1. Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bagaimana agaknya kamu bila Isa Ibnu Maryam turun di antaramu dan pada ketika itu imam kamu adalah salah seorang daripada kamu”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Daripada Jaabir katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan ada di akhir ummatKu seorang khalifah yang mengaut harta dengan banyak (untuk diberikan kepada orang ramai) dan tidak membilangnya sama sekali”. (Hadith Riwayat Muslim)
3. Riwayat Ibnu Mas’ud secara marfu’ bahawa, “Sekiranya tidak tinggal kecuali hanya sehari sahaja daripada umur dunia ini nescaya Allah s.w.t. memanjangkan hari itu untuk menghantarkan padanya seorang lelaki dariku (dari ahli keluargaku) yang mana namanya sama dengan namaKu dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku. Ia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya ia dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
4. Ummu Salamah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Al Mahdi itu adalah daripada ahli keluargaku dari anak cucu Fatimah”. (Hadith Riwayat Abu Daud)
5. Abu Sa’id Al Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mahdi itu adalah daripadaku, luas dahinya, tinggi dan halus hidungnya, dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana ia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Ia akan berkuasa selama tujuh tahun”. (Hadith Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)
6. Sayyidina Ali pernah memandang kepada anaknya seraya berkata: “Sesungguhnya anakku ini adalah penghulu sebagaimana telah dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya (Al Hasan)”. “Daripada keturunannya akan lahir seorang yang dinamakan dengan nama Nabi kita. Ia menyerupai Baginda pada budi pekertinya dan tidak menyerupainya pada rupa parasnya”. (Hadith Riwayat Abu Daud)
7. Abu Daud meriwayatkan daripada Ali r.a. daripada Nabi s.a.w. sabda Baginda: “Sekiranya hanya tinggal sehari sahaja dari umur dunia ini pasti Allah akan menghantar seorang daripada ahli rumahku, ia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana dunia sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman”. (Hadith Riwayat Abu Daud – Kitab Al Mahdi Jilid 2 Mukasurat. 232)
8. Abu Daud meriwayatkan daripada Ummi Salamah r.a. isteri Nabi s.a.w. daripada Nabi s.a.w. sabda Baginda: “Akan berlaku perselisihan ketika matinya seorang khalifah, ketika itu akan keluarlah seorang penduduk Madinah lari ke Makkah lalu ia didatangi oleh penduduk Makkah. Mereka mengeluarkannya dengan memaksa lalu berbai’ah kepadanya (untuk menentang) satu pasukan tentera daripada Syam. Tentera itu ditelan oleh bumi di satu kawasan padang pasir antara Makkah dan Madinah. Bila perkara itu dilihat oleh orang maka ia didatangi oleh ‘Abdal Syam dan beberapa kumpulan dari Iraq untuk berbai’ah dengannya. Kemudian muncul seorang pemuda daripada Quraisy. Bapa saudara sebelah ibunya daripada qabilah Kalb yang akan menghantar tentera untuk menentang orang itu (Al Mahdi) tetapi tenteranya (Al Mahdi) dapat mengalahkan mereka. Kerugian bagi orang yang tidak menyaksikan harta ghanimah qabilah Kalb. Dia (Al Mahdi) akan membahagikan harta ghanimah itu dan beramal mengikut sunnah Nabi mereka di kalangan manusia. Ketika itu Islam tersebar dengan luas. Dia akan memerintah selama tujuh tahun kemudian wafat dan jenazahnya disembahyangkan oleh orang-orang Islam. Abu Daud berkata: “Setengah perawi meriwayatkan daripada Hisyam sembilan tahun, setengah perawi pula meriwayatkan tujuh tahun”. (Hadith Abu Daud Jilid 2 Mukasurat 232)
9. Tirmizi meriwayatkan daripada Abi Sa’id Al Khudri katanya: “Kami bimbang akan berlaku sesuatu fitnah sesudah kewafatan Nabi kami, kerana itu kami bertanya Nabi s.a.w., sebagai menjawab Nabi s.a.w. berkata: “Sesungguhnya di kalangan ummatKu ada Al Mahdi. Ia akan muncul, dia akan hidup selama lima atau tujuh atau sembilan”. Zaidlah yang ragu. Berkata Abu Sa’id kami bertanya: “Apakah yang dimaksudkan lima, tujuh atau sembilan itu? “Rasulullah s.a.w. menjawab, “Tahun”. Kemudian Rasulullah s.a.w. menceritakan: “Orang datang kepadanya seraya berkata: “Wahai Mahdi! Berikan kepada saya”. Maka dapat dia mengaut harta dengan tangan dan diisi ke dalam kain orang itu sebanyak yang termampu dibawanya”. (Hadith Tirmizi Jilid 2 Mukasurat 45 Bab Kemunculan Mahdi)
10. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas’ud katanya: “Ketika kami berada di samping Rasulullah s.a.w. tiba-tiba datang dalam beberapa orang anak muda dari Bani Hasyim. Bila mereka dilihat oleh Rasulullah s.a.w. berlinanglah air matanya dan berubahlah air mukanya langsung kami bertanya, “Kami adalah ahli keluarga yang Allah s.w.t. pilih untuk kami akhirat melebihi dunia. Sesungguhnya ahli keluargaku nanti akan menghadapi berbagai-bagai ujian, pengusiran dan penghalauan sehingga datang dari pihak Timur bersama mereka bendera-bendera hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikan maka mereka berperang sehingga mendapat kemenangan lalu diberikan kepada mereka apa yang dahulu mereka minta tetapi mereka tidak mahu pula sampailah mereka berikan bendera itu kepada seorang pemuda dari keluargaku. Ia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana mereka (penduduk dunia) memenuhinya dengan kezaliman. Sesiapa yang sempat bertemu dengan mereka maka hendaklah ia datang kepada kumpulan itu walaupun dalam keadaan mengengsot di atas salji.” (Sunan Ibnu Majah Mukasurat 299)
11. Ibnu Majah juga meriwayatkan daripada Sayyidina Ali r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mahdi itu adalah dari ahli keluargaku. Allah s.w.t. akan melayakkannya hanya dalam satu malam.” (Sunan Ibnu Majah) Hadith riwayat Ibnu Majah ini juga dikemukakan oleh Tarmizi, Abu Daud dan Haakim.
12. Haakim meriwayatkan dari Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Nanti akan keluar seorang yang dipanggil “Sufyani” dari tengah Damsyik. Kebanyakan yang mengikut mereka ialah dari qabilah Kalb. Dia akan membunuh orang sehingga membelah perut perempuan dan membunuh kanak-kanak. Maka berhimpunlah qabilah Qais untuk menentang mereka. Qabilah Qais dikalahkan sehingga tidak tinggal seorang pun dari mereka. Ketika itu keluar seorang dari ahli rumahku di Harrah. Berita kemunculannya akan sampai kepada Sufyani maka Sufyani dan bala tenteranya pergi untuk menyerangnya. Di satu padang pasir mereka ditelan oleh bumi dan tidak terselamat seorang pun dari mereka kecuali seorang yang menceritakan tentang mereka.” (Ini hadith sahih mengikut syarat Bukhari dan Muslim tetapi mereka berdua tidak mengemukakan di dalam kitab masing-masing) (Mustadrak Hakim Jilid 4 Mukasurat 250)
13. Hakim meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. katanya, “Akan berlaku fitnah yang mana daripada fitnah itulah lahir seorang manusia sebagaimana lahirnya emas di lombong. Oleh itu janganlah kamu memaki penduduk Syam. Tetapi makilah orang-orang yang zalim dari mereka kerana di kalangan mereka ada Abdal. Allah akan melepaskan hujan ke atas mereka sehingga menenggelamkan mereka dan mereka menjadi lemah sehingga mereka dapat dikalahkan oleh musang-musang. Ketika itu Allah akan menghantarkan seorang dari keluarga Rasulullah s.a.w. bersama 12,000 tenteranya jika mereka sedikit dan 15,000 jika mereka banyak. Tanda atau alamat mereka ialah “amt-amt”. Mereka akan berperang di bawah 3 panji-panji dan dilawan oleh tentera-tentera di bawah 7 panji-panji. Setiap panglima yang memimpin tentera di bawah panji-panji itu tamakkan kerajaan. Mereka akan berperang kemudian akan dikalahkan. Kemudian Allah akan melahirkan seorang dari keturunan Bani Hasyim. Dengan itu Allah mengembalikan kemesraan kehidupan penuh nikmat kepada manusia. Mereka terus berada dalam keadaan itu sampailah keluar dajjal.” (Mustadrak Al-Haakim j.4 ms 553). Di dalam riwayat ini walaupun tidak disebutkan nama dengan jelas tetapi dari riwayat Sayyidina Ali r.a. juga dikemukakan oleh Abu Daud (Jilid 2 Mukasurat 232) dan Tirmizi (Jilid 2 Mukasurat 16) ada disebutkan nama atau gelaran orang yang diutuskan oleh Allah s.w.t. itu dengan jelas.
14. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Al Hanafiyyah katanya, “Kami pernah berada di samping Ali r.a. lalu ada seorang bertanya beliau tentang Al Mahdi. Maka Sayyidina Ali r.a. berkata, “Jauh.” Kemudian dia melipat jarinya 7 dan berkata, “dia akan keluar di akhir zaman ketika mana seorang yang berkata, “Allah! Allah!” dibunuh. Allah menghimpunkan satu golongan yang bertompokan seperti awan. Allah memesrakan di antara hati mereka. Mereka tidak takut dengan sesiapa dan tidak gembira dengan sesiapa pun. Dia masuk menemui mereka seramai bilangan ahli Badr. Orang-orang dahulu tidak mendahului mereka dan orang-orang kemudian tidak mendapat kedudukan mereka. Bilangan mereka juga seramai pengikut Thalut yang menyeberangi sungai bersamanya.” (Mustadrak Al-Haakim Jilid 4 Mukasurat 554)
15. Daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Qiamat tidak akan berlaku selagi bumi tidak dipenuhi dengan kekejaman dan kederhakaan. Kemudian keluar dari ahli rumahku orang yang akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya ia di penuhi dengan kezaliman dan kederhakaan.” (Mustadrak Haakim Jilid 4 Mukasurat 557) Riwayat yang sama tersebut dalam Sunan Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Walaupun nama atau gelaran tidak tersebut dengan jelas namun ulamak hadith memasukkan hadith ini di bawah Bab Al Mahdi. Para pensyarah hadith juga mengatakan yang dimaksudkan dengan “orang itu” dalam hadith itu ialah “Al Mahdi.”
16. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Al Mahdi itu adalah dari kalangan kami Ahlul Bait”. Hidungnya mancung bongkok, dahinya luas. Dia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana dunia sebelum itu dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Dia hidup selama (sambil) Baginda Rasulullah membuka jari sebelah kiri dan dua jari sebelah kanan iaitu jari telunjuk dan jari tengah dan melipatkan jari daripadanya.” (Mustadrak Haakim Jilid 4 Mukasurat 557)
17. Daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya Rasululah s.a.w. bersabda, “Bala akan menimpa ummat ini sehingga seseorang tidak akan mendapati satu pun tempat perlindungan daripada kezaliman. Ketika itu Allah s.w.t. akan menghantar seseorang dari keturunanku dari ahli rumahku. Allah s.w.t. akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelum itu bumi telah dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Penghuni bumi dan penghuni langit senang dengannya. Langit tidak akan menahan titisannya sedikitpun melainkan akan dicurahnya melimpah ruah. Bumi tidak akan menahan sedikitpun airnya melainkan akan dikeluarkannya sehingga orang-orang yang hidup berkata, “Kalaulah orang-orang yang telah mati ada bersama mereka! Dia akan hidup selama 7 tahun atau 8 atau 9 tahun.” (Musannaf Abdul Razak Jilid11 Mukasurat 372)
To be continue .....
Villa Damansara
14 Ramadhan 1433H / 3 Ogos 2012
7.48 am
Dah ada sambungan tak
ReplyDelete