Friday, 8 May 2020

KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN (Bahagian 1)


KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN (Bahagian 1)
Al Hafiz al Muhaddith asy Syeikh Salim as Sanhuri al Maliki telah menulis dalam risalah yang sangat berguna dalam menerangkan dan membincangkan kelebihan malam Nisfu Syaaban dengan judul Risalah al Kasyf wa al Bayan ‘an Fadhail Lailah an Nishf min Syaaban.
Nisfu Syaaban terhasil daripada dua perkataan ; nisfu bererti ‘setengah’, manakala Syaaban ialah bulan kelapan dalam bulan-bulan Islam.
Ibnu Manzur dalam Lisan al Arab menyebutkan : Tha’lab berkata : Sebahagian ulama berkata : (maksudnya) “Sesungguhnya Syaaban dipanggil Syaaban kerana ia ‘sya’ab’ ertinya menonjol di antara dua bulan, iaitu Ramadhan dan Rejab.”
Dalam Raudhah al Ulama diriwayatkan bahawa Rasulullah Salallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “ (maksudnya) “Apakah kamu tahu kenapa dinamakan Syaaban?” Para Sahabat menjawab : “Allah dan RasulNya sahaja yang mengetahui.” Baginda bersabda : “Kerana ia bercabang-cabang (amat menonjol) padanya kebaikan yang banyak.”
Oleh kerana malam Nisfu Syaaban mempunyai kelebihan yang banyak dan mulia, ia mempunyai beberapa nama termasuklah Lailah al Mubarakah (malam yang berkat), Lailah al Qasamah wa Taqdir (malam pembahagian qadha dan qadar)< Lailah at Takfir (malam penghapusan dosa), Lailah al Ijabah (malam diperkenankan doa), Lailah al Hayah (malam hidup iaitu hati dihidupkan Allah agar tidak lupa kepadaNya), Lailah asy Syafa’ah (malam mendapat syafaat), Lailah al Bara’ah (malam perlepasan dari api neraka), Lailah al Barakah (malam penuh keberkatan), Lailah al Ta’zhim (malam keagungan), Lailah al Qadr (malam penentuan), Lailah al Ghufran (malam pengampunan), Lailah al ‘Itq min an Nar (malam perlepasan dari api neraka), Eid al Malaikah (malam hari raya kepada para malaikat) dan lain-lain. Semua nama ini merujuk kepada kemuliaan yang ada pada malam tersebut.
Sayidina Muaz bin Jabal Radiyallahu’anhu berkata : Rasalullah Salallahu ‘alaihi wasllam bersabda : (maksudnya) Allah menilik kepada seluruh makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampunkan seluruh makhlukNya melainkan orang musyrik dan musyahin (orang yang suka bermusuhan).” (Hadith sahih riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya, Ibnu Majah & Ibnu Hibban dalam Sahihnya)
Sayidatina Aisyah Radiyallahu’anha berkata : (maksudnya) “Aku pernah ditinggalkan Nabi Salallahu ‘alaihi wasallam pada satu malam, lalu aku keluar untuk mencarinya. Pada waktu itu, Baginda sedang berada di Baqi’ daam keadaan kepala mendongak ke langit, lalu Baginda bertanya : “Wahai Aisyah, adakah kamu takut sekiranya Allah murka kepadamu dan RasulNya? Aku menjawab : Itulah yang aku tidak mahu tetapi aku menyangka engkau pergi ke rumah isteri-isterimu yang lain. Lalu Baginda bersabda : Sesungguhnya Allah menurunkan rahmatNya ke langit dunia pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampuni hamba-hambaNya lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu kambing Bani Kilab.” (HR Ibnu Majah, ad Darulquthni & Imam Ahmad)
- Bani Kilab ialah antara kabilah yang paling banyak memelihara kambing.
(Ustaz Muhadir Hj Joll : Khilafiah, Persoalan & Penjelasan)

No comments:

Post a Comment