Sunday, 24 July 2016

Iman Dan Persoalan Part 3


IMAN DAN PERSOALANNYA Part 3 (Bagaimana Mendapatkan Iman?)



BAGAIMANA MENDAPATKAN IMAN ?

Setelah kita membicarakan akan takrifan iman dan tingkatan-tingkatan iman beserta cirri-cirinya. Ayuh kita pelajari, kaedah untuk mempertingkatkan iman dan menguatkan iman.

Kaedah yang wajib ditempuhi untuk meningkatkan iman ialah :

1. ILMU
2. TAUBAT
3. MUJAHADATUN NAFSI
4. MEMPERBANYAKKAN AMALAN SUNAT
5. BERTAFAKUR

AYUH kita bahasakan berkenaanILMU terlebih dahulu.
Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan manusia akan ditentukan berdasarkan ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh mereka. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

ALLAH S.W.T telah berfirman Surah Al Baqarah ayat 269 :

ALLAH memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

ALLAH S.W.T telah berfirman dalam Surah Az Zumar ayat 9 :

Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang MENGETAHUI dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Rasulullah S.A.W bersabda lagi :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةِ أَشْيَاءَ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ. [رواه مسلم]

Maksudnya :

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”

ANTARA KELEBIHAN ILMU

1. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi ALLAH. Firman ALLAH taala yang bermaksud : "ALLAH mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan" (Al-mujadalah :11)

2. Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan ALLAH s.w.t dan RasulNya. Firman ALLAH taala yang bermaksud : “Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) ALLAH dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Al-fathir :28)

3. Orang yang mempelajari ilmu agama dimurahkan rezekinya oleh ALLAH S.W.T. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : “Barangsiapa memahami agama ALLAH niscaya dicukupkan ALLAH akan kepentingannya dan diberikan-Nya rezeqi diluar dugaannya” (HR. Al-khatib dari Abdullah bin Juz'i Az-Zubaidi)

Ilmu yang wajib dipelajari oleh seluruh umat Islam ialah ilmu Fardhu Ain yang terdiri dari tiga juzuk iaitu Ilmu Tauhid, Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf.

Ilmu fardhu Ain yang dituntut kita pelajari dan amalkan ialah :

Ilmu Tauhid - Merangkumi persoalan rukun Iman dan kalimah syahadah. Dalam perosalan beriman kepada ALLAH SWT. Sekurang-kurangnya seseorang muslim mampu mendatangkan dalil aqli dan naqli kepada 20 sifat yang wajib bagi ALLAH SWT, 20 sifat yang mustahil bagi ALLAH dan satu sifat yang harus bagi ALLAH SWT. Seorang muslim wajib mampu mendatangkan dalil aqli dan dalil naqli walaupun secara ijmali.

Dalam persoalan beriman dengan Rasul dn Nabi, seorang muslim wajiblah mempelajari, memahami, meyakini akan Nabi & Rasul. Seorang muslim wajib mampu mendatangkan dalil aqli dan naqli walaupun secara ijmali (ringkas) akan 4 sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi, 4 sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi dan satu sifat yang harus bagi Rasul/Nabi. Ada 25 Rasul yang wajib diketahui oleh seseorang muslim. Dari Nabi Adam AS hinggalah Nabi Muhammad SAW. Di antara 25 orang Rasul yang wajib diketahui itu, ada pula 5 orang Nabi yang ulul azmi iaitu Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Yang dimaksudkan dengan ulul azmi ialah mempunyai keinginan yang teguh dan kesabaran yang tinggi dalam mengejar cita-cita dan matlamat yang telah diberikan oleh ALLAH SWT.

Dalam persoalan beriman dengan Malaikat, ada 10 malaikat yang wajib dipelajari, difahami dan diyakini oleh setiap Muslim.

Dalam persoalan beriman dengan Kitab, ada 4 kitab yang wajib diyakini oleh seseorang Muslim. Kitab Taurat diturunkan kepad Nabi Musa AS. Kitab Zabur kepada Nabi Daud AS, Kitab Injil kepada Nabi Isa AS dan Al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, penutup segala nabi.

Dalam persoalan beriman dengan hari kiamat, wajiblah seseorang muslim yakin akan hari pembalasan, syurga dan neraka, mizan, titian sirat, mahsyar dan sebagainya.

Dalam persoalan beriman dengan qadha dan qadar, wajiblah seseorang muslim yakin dengan ketentuan yang baik dan buruk ke atas dirinya. Walaupun hanya ALLAH yang memberi bekas, tetapi usaha dan ikhtiar adalah wajib bersesuaian dengan sunnatullah dan hukum adat.

Ilmu Fekah pula di dalamnya terkandung hal ehwal ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah. Melalui ilmu ini, seseorang Muslim diajar bagaimana beribadah kepada ALLAH SWT. Diajar akan rukun dalam setiap ibadah. Juga ditunjukkan syarat sah dan batal sesuatu ibadah dengan jelas, sama ada ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ianya juga menunjukkan jalan bagaimana menjalani hidup sebagai hamba ALLAH dan bagaimana hidup sebagai sebuah masyarakat Islam, sama ada dari segi kekeluargaan, dari segi hubungan kemasyarakatan dan dari segi menjaga hal ehwal keamanan fitrah yang telah ALLAH kurniakan kepada setiap insan yang bernama manusia.

Ilmu Tasauf adalah untuk menyuluh hal ehwal kerohanian atau hati kita, agar tetap lurus mentaati ALLAH dan Rasul Nya tanpa di pesongkan oleh bisikan yang sering mengajak ke arah kemungkaran. Oleh itu setiap muslim perlu mempelajari, memahami, meyakini 10 jenis sifat mahmudah (sifat terpuji) dan 10 jenis sifat mazmumah (terkeji).

Antara 10 sifat mazmumah yang top 10 :


1. Takbur - cakap besar.
2. Ujub - merasakan diri hebat dari orang lain.
3. Riyak - suka menunjuk-nunjukkan kehebatan diri.
4. Hubbul Jah - sukakan kemegahan (gila glamour).
5. Hubbud dunya - Gila dunia, gila kuasa.
6. Bakhil - kedekut, tamak.
7. Hasad - Dengki, tak boleh ada orang yang lebih hebat darinya.
8. Syahrut Ta'am - kuat makan.
9. Ghadab - Sifat pemarah.
10. Pendendam


Antara 10 sifat mahmudah yang top 10 :


1. Sabar.
2. Syukur.
3. Ikhlas.
4. Zuhud.
5. Tawakal.
6. Zikrul maut -mengingati mati.
7. Redha.
8. Pemaaf.
9. Khauf - takut kepada ALLAH Ta'ala dan iradah-NYA.
10. Raja' - mengharap kepada ALLAH Ta'ala.

Ketiga-tiga cabang ilmu inilah yang dituntut untuk kita pelajari, fahami, yakini dan diamalkan serta diperjuangkan. Barulah kita dikatakan sudah bermula dalam meningkatkan iman.


1.       Iman Dan Persoalan part 1 ~ Definisi Iman (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-1.html )
2.       Iman Dan Persoalan part 2 ~ Tingkatan Iman (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-2.html )
3.       Iman Dan Persoalan part 3 ~ Bagaimana Mendapatkan Iman (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-3.html )
4.       Iman Dan Persoalan part 4 ~ Taubat Langkah Pertama Mendapatkan Iman (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-4.html )
5.       Iman Dan Persoalan part 5 ~ Mujahadatunnafsi Dalam Mendapatkan Iman (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-5.html )
6.       Iman Dan Persoalan part 6 ~ Perkara Yang Merosakkan Iman (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-6.html )
7.       Iman Dan Persoalan part 7 ~ Benteng-benteng Pertahanan Iman (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-7.html )

8.       Iman Dan Persoalan part 8 ~ Benteng-benteng Pertahanan Iman 2 (http://as-suhaime.blogspot.my/2016/07/iman-dan-persoalan-part-8.html )

No comments:

Post a Comment