Friday, 8 May 2020

KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN (Bahagian 2)



KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN (Bahagian 2)
Malam NIsfu Syaaban juga adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Imam asy Syafie berkata dalam kitabnya al Umm :
(Terjemahan) “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan : Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Aidilfitri, malam pertama pada bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”
Seorang waliyullah, al Alim al Allamah asy Syeikh Ahmad bin Muhammad Said bin Muhammad al Linggi, mantan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, dalam karangannya Tuhfah al Authon wa al Ikhwan, M/S 74-77, menulis : “Di sisi ulama kita Ahlussunnah wal Jamaah, kelebihan malam Nisfu Syaaban ini adalah tsabit melalui beberapa hadith yang boleh dijadikan dalil dan hujah dalam bab Fadha’il. Syeikh Muhammad bin Abd ar Rahman ala Mabarakfuri rahimahullah dalam “Tuhfatul Ahwazi bi Syarhi Jami’ at Tirmidzi”, Juzuk 3 muka surat 442 menyatakan antara lain : “Hadith-hadith fadhilat malam Nisfu Syaaban itu secara keseluruhan adalah hujah yang mematahkan pendapat yang mengatakan bahawa tidak ada satu dalil pun tentang fadhilat malam Nisfu Syaaban.”
Cara Menghidupkannya.
Dalam kitab Lathaif al Ma’arif disebutkan :
(Terjemahan) “Dan diriwayatkan daripada Nauf al Bakkali, sesungguhnya Ali telah keluar pada malam Nisfu Syaaban. Maka banyak kali keluar pada malam itu, dia (Ali) akan memandang ke arah langit. Lalu dia berkata bahawasanya Nabi Daud telah keluar pada suatu malam seperti pada ketika ini lalu Baginda Salallahu ‘alaihi wasallam melihat ke langit. Dia pun berkata : Sesungguhnya pada ketika ini, tidaklah seorang itu berdoa kepada Allah, melainkan akan diberi keampunan kepadanya.”
Di kalangan tabiin dari negara Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhlul, Luqman bin Amir dan lain-lain, mereka membesar-besarkan malam ini dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah dalamnya. Daripada merekalah, orang ramai selepas itu mengikut mereka kerana ada kelebihan dan kebesaran malam ini. Antara yang setuju dengan mereka dalam membesarkan malam ini sekumpulan ahli ibadah di Basrah.
Walau bagaimanapun, sebahagian ulama Hijaz mengingkarinya termasuklah Atha’ dan Ibn Abi Malikah, Abd ar Rahman bin Zaid bin Aslam telah menukilkannya dari fuqaha Madinah. Itulah juga pendapat Ashab Imam Malik dan lain-lain dan mereka mengatakan itu semuanya bida’ah.
Ulama Syam khilaf dalam cara menghidupkannya atas dua cara :
i) Sunat menghidupkannya secara berjemaah di masjid. Adalah Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan selain keduanya, mereka memakai pakaian cantk pada malam itu, berwangi-wangian, bercelak mata dan membesarkan malam ini di masjid. Ishaq bin Rahuyah juga bersetuju dengan cara mereka dan dia mengatakan : “Membangunkan malam ini di masjid secara berjemaah, itu bukanlah bid’ah (dhalalah). Ia dinukilkan oleh Harb al Kirmani dalam Masa’ilnya.
ii) Makruh berkumpul di masjid untuk solat, bercerita kisah-kisah dan berdoa. Tidak makruh jika seseorang solat khas untuk dirinya sahaja. Inilh pendapat al Auza’I, Imam penduduk Syam, yang paling faqih dan paling alim. Inilah pendapat yang paling dekat kepada benar, insyaAllah.
Mengenai mengkhususkan solat sunat pada malam Nisfu Syaaban, ulama khilaf tentangnya. Hujjatul Islam, Imam al Ghazali adalah antara ulama yang mentsabitkannya. Walau bagaimanapun, mengerjakan solat sunat mutlak atau solat sunat Awwabin, boleh dilakukan pada mana-mana malam sekalipun.
Solat.
Berkenaan dengan qiyamullail pada mala mini dengan mengerjakan solat-solat sunat terutamanya solat sunat Tasbih, adalah sangat digalakkan oleh syarak.
Bagi masyarakat Melayu, apa yang menjadi kebiasaan ialah pada malam itu akan dibaca surah Yasin tiga kali dengan niat pada bacaan yang pertama, minta dipanjangkan umur dalam kebaikan, yang kedua dengan niat menolakkan bala dan yang ketiga dengan niat agar sentiasa merasa cukup dan tidak meminta-minta daripada manusia. Ia juga disebut dalam kitab-kitab karangan ulama muktabar. Ia adalah amalan yang baik sekali. Tidak ada satu dalil pun yang mengharamkannya. Malah terlalu banyak hadith yag menerangkan pahala membaca al Quran dan surah Yasin termasuk dalam surah-surah dalam al Quran. Membaca Yasin sebelum berdoa, dan tawasul dengan amal soleh ini, tidak ada seorang pun yang membantahnya.
Bagi yang membantah amalan pada malam Nisfu Syaaban ini, mereka selalu berdalilkan pendapat Syeikh Ibnu Taimiyah. Jika diteliti, Syeikh Ibnu Taimiyah sendiri membolehkan pengkhususan amalan pada malam Nisfu Syaaban ini malah memujinya. Lihatlah dalam tulisan-tulisan beliau dalam Majmu’ Fatawa, 24/132, beliau menulis maksudnya :
“Berkenaan malam Nisfu Syaaban maka telah diriwayatkan mengenai kemuliaan dan kelebihan Nisfu Syaaban dengan hadith-hadith dan atsar. Dinukilkan dari golongan salaf bahawa mereka menunaikan solat khas pada malam Nisfu Syaaban. Solat seseorang pada malam itu secara berseorangan sebenarnya telahpun dilakukan oleh ulama salaf dan dalam perkara tersebut terdapat hujah, maka jangan diingkari, manakala solat secara berjemaah (pada malam Nisfu Syaaban) adalah dibina atas hujah kaedah am pada berkumpulnya manusia dalam melakukan amalan ketaatan dan ibadah.”
(Ustaz Muhadir Hj Joll : Khilafiah - Persoalan & Penjelasan)
baca Kelebihan Malam Nisfu Syaaban Bahagian 1 : https://www.facebook.com/1212698314/posts/10222270814138584/?d=n

No comments:

Post a Comment