Saturday, 28 June 2014

Saiyidina Abdul Rahman Bin Auf

Saiyidina Abdul Rahman Bin Auf radhiyallahuanhu. Satu nama yang tidak asing bagi umat Islam. Beliau adalah orang yang ke-8 memeluk Islam selepas Rasulullah SAW memulakan seruan dakwah di Mekah dan antara sahabat yang telah dijamin syurga oleh Rasulullah SAW. Saat ibunya mengetahui Abdul Rahman telah memeluk Islam di tangan Rasulullah SAW, ibunya mengugut untuk berjemur di tengah panas matahari terik disiang hari dan berkesejukan di malam hari di tengah padang pasir, sehingga Abdul Rahman kembali ke agama nenek moyangnya. Namun Abdul Rahman Bin Auf ra tetap istiqamah dengan iman dan Islam.


Apabila Rasulullah SAW dan umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, Abul Rahman bin Auf ra turut serta berhijrah sehelai sepinggang berjalan dari Mekah menuju Madinah. Di Madinah, Abdul Rahman bin Auf ra dipersaudarakan dengan sahabat ansar bernama Sa’ad bin Rabi’ ra.

Demi kecintaan Saad Bin Rabi' kepada saudaranya dan golongan Muhajirin, beliau telah mengatakan kepada Abdul Rahman demikian antara lainnya, "Saudara, ketahuilah bahawa saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, dan kiranya saudara sudi ambillah separuh dari kekayaan saya itu. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan kiranya Saudara sudi mana satu antaranya, saya sedia menceraikannya supaya boleh saudara mengahwininya.

Mendengarkan kata-kata sahabatnya itu Abdul Rahman Bin Auf menjawab, "Saudaraku, semoga Allah akan memberikan berkat terhadap keluarga dan hartabenda saudara. Janganlah disusahkan tentang din saya ini, yang penting bagi saya ialah kiranya saudara sudi menunjukkan saya jalan menuju ke pasar.”

Di pasar Yathrib, bermula hanya dengan menjadi kuli kepada tauke pasar, mengangkut dan menyusun baranga-barang jualan di pasaran, Abdul Rahman bin Auf memulakan perniagaan kecil-kecilan bermodalkan upah menjadi sebagai buruh di pasar. Sedikit demi sedikit perniagaannya dikembangkan. Sungguh beliau memang seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam tempoh yang singkat, beliau berjaya menunjukkan keahliannya dalam berdagang hingga berjaya memperoleh harta yang banyak.


Dalam satu riwayat, Abdul Rahman Bin Auf mengeluarkan sedekah sekali duduk sebesar 40 ribu dinar, dan pernah ia membiayai peperangan dengan menyediakan perlengkapan sebanyak 500 ekor kuda tempur lengkap dengan senjatanya pakaian makanan untuk dipergunakan oleh para perajurit dan juga dalam waktu yang sama membawa konvoi perbekalan yang diangkut oleh 500 unta. Begitulah kekayaan Saiyidina Abdul Rahman bin Auf ra.


DI MANAKAH RAHSIA KEJAYAAN BERNIAGA DAN KEJAYAAN MENGUMPUL HARTA KEKAYAAN SAIYIDINA ABDUL RAHMAN BIN AUF RA ?


Disamping memiliki kekayaan yang melimpah-limpah beliau adalah seorang yang TAKUT dan BENCI kepada harta kekayaan dan selalu menghindarkan diri dari pengaruh kekayaannya.

Ada diriwayatkan bahawa pada suatu malam Saiyidina Umar Al Khattab yang menjadi khalifah umat Islam ketika itu terjumpa Abdul Rahman Bin Auf sedang menangis terisak-isak di Masjid Nabi. Lantas Saiyidina Umar Al Khattab bertanya, apakah yang menyebabkan beliau menangis ? Dengan suara yang tersekat-sekat Abdul Rahman bin Auf menjawab …. "Sesungguhnya Mus'ab bin Umair adalah lebih baik daripada ku kerana dia meninggal dunia di zaman Rasulullah SAW. Dan diwaktu dia meninggal dunia dia tidak memiliki walau sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membalut jenazahnya. Sesungguhnya Hamzah Bin Abdul Muttalib adalah manusia yang lebih utama daripada ku. Kerana dia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Aku khuatir aku ini termasuk di antara orang-orang yang dipercepat untuk menikmati kebahagiaan dunia fana ini dan aku khuatir bahawa aku akan tersisih daripada para sahabat Nabi di Akhirat kelak disebabkan aku mempunyai banyak harta.

Dalam satu riwayat yang lain pula diceritakan orang bahawa tatkala Abdul Rahman Bin Auf memberikan makanan kepada tamunya beliau tiba-tiba menangis lalu ditanyai orang, "Mengapakah engkau menangis hai Ibnu Auf ?" … Lalu diamenjawab, "Nabi telah wafat, sedangkan dia dan keluarganya tidak pernah kenyang oleh roti gandum.”
Demikianlah jiwa Abdul Rahman Bin Auf salah seorang sahabat besar Rasulullah SAW.


Seorang yang kaya raya. Seorang yang multi-millionaire di zaman Rasulullah SAW. TETAPI hatinya tidak sedikit pun terpaut dengan kemewahan dan nikmat dunia. Maka tidak hairanlah ALLAH serahkan dunia sebanyak-banyaknya kepada Saiyidina Abdul Rahman bin Auf kerana ALLAH tahu, harta, dunia dan segala isinya tidak akan mampu mempersonakan hati Saiyidina Abdul Rahman bin Auf ra.


Kita bagaimana ?

Mampukah kita menjadi seorang TAKUT dan BENCI dengan kekayaan dan kemewahan ?


Atau apakah saat ini kita sudah punya niat menjadi rakus mengaut harta dan nikmat dunia ?


WAHAI DIRI ,

INGATLAH !!!

Andainya dunia semakin di kejar, dunia akan lari lebih jauh dari diri mu. Sebaliknya kejarlah cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW. Saat itu dunia yang akan mengejar diri mu dan menagih cinta mu.

Bila cinta ALLAH dan cinta kepada Rasulullah SAW sudah bertapak di hati mu, tidak sekelumit pun cinta dunia akan mendaki di hati mu.

Anda dalam kesempitan hidup ?

Belanja harian tidak cukup ?

Di belenggu hutang ?

Maka TAKUT dan BENCILAH dengan dunia …. Nescaya dunia akan tunduk merayu di kaki mu minta ditadbir ………….

No comments:

Post a Comment