Friday, 20 June 2014

Wukuf di Arafah Bagaikan Perhimpunan Di Mahsyar 8 November 2011 at 13:53

Wukuf di Arafah Bagaikan Perhimpunan Di Mahsyar

8 November 2011 at 13:53


Saat Israfil meniup sangkakala, maka berakhirlah usia dunia ini. Berlakulah kiamat. Segala makhluk akan mati. Dan saat ditiup sangkakala yang kedua, maka bangkitlah setiap yang bernama manusia di hari pembalasan untuk diperhitung amal perbuatan selama hidup di dunia. Andainya berat timbangan amal kebajikan, maka berbahagialah diri insan. Suratan diterima di tangan kanan dan syurga yang indah dan lazat menjadi imbuhan. Sebaliknya andai berat pula timbangan amal kemungkaran, maka celakalah hidup insan. Suratan di terima di tangan kiri dan neraka yang azab dan derita menanti untuk member pembalasan.


Saat di bangkitkan di Padang Mahsyar, tidak seorang pun yang tertinggal. Dari Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang terakhir bernafas di dunia di saat sangkakala bergema, akan dihimpunkan. Setiap amal perbuatan di dunia akan dinilai. Insan yang hidupnya dan matinya bersama iman walau sebesar zarah akan diasingkan. Sementara yang tidak beriman akan dihalau terus ke neraka.

Kelompok yang membawa iman ini terbahagi pula kepada empat kelompok.

  1. Bighairi hisab (Golongan muqarrabin)
  2. Ashabul Yamin
  3. Ashabus Syimal
  4. Ashabul A’raf

Golongan Bighairi Hisab adalah golongan muqarrabin. Golongan bighairi hisab, mereka memasuki syurga tanpa hisab. Golongan ini terdiri dari :

  1. golongan para Nabi dan Rasul-rasul
  2. para sahabat Rasulullah SAW
  3. para syuhada
  4. wali Allah
  5. mereka yang terlalu sabar.
  6. mereka yang tidak terpaut dan cinta dengan kenikmatan dunia.
  7. mereka yang berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada mereka.

Sabar ini dibahagikan pula kepada tiga.

PERTAMA : Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Hakikatnya, bukan senang sebenarnya hendak taat kepada Allah, lebih-lebih lagi dengan adanya godaan syaitan, nafsu, dunia yang menggoda serta hasad dengki oleh manusia yang memusuhi kebenaran. Cuba tanya diri kita, senangkah hendak tutup aurat ? Senangkah hendak bersedeqah ? Senangkah hendak puasa ? Susah, melainkan mereka yang benar-benar ingin kembali kepada Allah dalam keadaan sejahtera. Mereka sabar melakukan ketaatan.

KEDUA : Sabar dalam meninggalkan tegahan Allah. Bagi mereka yang sudah lama berkecimpung dengan maksiat, bukan senang hendak meninggalkan dadah, bukan senang hendak meninggalkan zina, bukan senang hendak meninggalkan riba'. Jadi kesabaran dalam mengorbankan nikmat dunia yang sementara demi meraih kasih sayang Allah, akan dinilai oleh Allah dan diberikan ganjaran yang amat bermakna.

KETIGA : Sabar tatkala menerima ujian musibah, kerana Allah mendatangkan ujian musibah kepada kita semata-mata untuk menaikkan darjat kita disisi-NYA. Maka hendaklah kita sabar dan redha dengan ujian musibah tersebut. Kerana Allah tidak akan mendatangkan ujian musibah yang di luar kemampuan kita.


Golongan Ashabul Yamin adalah golongan kanan iaitu golongan yang menerima suratan amal di tangan kanan. Saat kebangkitan di Yaumil Mahsyar, amalan mereka akan dihisab. Timbangan amal kebajikan mereka lebih berat dari amal kemungkaran. Lalu mereka menerima suratan amal di tangan kanan dan mereka akan melalui titian Sirat ke syurga. Golongan ini juga dikenali sebagai  golongan orang-orang solehin, abrar ataupun golongan ‘muflihun’. Adapun golongan ‘Ashabul yamin’ yaitu orang-orang yang memiliki sekurang-kurangnya Iman dan mereka juga adalah orang yang amal kebajikannya melebihi kejahatannya. Sekalipun golongan ini terlepas dari azab neraka, namun mereka tidak terlepas menerima hisab dari Allah swt. Mereka agak lambat untuk menempuh ‘Shiratul mustaqim’ disebabkan oleh pemeriksaan terhadap mereka.


Diterangkan bahwa di atas titian ‘Shiratul Mustaqim’ terdapat lima tempat pemeriksaan. Dan lima tempat pemeriksaan itu dijaga oleh para malaikat yang tugasnya memeriksa setiap hamba Allah. Bayangkanlah bagaimana sekiranya kita terhenti di kelima tempat pemeriksaan itu? Sedangkan sehari di Akhirat dinisbahkan dengan hari dunia adalah selama seribu tahun.


Sebab itu tidak hairan mengapa orang-orang ‘Muqarrabin’ itu tidak mau menjadi orang soleh. Sebab orang soleh, walaupun masuk ke Syurga, terpaksa dihisab terlebih dahulu. Ini sudah tentu menyusahkan mereka. Sebab itu mereka lebih suka untuk mati syahid dalam mempertahankan agama Allah swt. Sebab orang yang mati syahid, langsung dimasukkan oleh Allah swt. ke dalam Syurga.
Terpaksa terhenti untuk dihisab di ‘Shiratul Mustaqim’ adalah merupakan penderitaan dan azab bagi golongan muqarrabin. Oleh sebab itu di dalam kitab terutama kitab-kitab Tasawuf diterangkan bahwa kebaikan yang dibuat oleh orang abrar/orang soleh adalah merupakan kejahatan bagi golongan muqarrabin. Bagi golongan muqarrabin, sesuatu hal yang dianggap halal tetapi menyebabkan akan dihisab, itu adalah suatu kejahatan.


Untuk mengukur mudah atau tidaknya menjadi orang yang soleh, marilah kita lihat kenyataan Al Imam Ghazali. Al Imam Ghazali mengatakan bahwa orang yang hendak menjadi orang yang soleh itu mestilah 24 jam yang Allah swt. untukkan kepadanya, 18 jam diisi dengan amal baik. Hanya 6 jam saja waktunya itu digunakan untuk melakukan hal yang mubah.

Ciri-ciri golongan Ashabul Yamin ini ialah mereka memiliki iman tingkatan IYYAN (Sila rujuk notes Rahsia Iman di link (http://as-suhaime.blogspot.my/2014/06/rahsia-iman-kunci-cinta-sejati-12.html) dan memiliki tingkatan nafsu MUTMAINNAH (Sila rujuk notes Rahsia Nafsu di link ( http://as-suhaime.blogspot.my/2014/06/rahsia-nafsu.html ). Golongan ini juga dipanggil golongan Al Faaizun, Al Muflihun, Al Abrar dan As Solihin.


Golongan Ashabus Syimal ialah golongan kiri. Golongan ini adalah golongan orang muslim dan mukin yang a’si (yang hidupnya di dunia derhaka kepada Allah dan melakukan banyak dosa kemungkaran). Saat dibangkitkan di Mahsyar, golongan ini menerima suratan amal di tangan kiri. Saat mereka di hisab di mizan, timbangan amal kemungkaran mereka lebih berat dari amal kebajikan. Mereka akan melintas titian Sirat dan mereka jatuh ke neraka. Mereka akan diazab di neraka terlebih dahulu dalam tempoh masa berdasarkan sejauh mana teruk dan banyaknya dosa kemungkaran yang dilakukan sewaktu di dunia. Setelah menjalani tempoh hukuman, barulah mereka di keluarkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga.


Golongan Ashabul A’raf ialah golongan yang timbangan dosa dan pahalanya sama banyak. 50 – 50. Mereka ini adalah golongan yang ketiga iaitu yang tidak mendapat suratan amal di tangan kanan mahu pun di tangan kiri. Pahalanya tidak cukup untuk melayakkannya masuk syurga dan dosanya tidak melebihi pahalanya untuk masuk neraka. Allah hukum mereka berjalan ulang alik antara syurga dan neraka. Oleh itu, terhegeh-hegehlah ia di atas titi Sirath sambil meminta-minta pahala dari ahli syurga.Tatkala mereka melihat syurga, tergiur hati ingin ke sana kerana keindahan dan nikmat kemanisannya, namun dirinya tidak dibenar untuk memasukinya. Tatkala dia melihat neraka, bergetar jantung akan kegerunan azab dan penderitaan di dalamnya. Allah menghukumnya, sehinggalah ada yang mengirimkan amal kebajikan untuk memberatkan sedikit timbangan amal kebajikan. Lalu barulah Allah memasukkan dia ke dalam syurga NYA. Akhirnya dapatlah ia satu pahala dan iapun dimasukkanlah ke dalam syurga. Orang yang menghadiahkannya satu pahala tadi diberi tempat tertinggi di dalam syurga walaaupun pahala 'ibadahnya tidak layak baginya untuk mendapat darjat yang begitu tinggi. .


Ayuh kita bermuhasabah. Apakah amal kebajkan kita lebih memberati timbangan amal kita atau amal kemungkaran kita yang lebih banyak ?


Apakah tingkatan iman kita di peringkat iman Iyyan ?

Apakah tingkatan nafsu kita di peringkat mutmainnah ?

Walau pun memasukkan seseorang itu ke syurga atau ke neraka adalah milik Allah, namun secara ilmiah kita sudah mampu menilai, sama ada ke syurgakah atau ke nerakakah diri kita berdasarkan amal perbuatan kita.


Semoga kita terus berusaha dan berdoa agar Allah meningkatkan keimanan kita, di pimpin kita untuk terus istiqamah bersama iman dan Islam. Semoga Allah memberi kita keampunan dan kasih sayang NYA.

No comments:

Post a Comment