Sejak dulu hingga kini, ramai pihak mahu pun individu yang mengaku dan mendakwa diri mereka sebagai Imam Mahdi.
Syiah juga mengaku mereka mempunyai Imam Mahdi yang bernama Muhammad Hassan Al Askari yang ghaib.
Nostradamus juga meramalkan di akhir zaman akan ada seorang lelaki berserban biru dan mencetuskan peperangan. Asaari Mohamad dan pengikutnya menggunakan ramalan Nostradamus sebagai dalil kebenaran perjuangan mereka dan menyatakan bahawa ramalan Nostradamus itu adalah berkenaan Imam Mahdi.
Syeikh Mahmud Al Kedahi pula mendakwa Imam Mahdi sudah lahir dan kini berada di Iran.
Ummu Jah (isteri kepada Asaari Mohamad) pula berkata, dia setiap hari bertemu dengan Imam Mahdi di rumah sewanya di Haramain.
Sheikh Nazim berkata, beliau sudah bertemu dengan Imam Mahdi sejak kecil lagi.
Jika disorot rentetan sejarah, terlalu ramai yang telah mendakwa bahawa diri mereka Imam Mahdi.
Orang yang pertama sekali mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi Muntadzar ialah Al-Harits bin Suraij pada 128 H bagi mendapatkan sokongan dalam gerakannya menentang pemerintahan Bani Umaiyah.
Di Kufah pada tahun 278H, lahir golongan Qaramithah yang dipimpin oleh Hamdan Qaramith seorang yang beraidah Syiah Ismailiyah. Pengikut golongan ini juga mendakwa pemimpin mereka, Hamdan Qaramith sebagai Al-Mahdi. Pada tahun 317H seorang lelaki dari golongan Qaramithah bernama Abu Thahir AI-Janabi bersama 900 orang pengikutnya telah datang ke Mekah atas alas an ingin menunaikan ibadah Haji. Setibanya di Mekah, beliau telah menimbulkan huru-hara dan pertumpahan darah. Abu Thahir Al Janabi mengaku dirinya Imam Mahdi. Dia bersama pengikutnya menceroboh masuk ke Baitul Haram, merobohkan pintu Kaabah, menurunkan Hajar Aswad, melucutkan kain yang menudungi Kaabah dan menguasai kota Mekah selama enam hari. Seramai 30,000 jemaah haji dan penduduk tempatan terkorban.
Kerajaan Muwahhidin di Afrika Utara juga mempunyai seorang pemimpin yang tegas dan keras tindakannya terhadap penganut fahaman Mujassimah wal Musyabihah, dan beliau mendakwa sebagai Al-Mahdi. Beliau ialah Muhammad bin Tumart yang lahir di antara tahun 470 Hijrah. Namun ada sejarah menyatakan, beliau dilahirkan pada tahun 480 Hijrah.
Di samping itu seorang mulhid bernama Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah juga mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi. Datuknya beragama Yahudi dan dia sendiri berasal daripada keluarga beragama Majusi. Dalam banyak hal Ubaidullah bin Maimun Al-Qaddah banyak melakukan pendustaan kepada umat Islam. Umpamanya ia mengaku dirinya bernasab kepada ahli bait Rasulullah SHALLALLAHU ‘ALAIHI WA AALIHI WASSALLAM dan seterusnya mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi. Selepas kematiannya, perjuangannya itu disambung oleh keturunannya sehingga mereka berjaya menakluki Moroco, Mesir, Hijaz dan Syam. Akhirnya golongan ini terhapus dengan kemunculan Salehuddin Al-Ayubi yang menumpaskan sama-sekali golongan ini.
Di zaman pemerintahan Sultan Fairuz Syah Tughluq di India (752-798H), seorang lelaki bernama Ruknuddin telah mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi yang zahir di akhir zaman dan membuat fatwa yang bertentangan dengan aqidah dan syariat.Justeru itu, para ulama telah mengeluarkan fatwa bahawa Ruknuddin adalah seorang kafir dan halal darahnya. Lantas, Sultan Fairuz Syah Tughluq memerintahkan Ruknuddin serta pengikut-pengikutnya ditangkap dan dihukum pancung.
Pada tahun 790-an Hijrah, seorang lelaki bernama Al-Abbas telah muncul dan mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi dengan mempunyai ramai pengikut. Ia serta pengikut-pengikutnya telah melancarkan serangan ke atas bandar Fez di Morocco dan membakar gudang-gudang perniagaan. Tetapi dia kemudiannya telah dibunuh dan gerakannya dapat dipatahkan
Di Afrika Utara pula, pada tahun 800H di zaman pemerintahan Sultan Yusuf bin Yaakob, seorang lelaki dikenali sebagai Tuwaizuri telah mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi.
Pada abad ke 10H, muncul di India seorang lelaki bersama pengikutnya, Sayid Muhammad Jaunpur yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Lelaki tersebut ialah Sayid Muhammad Jaunpur dan Ia telah mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi sebanyak tiga kali. Kali yang pertama ialah pada tahun 900H di Makkah dan kali keduanya pada tahun 905H di Ahmadabad, India. Kali yang ketiganya ialah di Barhli, India pada tahun 905H. Sesiapa yang menyalahkan pendirian mereka akan dibunuh walaupun Ia sedang berada di hadapan orang ramai. Golongan ini juga mempunyai kepercayaan lain yang dianggap bid’ah menurut Islam.
Pada tahun 1166 H seorang Syiah Ithna Asyariah di Saudi bernama Ahmad Ahsaa’i menyebarkan fahaman bahawa Imam Mahdi belum lahir dan berada di alam rohani. Seleepas kematiannya, ajarannya diteruskan oleh muridnya Kazim Ar-Rasyti. Selepas kematian Kazim Ar-Rasyti, tempatnya itu diganti oleh Ali Muhammad Al-Bab. Ali Muhammad Al- Bab mendakwa dirinya sebagai Al Mahdi. Para pengikutnya digelar sebagai kumpulan Babiyah iaitu salah satu drp cabang agama Bahai.
Pada abad 13 hingga menjelang abad ke 14H, muncul Mirza Ghulam Ahmad di India mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi. Lelaki tersebut ialah Mirza Ghulam Ahmad yang menjadi pengasas agama Qadiani atau Ahmadiah. Mirza Ghulam Ahmad mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi pada tahun 1307H.
Di Sudan, pemberontakan menentang penjajah lnggeris diketuai oleh seorang ulama bernama Muhammad Ahmad Al Mahdi. Pemberontakan itu dikenali sebagai pemberontakan Mahdiah mengambil sempena gelaran pemimpinnya yang mendakwa dirinya sebagai Al-Mahdi pada tahun 1881.
Golongan Syiah Al-Imamiah mengatakan bahawa Al-Mahdi itu ialah Muhammad bin Hassan Al Askari keturunan Zainal Abidin anak Hussin bin Ali. Dikatakan bahawa beliau pada suatu hari masuk ke dalam gua di bawah rumahnya bersama-sama ibunya di Samira’. Menurut keyakinan mereka, Muhammad bin Hassan Al-Askari adalah Al-Mahdi Muntadzar. Sementara itu golongan Syiah Kaisaniyah pula menganggap Muhammad bin Hanafiah sebagai Al-Mahdi.
Di Malaysia juga tidak ketinggalan dalam isu Imam Mahdi. Terkini seorang mendakwa Imam Mahdi telah menyerang Jabatan Perdana Menteri dengan pedang samurai.
Begitulah antara rentetan peristiwa dan pendakwaan yang dibuat oleh pelbagai pihak. Timbul pula persoalan ; Bagaimana hendak menentukan orang yang megaku dirinya Imam Mahdi adalah Imam Mahdi yang sebenar ?
InsyaALLAH persoalan Al Mahdi ini akan dikupas lebih lanjut dalam penulisan yang akan datang.
To be continue
Villa Damansara
10 Ramadhan 1433H / 30 July 2012
4.47pm
No comments:
Post a Comment