Friday, 20 June 2014

Ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah : Hayat Part 16 15 November 2011 at 14:40

Ilmu Tauhid : Hayat Part 16

15 November 2011 at 14:40



Sifat wajib bagi ALLAH SWT yang kesepuluh ialah HAYAT. Hayat ertinya Hidup Adapun hakikat Hayat itu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat ALLAH Ta’ala, maka dengan DIA zahirlah sifat yang lain-lain. Lawan bagi sifat hayat ialah MAUT ertinya mati, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan ALLAH mati kerana jikalau ALLAH mati nescaya tiadalah ada sifat yang lain seperti Qudrat, Iradat dan Ilmu maka menerimalah aqal kita wajib bagi ALLAH SWT bersifat hayat dan mustahil lawannya maut. Adapun dalilnya firman-Nya dalam Al Qur’an:

Al Furqan ayat 58 :

وَتَوَڪَّلۡ عَلَى ٱلۡحَىِّ ٱلَّذِى لَا يَمُوتُ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِهِۦ‌ۚ وَڪَفَىٰ بِهِۦ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًا (٥٨)

Dan berserahlah engkau kepada ALLAH Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya dan cukuplah Dia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;

Al Ghafir / Al Mukmin ayat 65 :


هُوَ ٱلۡحَىُّ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ فَٱدۡعُوهُ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَۗ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٦٥)

Dialah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (65)
Surah Taha ayat 111 :


۞ وَعَنَتِ ٱلۡوُجُوهُ لِلۡحَىِّ ٱلۡقَيُّومِ‌ۖ وَقَدۡ خَابَ مَنۡ حَمَلَ ظُلۡمً۬ا (١١١)

Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada ALLAH Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk selama-lamanya dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa kezaliman. (111)

Tetaplah dalam Hakikat Hayat itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al ALLAH SWT.
  1.  Hayat ALLAH Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan maut.
  2.  Hayat ALLAH Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan maut.
  3.  Hayat ALLAH Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal.
  4.  Hayat ALLAH Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat ALLAH Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu.
  5.  Hayat ALLAH Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kamuttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kamumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain)

 ANDA PENING ??? Hehehe

OK kita bahaskan menggunakan bahasa pasar. Bahasa kitab lama memang begitu. Kaya dengan sastera dan seni.
Adapun sifat wajib yang ke sepuluh bagi ALLAH Taala ialah hayat. Namun ia sama ertinya iaitu hidup.

Hakikat sifat hidup itu ialah sifat yang mengesahkan kewujudan sifat yang lain yang wujud berdiri dengan zat ALLAH Taala. Ertinya jika tiada ALLAH Taala bersifat hidup maka tiadalah ujud sifat yang  lain itu. Maka jika ALLAH Taala tidak hidup tiadalah DIA berQudrah, berIradah, berIlmu, Sama’, Basar dan tiadalah berKalam. Jadi sifat hidup itu adalah syarat bagi sifat ma’ani yanglagi enam bagi ALLAH Taala (sifat ma’ani ialah Qudrah, Iradah, Ilmu, Hayat, Sama’, Basar dan Kalam).

Adapun sifat Hayat ini tiada ta’luk baginya. Ia hanyalah semata-mata sifat yang menjadi syarat wujudnya sifat ma’ani yang lagi  enam itu.

Sifat ma’ani ertinya sifat yang wujud pada zihin (dalam fikiran) dan wujud pada kharij (di luar fikiran) yang mewajibkan sifat ma’nawiah.

Dikatakan sifat ma’ani itu wujud pada zihin kerana sifat tersebut ada pada zat Allah.

Dikatakan sifat ma’ani itu wujud pada kharij kerana sifat ma’ani tersebut berta’aluk pada yang lain.

Dikatakan sifat maani itu mewajibkan sifat ma’nawiah kerana dengan sebab ada ma’ani maka adalah sifat ma’nawiah.

Sifat ma’ani itu ada tujuh iaitu :-
  1. Qudrat ertinya kuasa – Berta’aluk kepada sekelian mumkin dan mewajibkan sifat kaunuhu kadiran iaitu keadaan Allah yang berkuasa.
  2. Iradat ertinya berkehendak – Berta’aluk kepada sekelian mumkin dan mewajibkan sifat kaunuhu muridan iaitu keadaan Allah yang berkehendak.
  3. Ilmu ertinya mengetahui – Berta’aluk kepada sekelian yang wajib , mustahil dan harus dan mewajibkan kaunuhu aliman iaitu keadaan Allah yang mengetahui.
  4. Hayat ertinya hidup – Tidak berta’aluk kepada sesuatu.Tetapi merupakan salah satu daripada sifat – sifat ma’ani kerana ia menjadi syarat kepada sifat – sifat ma’ani yang lain. Mewajibkan kaunuhu hayyan iaitu keadaan Allah yang hidup.
  5. Sama’ ertinya mendengar – Berta’aluk kepada sekelian yang maujudat (yang wujud) dan mewajibkan kaunuhu sami’an iaitu keadaan Allah yang mendengar.
  6. Basar ertinya melihat – Berta’aluk kepada sekelian yang maujudat dan mewajibkan kaunuhu basiran iaitu keadaan Allah yang melihat.
  7. Kalam ertinya berkata – kata – Berta’aluk kepada yang wajib , mustahil dan harus dan mewajibkan kaunuhu mutakalliman iaitu keadaan Allah yang berkata – kata.


Adapun hidup jasad manusia dengan adanya roh. Jasad manusia ibarat bateri dan roh manusia ibarat kuasa (power) bateri. Jika habis kuasa maka bateri tiada berguna lagi. Dan lagi  hidup manusia bermula dari tiada, kemudian lahir, dan akhirnya mati seperti ibarat bateri dicaj, digunakan dan akhirnya luput caj kemudian bateri dibuang.

Maka hakikat hidup ALLAH Taala tiada sama dengan adanya roh atau nyawa, atau dengan sedutan nafas, atau dengan jantung, atau dengan oksigen. Ertinya tiadalah hidup ALLAH Taala itu dengan menggunakan peralatan melainkan hidup ALLAH Taala semata zatNya itu hidup jua. Dan ALLAH Taala itu hidup tidak dimulakan dengan kelahiran dan tidak diakhiri dengan mati melainkan Qidam yakni sedia dan Baqa yakni kekal.

Adapun dalil akal dan kewajaran kejadian norma hidup ALLAH Taala itu ialah jika ALLAH Taala mati maka tiadalah Ia berKuasa, berKehendak Menentukan, berIlmu, Mendengar, Melihat dan berKata-kata. Maka jika demikian Ia bukanlah Tuhan dan tiadalah akan ujud ala mini. MAsakan akan ujdu alam jika Tuhan lemah. Sesuatu yang lemah mustahil dapat mencipta sesuatu.

Ini suatu masalah : Ada orang berkata “Hidup ALLAH Taala kerana Ia tiada mati”. Apakah harus kita berkata demikian?

Kewujudan zat ALLAH Taala dengan segala sifatNya tiada dengan alat atau sebab. Ertinya tiadalah ujud ALLAH Taala itu disebabkan atau dikeranakan oleh sesuatu melainkan dengan sendirinya. Maka dengan itu tiada harus diiktiqadkan hidup ALLAH Taala itu kerana Ia tidak mati. Kerana hidup kerana tidak mati atau mati kerana tidak hidup lagi itu adalah sifat makhluk. Maka jika diiktiqadkan ALLAH Taala hidup kerana tiada Ia mati, maka bersamaanlah ALLAH Taala dengan makhluk, maka mustahil pada akal dan mustahil pada kewajaran hakikat Ketuhanan yang hanya bagi ALLAH Taala semata-mata.

Inilah perbezaan Islam dengan agama selain Islam.

Dalam Kristian, tuhan Jesus boleh mati dibunuh oleh manusia yang diciptakan Tuhan.

Dalam agama Buddha, Gautama Buddha juga mati kerana diracun.

Ternyata Jesus dan Gautama Buddha BUKAN Tuhan dan tidak layak dipanggil sebagai Tuhan.
Kuching
15 November 2011
3.05 pm

No comments:

Post a Comment