Friday, 8 May 2020

TARANNUM TIDAKLAH SALAH: YANG SALAH MEREMEHKAN AL-QURAN



DrYusry Affandy
 updated his status.

6 March · 
TARANNUM TIDAKLAH SALAH: YANG SALAH MEREMEHKAN AL-QURAN
1. Satu penjelasan diperlukan untuk menjawab kekeliruan Tarannum yang ditimbulkan oleh seorang ustaz. Kita memahami tujuannya baik tetapi boleh menimbulkan kekeliruan.
2. Tidak wajar terus menolak Tarannum dengan hujah ia bukan dari Islam. Terdapat banyak perkara yang bukan berasal dari Islam tetapi masih berada dalam perbincangan fiqh contohnya perundangan sivil yang tidak menyalahi Hudud, pakaian Barat, kalender Masihi dan sistem demokrasi. Walaupun bukan mutlak dari Islam, ia masih boleh dirunding dalam neraca syariah. Tidak tuntas “pukul rata” kerana setiap permasalahan ada jalannya. Sebahagian prinsip para fuqaha’:
لكل قاعدة استثناء
Maksudnya : Bagi setiap kaedah itu ada pengecualiannya.
3. Fuqaha’ ada berkhilaf pendapat tentang keperluan Tarannum. Ini disebabkan mereka berbeza pendapat tentang maksud sebahagian nas al-Quran dan Hadith seperti apakah maksud mengelokkan suara. Misalnya isu kalimah hadith يتغن بالقرآن . Ada qaul yang memahami sebagai “perbuatan melagukan al-Quran” dan ada yang mentakwilkan sebagai بالقرآن استغنى “merasa cukup dengan al-Quran”.
Para fuqaha’ seperti Hanabilah dan tokoh mufassir Imam al-Qurtubi menganggap Tarannum bukan suatu tuntutan. Namun mereka tidak pun mendahului dengan hujah “ia bukan dari Islam”. Ini kerana slogan ini bukanlah satu hujah yang bersifat perdana, bahkan agak gopoh.
4. Istilah lagu dalam Tarannum atau dikenali maqamat seperti Bayati, Hijjaz, Soba, Jaharkah dan sebagainya adalah istilah yang lahir hasil perkembangan kesenian. Ada yang menimbulkan asal usul Tarannum dikatakan lahir daripada perkembangan nyanyian kampung Arab.
Ada yang mengatakan berasal daripada tradisi nyanyian atau alatan muzik bangsa di Mesir atau Parsi. Masih tiada satu keputusan muktamad di kalangan ahli tarikh atau ulama tentang asal usulnya.
Tarannum tidaklah lahir semuanya hasil ajaran bunyi alatan muzik. Seandainya ia berasal dari seni geseran muzik, cara sedemikian tidaklah digunakan kini dalam bacaan al-Quran. Meskipun mungkin alunan irama serupa namun fizik bunyi geseran alatan muzik dan suara mempunyai persembahan berbeza.
5. Seni suara ini sudah ada zaman berzaman termasuk di Nusantara, kemudian muncul penjenamaan semula dalam pengajian al-Quran. Kaedah Fiqhiyyah ada menyebut:
العبرة للغالب الشائع لا للنادر
“Yang dinilai (syarak) ialah pada perkara yang biasa berlaku (kini) bukannya pada perkara yang jarang berlaku.”
انما تعتبر العادة اذا اطردت او غلبت
“Sesungguhnya adat (apabila tiada nas dan masih kedapatan dalil) akan diterimapakai apabila ia berlaku berterusan atau menjadi kebiasaan.”
Bahkan sebelum zaman Nabi Muhammad SAW, Tarannum ini pun sudah diamalkan. Cuma belum ada nama tersendiri. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa Nabi Daud AS memiliki kebolehan mengalunkan 70 jenis Tarannum ketika mengalunkan kitab Zabur.
6. Kebanyakan ulama seperti Syafi’iyyah, terutama ulama al-Quran seperti Imam al-Jazari mengharuskan Tarannum untuk diamalkan dalam pembacaan al-Quran. Mengikut pendapat yang rajih (dinilai tepat), Tarannum ini telah diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat. Dalam erti kata lain, mereka membaca dengan baik, merdu lagi menarik perhatian.
7. Perkataan Tarannum atau “lagu al-Quran” muncul lantaran kalimah ini disandarkan kepada kepada hadith berikut:
ما أذِنَ اللهُ لشَيءٍ ما أذِنَ لنبيٍّ حسَنِ الترنُّمِ بالقُرآنِ
Maksudnya: Allah tidak mendengar (dengan penuh rahmat) terhadap sesuatu perkara seperti mana Allah menumpukan perhatian kepada seorang Nabi yang memperelokkan lagu (tarannum) al-Quran.
Tarannum adalah wasilah (perantara) untuk mengelokkan bacaan al-Quran. Hadith daripada al-Barra’ bin ’Azib, Rasulullah SAW bersabda:
زيِّنُوا القرآنَ بأصواتِكُمْ، فإنَّ الصوتَ الحسنَ يزيدُ القرآنَ حُسنًا
Maksudnya: Hiasilah Al-Quran dengan suara kamu. Ini kerana suara yang baik akan menambahkan lagi keelokan al-Quran.
(Hadith sahih riwayat Imam al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasaii, Ibnu Majah & al-Hakim)
Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim, mengulas keharusan melagukan al-Quran dengan bab khusus “Bab Istihbab Tahsin al-Saut” (Bab Tuntutan Memperelokkan Suara). Beliau menegaskan kebanyakan ahli Mazhab Syafi’i dan ulama lain ternyata menyokong hal ini.
8. Pengajian Tarannum adalah wasilah yang banyak membantu dalam mengindahkan bacaan al-Quran. Tarannum seperti Hijjaz, Soba, Bayati, Jiharkah, Sikah dan lain-lain, akan diseleras bersama ilmu Tajwid bagi maqasid menonjolkan al-Quran sebagai bacaan mukjizat. Ada beberapa peristiwa orang memasuki Islam akibat terdengar bacaan al-Quran yang mempersonakan.
9. Dalam video di bawah, Ustaz berkenaan mendakwa para Sahabat tidak membaca Tarannum tertentu. Benar, kerana ilmu ini disusun selepas itu oleh para Qura’. Tetapi bukan bermakna mereka tidak bertarannum.
Tidak mustahil nada bacaan Salaf al-Soleh selaras dengan seni ilmu yang dibincangkan ini. Begitu juga bacaan Imam Masjid Haram dan Masjid Nabawi. Hasil daripada pengajian Tarannum, guru kadang memperkenal dan melatih anak murid dengan Tarannum Rast kerana itu adalah nada Tarannum Syeikh Abdul Rahman al-Sudais. Tarannum Hijjaz pula terkandung dalam bacaan Imam Hani al-Rifa’i salah seorang imam terkenal di Arab Saudi.
10. Beliau juga terkeliru dengan istilah hadar. Istilah hadar, tadwir dan tahqiq ialah merujuk kepada kadar bacaan bukan cara melagukan. Terdapat dalil bahawa para Sahabat sememangnya melagukan al-Quran seperti hadith Rasulullah SAW memuji suara merdu Saiyyidina Abu Musa al-Ash’ari umpama seruling Nabi Daud AS.
11. Ustaz berkenaan ada menyebut sedikit ungkapan hadith akhir zaman. Disertakan di sini hadith penuh tersebut. Daripada ‘Auf bin Malik al-Ashja’i, Rasulullah SAW bersabda:
أخاف عليكم ستًّا : إمارةَ السُّفهاءِ، وسفكَ الدَّمِ، و بيعَ الحُكمِ، و قطيعةَ الرَّحِمِ، ونَشْوًا يتخذون القرآنَ مزاميرَ، و كثرةَ الشُّرَطِ
Maksudnya: Aku bimbang atas kalian berkenaan enam perkara: orang-orang yang jahil menjadi pemimpin, menumpahkan darah, jual beli peraturan, memutuskan silaturrahim, golongan yang menjadikan al-Quran sebagai seruling-seruling dan banyaknya penzalim.
(Hadith sahih riwayat Imam al-Tabrani)
Hadith ini dipersetujui menjadi taujihat (peringatan) kepada golongan melampau akhir zaman. Namun Ia tidak boleh dijadikan dalil Tarannum adalah haram melainkan apabila bacaan al-Quran dijadikan mainan, dimasukkan lagu yang merosakkan tajwid atau mendendangkan al-Quran beriringan dengan seruling. Sekarang sudah ada golongan yang melakukan bidaah ini seperti setengah wilayah di Indonesia dan bumi Arab. Inilah golongan yang merendah-rendahkan al-Quran sebenarnya.
12. Bukanlah bermakna apabila Tarannum dinilai sebagai tuntutan Islam, maka kaedah membaca mengikut lagu pentas rock, persis lagu Kuch Kuch Hota Hei atau lantunan BTS dibolehkan untuk dimasukkan ke dalam bacaan al-Quran. Ini kerana ia jelas identiti hiburan yang tidak sesuai, bakal mengheret pembaca dan pendengar kepada tidak khusyuk kepada Allah bahkan ternostalgia terhadap lagu asal itu. Alhamdulillah perkara sebegini tidak menjadi sebahagian daripada perkembangan Tarannum al-Quran yang didominasikan para Qura’ dalam dunia Islam.
Semoga Allah SWT mendekatkan kita semua dengan al-Quran al-Karim, penghibur hati orang-orang beriman.
-Dr. Ustaz Muhammad Yusry Affandy Yusuff -

No comments:

Post a Comment