Dalam pembuka bicara akan isu Imam Mahdi, saya ada mendatangkan pihak atau individu-individu yang mendakwa diri mereka sebagai Imam Mahdi. Sejak mereka membuat dakwaan, sehinggalah kini, dakwaan mereka ternyata meleset dan tidak terbukti kebenarannya.
Oleh itu, andainya di zaman dan masa kini, ada yang mendakwa bahawa mereka adalah Imam Mahdi, apakah kayu ukuran yang akan digunakan untuk menilai kebenaran atas dakwaan yang mereka bawa ?
Segala-galanya berkisar kepada persoalan BENAR atau PALSU.
Benarkah si polan ini Imam Mahdi ?
Perkara ini perlu diperjelaskan, kerana jika masyarakat mengambil langkah mudah untuk terus melabelkan “SESAT” atau "PALSU" kepada orang yang mendakwa Imam Mahdi. Apakah pula akan terjadi nanti seandainya Imam Mahdi yang dijanjikan benar-benar zahir ? Apakah masyarakat umum akan terus mengambil langkah mudah dengan melabelkan “SESAT” atau "PALSU" berdasarkan perbuatan individu yang pernah mendakwa menjadi Imam Mahdi palsu ?
Justeru itu, satu kayu pengukur atau garispanduan perlu ada dalam menilai sesuatu kebenaran.
Pada pandangan saya, isu Imam Mahdi dan isu amalan tarikat mempunyai banyak persamaan.
Amalan tarikat, juga menerima persoalan yang sama. Tarikat ni betul ke ? Sesat ke ? Dan lain-lain lagi persoalan.
Antara kayu pengukur yang digunakan oleh orang ramai ialah seperti berikut.
Menilai perkara-perkara pelik atau aneh atau ghaib yang mampu dilakukan. Ada pihak menggunakan neraca ini untuk menilai sesuatu dakwaan Imam Mahdi atau sesuatu tarikat itu benar. Jika boleh melakukan perkara yang nampak ajaib, terus dilabelkan “Betul, si polan itu Imam Mahdi.” Atau “Betul tarikat itu tarikat nyang benar.”
Antara perkara pelik atau aneh yang dianggap ajaib ialah :
- Boleh berhubung dengan makhluk halus seperti jin, bunian.
- Boleh meramal peristiwa yang akan berlaku.
- Dan lain-lain.
Bagi manusia, perkara-perkara luar biasa dan ajaib boleh berlaku atas beberapa sebab :
- Mukjizat – HANYA berlaku kepada para Nabi dan para Rasul selepas dilantik oleh ALLAH menjadi Nabi atau Rasul. Contohnya ; mukjizat Nabi Musa AS membelah Laut Merah.
- Irhas – HANYA berlaku kepada para Nabi dan para Rasul sebelum dilantik oleh ALLAH, menjadi Nabi atau Rasul. Contohnya ; Nabi Isa AS boleh berkata-kata sewaktu masih bayi.
- Karomah – HANYA berlaku kepada orang yang dicintai ALLAH kerana melaksanakan hokum syariat ALLAH bersungguh-sungguh.
- Sihir – dilakukan oleh orang yang kuat membuat maksiat kepada ALLAH kerana menjadi hamba Iblis dan Syaitan.
Tidak dinafikan, para wali ALLAH diberi kelebihan berbanding manusia biasa. Kelebihan itu adalah anugerah ALLAH yang dipanggil karomah. Kelebihan itu diberikan ALLAH seandainya diri seseorang itu mampu melaksanakan kesemua hokum syariat yang telah ditetapkan berdasarkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wassallam. Untuk melaksanakan kesemua hokum syariat, WAJIB dimulai dengan ILMU. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu Fardhu Ain yang dibina dari tiga juzuk utama iaitu Ilmu Tauhid, Ilmu Fiqeh dan Ilmu Tasawwuf. Setelah ketiga-tiga ilmu ini dikuasai, di fahami dan dimalkan sungguh-sungguh dengan hati penuh kehambaan serta ikhlas. Dia melaksanakan amalan yang wajib dan sunat sungguh-sungguh dan meninggalkan perkara yang haram dan makruh sungguh-sungguh. InsyaALLAH, seseorang itu akan beroleh cinta ALLAH dan tidak mustahil memperolehi kelebihan-kelebiahn yang dinamakan karomah. Dalam erti kata lain, jika seseorang itu bertaqwa maka disitu letaknya cinta ALLAH kepada dirinya. Bersesuaian dengan firman ALLAH :
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ (١٣)
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13).
Pendekata, seandainya seseorang itu mengaku mempunyai kehebatan luar biasa dan mampu mendatangkan perkara-perkara yang ajaib lagi pelik. Itu masih lagi belum mampu untuk menentukan bahawa dirinya beroleh karomah. Kita perlu guna neraca syariat.
Kita lihat dari sudut Ilmu Tauhid, sama ada aqidahnya selaras dengan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sama ada pegangan aqidahnya jazam dan sama ada pegangang aqidahnya berdalil atau hanya bertaqlid.Andainya aqidahnya bertentangan dengan AHlus Sunnah Wal Jamaah; atau aqidahnya dicelahi dengan syak, zan atau wahan; atau dia tidak mampu mendatangkan dalil berdasarkan Al Quran atas pegangan aqidahnya. Nyata sekali berlaku kesesatan dan kerosakan aqidah. Mana mungkin Imam Mahdi yang membawa kebenaran itu rosak aqidahnya. Orang yang rosak aqidah bukan sahaja tidak layak menjadi Imam Mahdi, bahkan tidak layak juga menjadi mursyid dan Imam Solat.
Dari sudut ilmu Fiqeh pula kita lihat dan nilai, sejauh mana amalan wajib dilaksanakan, sejauh mana amalan sunat dilaksanakan, sejauh mana perkara yang haram ditinggalkan dan sejauh mana perkara yang makruh ditinggalkan. Bahkan, perkara yang tidak jelas kedudukannya atau perkara yang syubhah, itu pun akan ditinggalkannya. Kita mampu menilai dalam aspek lebih luas kerana ilmu Fiqeh berhubung kait dengan amal ibadah yang lahir. Nilai keilmuannya dalam fardhu ain. Cara termudah, lihat sejauh mana penguasaan makhraj dan tajwid dalam pembacaan Al Quran.Andainya tajwid dan makhraj pun masih tidak mampu dikuasai, mana mungkin Imam Mahdi atau mursyid itu seorang yang buta Al Quran ? Jangankan Imam Mahdi atau Mursyid, mahu jadi imam dalam solat pun tidak layak. Nilai sejauh mana hukum-hakam mampu dibangunkan dalam diri dan ahli keluarga. Andainya ada di kalangan ahli keluarga pun tidak menutup aurat sempurna, mana mungkin menjadi Imam Mahdi atau mursyid ?
Dari sudut ilmu tasawwuf pula kita suluh sejauh mana sifat-sifat mazmumah dapat dikikis dari peribadi lahiriahnya dan sejauh mana sifat-sifat mahmudah yang menjadi pakaian hidupnya. Andainya terdapat sifat ujub, bangga diri, takbur, riya’, menunjuk-menunjuk, bongkak, walau sekelumit. Nyatalah dia bukan seorang yang dalam kebenaran dan tidak mustahil kelebihan atau keajaiban yang diperolehinya adalah dari rijalussyaitan. Jika sifatnya hanya mahu dihormati dan mahu dianggap mulia, itu hanyalah tipuan dunia semata-mata. Mana mungkin Imam Mahdi atau mursyid itu seorang yang gilakan pangkat, gilakan penghormatan, gilakan pujian ?
Berkata Imam Malik ; Orang yang berfeqah (bersyariat) tetapi tidak bertasawwuf adalah fasiq.Orang yang bertasawwuf tetapi tidak berfeqah (bersyariat) adalah kafir zindig.
Di zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam, ada seorang lelaki berbangsa Habsyi bernama Aswad Al Ansi yang tinggaldi Yaman. Aswad Al Ansi mampu melakukan beberapa keajaiban antaranya mampu mengetahui dan meramalkan peristiwa yang akan berlaku. Setiap ramalannya benar-benar berlaku. Dia juga mampu melakukan beberapa perkara-perkara yang dianggap ajaib. Akibat kehebatannya dalam menzahirkan perkara-perkara ajaib, Aswad Al Ansi telah mengisytiharkan dirinya mempunyai mukjizat dan adalah seorang Nabi. Aswad Al Ansi telah menulis surat kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam agar kenabian Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam dikongsi bersama.Akhirnya Aswad Al Ansi telah dibunuh atas kesesatan dan kerosakan aqidah yang dibawanya dalam satu peperangan.
Orang yang berpegang kepada dalil, mampu menzahirkan keajaiban sebagai penentu kebenaran. Taraf yang selayak buat mereka adalah sebagai pengikut Aswad Al Ansi.
Kesimpulannya, mampu melakukan sesuatu keajaiban, bukanlah syarat menjadi Imam Mahdi atau mursyid dalam tarikat. Sebaliknya kebenaran itu diukur sejauh mana dapat melaksanakan hukum syariat ALLAH berdasarkan Al Quran dan Sunnah, kerana ALLAH SWT telah memberitahu kepada kita dalam Al Qur’an:
الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
“Kebenaran itu adalah datang dari ALLAH kamu, dan janganlah kamu menjadi orang yang menentang atau menolaknya.” (QS Al Baqarah 147)
ALLAH juga telah mengingatkan kita bahwa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam adalah teladan yang baik.
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada suri tauladan yang baik” (QS Al Ahzab 21)
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam pula bersabda,
“Sahabat-sahabatku laksana bintang-bintang di langit. Yang mana saja kamu ikuti nescaya kamu akan dapat petunjuk.” (Riwayat Ad Daarami)
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wassallam bersabda lagi,
“Sebaik-baik manusia adalah di kurunku, kemudian kurun yang mengiringinya dan kurun yang mengiringinya.” (Riwayat Muslim)
Ertinya, umat Islam dalam masa 300 tahun dari zaman Rasulullah SAW, sbagian besar dari mereka adalah orang-orang soleh dan sebagian orang muqarrabin. Merekalah suri teladan bagi kita dalam menerima, mengamalkan dan memperjuangkan kebenaran, terutamanya bagi kalangan cendekiawan mereka dan alim ulama.
To be continue ....
Villa Damansara
11 Ramadhan 1433 / 31 Julai 2012
4.05 am
No comments:
Post a Comment