Friday, 20 June 2014

Ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah : Basar Part 18 19 November 2011 at 09:27

Ilmu Tauhid : Basar Part 18

19 November 2011 at 09:27


Basar ertinya Melihat. Adapun hakikat Basar itu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat ALLAH Ta’ala, maka dengan Dia melihat segala yang mawujud sama ada yang mawujud itu Qadim atau muhadas. Adapun mawujud yang Qadim itu dzat dan sifat-Nya, maka melihat Ia akan dzat-Nya yang tiada berupa dan berwarna dan sifat-Nya yang kamalat.


Adapun mawujud yang muhadas itu sekalian alam ini maka melihat ALLAH Taala akan segala perkara yang ada pada masa sekarang ini, segala perkara yang sudah tiada dan segala perkara yang lagi akan diadakan. Tiada terdinding yang pada penglihatan-Nya oleh sebab jauh atau sangat halusnya atau sangat kelamnya.


Lawannya ‘Umyun, ertinya buta, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan ALLAH Taala buta kerana jikalau ALLAH Taala buta maka jadilah ALLAH Taala bersifat dengan sifat kekurangan. Maka menerimalah aqal kita wajib bagi ALLAH Taa’la itu bersifat Basar dan mustahil lawannya ‘Umyun atau buta


Adapun dalilnya firman-Nya dalam AlQur’an:

Dalil naqlinya firman ALLAH Taala :

Surah Taaha ayat 43 – 46


سُوۡرَةُ طٰه

ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ (٤٣) فَقُولَا لَهُ ۥ قَوۡلاً۬ لَّيِّنً۬ا لَّعَلَّهُ ۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ (٤٤) قَالَا رَبَّنَآ إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفۡرُطَ عَلَيۡنَآ أَوۡ أَن يَطۡغَىٰ (٤٥) قَالَ لَا تَخَافَآ‌ۖ إِنَّنِى مَعَڪُمَآ أَسۡمَعُ وَأَرَىٰ (٤٦)


Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. (43) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut. (44) Mereka berdua berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami atau dia akan melampau batas. (45) Allah berfirman: Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya. (46)

Surah Al Mujadalah ayat 1 :

سُوۡرَةُ المجَادلة

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قَدۡ سَمِعَ ٱللَّهُ قَوۡلَ ٱلَّتِى تُجَـٰدِلُكَ فِى زَوۡجِهَا وَتَشۡتَكِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَٱللَّهُ يَسۡمَعُ تَحَاوُرَكُمَآ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعُۢ بَصِيرٌ (١)


Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.




Tetaplah dalam Hakikat Basar itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al ALLAH Ta’ala.
  • Basar ALLAH Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan buta.
  • Basar ALLAH Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan buta.
  • Basar ALLAH Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal, dan tiada terdinding.
  • Basar ALLAH Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat ALLAH Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu.
  • Basar ALLAH Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kamuttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kamumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain).


Anda pening lagi ? Hehehe

Jom kita bahas guna bahasa pasar yang mudah.


Adapun yang ke dua belas daripada sifat yang wajib bagi ALLah Taala itu iaitu Basar. Basar ertinya melihat. Erti sifat Basar ALLah Taala itu ialah sifat yang nyata bagi-Nya setiap yang maujud. Dan maksud nyata itu pula ialah terbuka bagi ALLah Taala itu segala segala yang maujud dengan sifat melihat- Nya itu. Iaitu ALLAH mampu melihat segala-galanya. Tiada yang tersembunyi dari-Nya.


Takluk sifat Basar :  Adapun takluk sifat Basar ALLah Taala ialah takluk inkisyaf yakni terbuka kepada yang wajib dan yang harus. ALLAH mampu melihat segala-galanya sama ada ianya meliputi segala sifat dan zat-Nya. Ta’luk yang wajib itu iaitu takluk sifat Basar ini kepada zat-Nya dan segala sifat-Nya. Ertinya Basar ALLah Taala itu melihat akan zat peribadi-Nya dan segala sifat yang ada pada zat peribadi- Nya itu. ALLAH mampu melihat zat-NYA dan sifat-NYA.


Takluk sifat Basar pada yang harus itu iaitu:

1)      Patut pada azali yakni segala yang dilihat dengan ilmu-Nya pada azali itu patut diujudkan atau tidak, maka dilihat-Nya.
2)      Ketentuan pada azali yakni segala yang patut itu ditentukan oleh iradah-Nya untuk diujudkan atau tidak, maka dilihat-Nya.
3)      Tanjizi hadith iaiatu tunai selepas diujudkan, maka dilihat-Nya.


Dan sifat BAsar ini tidak tertakluk kepada yang mustahil kerana yang mustahil itu tiada ujudnya. Maka bagaimana yang tiada ujud itu boleh takluk kepada penglihatan. Berbeza ia dengan sifat Sama’ kerana sama’ itu tidak hanya takluk kepada suara, asalkan ujud maka takluklah Sama’ kepadaNya.

Adapun melihat ALLah Taala itu tiada menggunakan peralatan seperti menggunakan biji mata, atau menggunakan kaca mata dan contact lenses, atau menggunakan teropong, atau menggunakan apa sahaja yang tergambar pada akal. Hanya semata-mata dengan zat-Nya yang Maha Melihat.


Adapun dalil aqli iaitu jika tidak melihat ALLah Taala itu maka tentulah Dia buta. Buta adalah sfat kekurangan. Sifat kekurangan hanya pada makhluk. Mustahil, tidak diterima akal dan kewajaran norma ALLah Taala buta. Dan jika ALLah Taala buta maka Dia tidak layak disebut Tuhan. Maka nyatalah bahawa Tuhan tidak harus buta dan wajib melihat.


Satu contoh permasalahan dalam kehidupan yang sepatutnya difahami.

Seorang lelaki didiagnose menghidapi penyakit barah otak pada usia 40 tahun. Secara kajian klinikal dan saintifik membuktikan,  paling lama seorang pesakit barah otak boleh hidup adalah 14 bulan ke 18 bulan selepas diagnosis. Ini bermakna lelaki berkenaan akan mati pada usia 41 tahun 2 bulan atau usia 41 tahun 6 bulan.

Sabda Rasulullah SAW :

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Bukhari)

Maka lelaki tersebut pun memperbanyakkan bersedekah sambil berdoa kepada ALLAH SWT, memohon kepada ALLAH agar memanjangkan usianya. Lantas dengan keikhlasannya, lelaki tersebut masih lagi hidup bersama sakit kansernya sehingga 36 bulan.  Lebih dari jangkaan tarikh kematiannya. Pendekata, pada usia 43 tahun, lelaki berkenaan masih lagi hidup.

Maka pihak muktazilah dan pihak Kristian menjadikan peristiwa ini sebagai hujjah bahawa ALLAH tidak konsisten dengan Qadha dan Qadar-NYA. Kerana takdir ALLAH berubah-ubah.


Berdasarkan ilmu Tauhid iktiqad Al Asy’ariah, atau lebih dikenali ilmu tauhid Sifat 20. Setiap muslim yang mukallaf dan mempelajarinya dan faham akan dia (ilmu Tauhid berkenaan) pastinya sudha mampu menjawab persoalan tersebut.

Berdasarkan sifat ILMU bagi ALLAH : ALLAH mengetahui bahawa ajal lelaki berkenaan BUKAN di usia 41 tahun 2 bulan dan bukan di usia 41 tahun 6 bulan. ALLAH yang Maha Mengetahui lebih tahu dari mana-mana doctor pakar, bilakah ajal lelaki berkenaan dan di saat manakah lelaki tersebut akan mati.

Berdasarkan sifat BASAR bagi ALLAH : ALLAH melihat bahawa lelaki berkenaan akan hidup dari bayi, membesar dan mendapat sakit kanser. ALLAH juga melihat lelaki berkenaan bersedekah dengan hati yang ikhlas. ALLAH juga dapat melihat saat sebenar kematian lelaki berkenaan.

Dengan sifat IRADAH bagi ALLAH : ALLAH yang menghendaki lelaki berkenaan lahir ke dunia dan mendapat sakit kanser. ALLAH juga yang menghendaki kajian klinikal membuktikan teori bahawa orang yang kena sakit barah otak hanya boleh hidup paling lama 18 bulan dari tarikh diagnosis. ALLAH juga yang menghendaki lelaki berkenaan membaca hadis Rasulullah SAW> ALLAH juga yang menghendaki lelaki berkenaan bersedeqah dengan ikhlas. ALLAH juga yang menghendaki lelaki berkenaan berdoa dengan penuh rasa harap kepada ALLAH. ALLAH juga yang menghendaki lelaki berkenaan terus hidup di usia 43 tahun.

Dengan sifat Kudrah bagi ALLAH : ALLAH menggerakkan lelaki berkenaan membaca hadis berkenaan, lantas beramal. ALLAH menggerakkan lelaki berkenaan bersedekah dan berdoa. ALLAH mengabulkan doa lelaki berkenaan dan menghidupkannya hingga usia 43 tahun.

ALLAH Maha mengetahui dengan sifat Ilmu bagi-NYA dan ALLAH Maha Melihat dengan sifat BASAR bagi NYA akan keadaan dan perjalanan hidup lelaki berkenaan di dunia sejak azali , sejak dulu, kini dan akan datang.

Dan dengan segala sifat kesempurnaan yang selayaknya bagi ALLAH, DIA lah yang menjadikan lelaki berkenaan, menulis surata takdir dan perlakuan serta peristiwa yang di alami oleh lelaki berkenaan sehingglah nanti tibanya ketentuan-NYA, lelaki berkenaan akan dijemput kembali ke rahmat NYA.

Inilah ilmu tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Kita akan membahaskan lebih lanjut  di bawah tajuk Rukun Iman Keenam : Qadha dan Qadar.



Kuching. Sarawak
17 November 2011
10:54pm

No comments:

Post a Comment