 7 atau 9 tahun.
15. Matanya besar dan bercelak.
16. Di tengah-tengah antara dua belikatnya ada cop khatamun nubuwwah yang jelas dan membonjol keluar dan ditumbuhi bulu.
17. Imam Mahdi memakai serban di kepalanya dan ada malaikat di atas kepalanya dan menyeru, “Sesungguhnya inilah Mahdi, hendaklah kamu mengikut akan dirinya”.
18. Menetap di Baitul Maqdis.
19. Imam Mahdi adalah umat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam dan akan memperjuangkan syariat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam.
20. Imam Mahdi akan menjadi khalifah.
21. Imam Mahdi akan mengaut harta dengan tangan-tangannya.
22. Imam Mahdi akan memberikan kekayaan kepada sesiapa yang meminta kepadanya tanpa mengira-ngira.
23. Imam Mahdi akan membawa keadilan, keamanan, kesaksamaan dan kemakmuran.
24. Kedatangan Imam Mahdi membawa nikmat kepada manusia, binatang berkembang biak, bumi mengeluarkan tumbuh-tumbuhan dengan subur.
25. Imam Mahdi adalah safwatullah.
26. Dia akan keluar pada bulan Muharram lalu menyerulah suara dari langit “Ketahuilah oleh mu bahawa sofwatullah dari kalangan makhluk ialah si fulan itu (Mahdi). Hendaklah kamu dengar dan taat padanya.
Semoga sifat-sifat yang dipaparkan berdasarkan huraian oeh Ibnu Hajar Al Haitami ini menjadi panduan kepada kita untuk mengenal Imam Mahdi yang sebenar.
To be continue ....
Masjid Kota Damansara
10 Ogos 2012 / 25 Ramadhan 1433H
3.20am
No comments:
Post a Comment