Saturday, 18 July 2020

11 INILAH IMAM AL MAHDI : Adakah Imam Mahdi Ini Wujud Kerana Ada Ulama Yang Menafikannya.

Seperti Ini Ciri Ciri Imam Mahdi



ADAKAH IMAM MAHDI INI WUJUD?

Persoalan Imam Mahdi … ada yang genuine … ada yang palsu … ada yang berpaksikan dalil Al Quran dan Hadith … ada yang hanya sekadar sentiment … ada yang berbentuk persepsi, sama ada persepsi positif mahu pun negative.

Maka persoalan pertama yang boleh timbul.

Soalan Pertama : Imam Mahdi ni wujud ke tidak?
Soalan ini timbul disebabkan beberapa perkara, seperti ….

a. Ajaran Syiah yang menjadikan keyakinan kepada Imam Mahdi sebagai rukun Iman. Syiah meyakini bahawa Imam-imam Syiah adalah bertaraf Nabi dan memiliki sifat maksum yang suci dari dosa. Syiah mendakwa Imam Syiah yang keduabelas, anak kepada Imam Syiah ke sebelas, Imam Hassan Al Askari, telah ghaib dan bakal muncul sebagai Imam Mahdi.

b. Ajaran Qadiani pimpinan Mirza Ghulam Ahmad, yang pada awalnya mengaku menjadi Nabi terkahir selepas Rasulullah ﷺ, kemudian mengaku menjadi Imam Mahdi.

c. Munculnya ajaran-ajaran sesat yang menjadikan nama Imam Mahdi sebagai ikon perjuangan mereka. Antaranya ialah Al Arqamyang dipimpin oleh Ustaz Asaari Mohamad. Sehingga lahir satu fahaman yang cetek lagi dangkal pemikiran yang mengatakan, salah satu ciri ajaran sesat ialah kepercayaan kepada Imam Mahdi.

d. Dan lain-lain …..

Malah sejak aabad ke 7 Hijrah, sudah ada ulama yang menafikan konsep Imam Mahdi. Antaranya ialah :

a. Ibnu Khaldun yang menyatakan bahawa hadith-hadith berkenaan Imam Mahdi itu dhaif belaka, hanya sedikit-sedikit yang sahih. Beliau telah mengkaji sebanyak tiga puluh buah hadith mengenai Imam Mahdi dari pelbagai sudut. Kemudian beliau merumuskan pendapatnya itu dengan menyatakan bahawa Imam Mahdi tidak akan keluar pada akhir zaman. Hadith-hadith mengenai Imam Mahdi tidak sepatutnya diterima oleh seluruh umat Islam, begitulah fahamnya.

b. Syeikh Mahmud Syaltut, salah seorang Syeikh Al-Azhar, Mesir pernah menyatakan bahawa Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah wafat dan tidak akan turun lagi ke dunia. Beliau adalah anak murid kepada Syeikh Muhammad Abduh, dan fahamannya adalah lanjutan dari fahaman gurunya yang menolak konsep Imam Mahdi dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam kitabnya Fatawa, beliau menyangkal kepercayaan tentang turunnya Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai tanda-tanda besar kiamat. Fahamnya, apabila Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada dan tidak turun ke dunia ini, maka Imam Mahdi pun tidak ada juga kerana kedua-dua tokoh ini adalah saling berkait, seperti saling berkaitnya jerami-jerami yang membentuk sehelai tikar. Tidak akan sempurna yang satunya tanpa adanya yang satu lagi. Ini pendapat beliau.

c. Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamidmenyebutkan bahawa, sesetengah penulis (ulama) yang membahaskan segala perkara yang datang dalam soal Al Mahdi dan Dajjal itu, sebenarnya adalah suatu perkara dongeng yang berasal daripada kisah-kisah Israiliyat. Oleh itu, semua cerita tentang Imam Mahdi hendaklah ditolak bulat-bulat oleh sekalian umat Islam. Itu pendapat beliau.

d. Dr. Khalil Haras yang mentashihkan kitab Khasa’is Imam as-Suyuti RH, menyebutkan bahawa semua hadith berkenaan Al Mahdi itu, tidak ada walau sebuah pun daripadanya yang sahih. Sebaliknya hadith tersebut berkait dengan kepercayaan Syiah tertera jelas padanya. Oleh kerana akidah Syiah jelas bercanggah dengan akidah Ahlus Sunnah, menurut beliau, konsep Imam Mahdi ini haruslah ditolak keseluruhannya, sama seperti kita menolak akidah Syiah keseluruhannya. Ini fahaman beliau.

e. Syeikh Muhammad Abduh juga dilaporkan pernah menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu tidak ada, sambil menolak kemunculannya pada akhir zaman. Dajjal itu tidak ada dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah wafat, tidak akan turun lagi ke dunia ini kerana orang yang sudah wafat tidak akan hidup lagi ke dunia ini. Kewafatan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah dijelaskan oleh al-Quran sendiri, seperti yang terdapat di dalam Surah Ali Imran, ayat 55, katanya.

f. Syeikh Muhammad Rasyid Ridha al-Qalmunimenulis di dalam majalah Al-Manar bahawa, Syeikh Muhammad Abduh ketika ditanya mengenai Dajjal dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, menjelaskan yang Dajjal itu adalah andaian atau bayangan karut dan bohong. Rasyid Ridha juga menyatakan pendapatnya sendiri bahawa, Tiada nas yang sarih dan tegas tentang turunnya Nabi Isa dari langit. Hal itu hanyalah akidah kepercayaan kebanyakan orang Kristian, dan mereka telah mencoba sepanjang zaman sejak kelahiran Islam lagi untuk menyebarkan akidah itu di kalangan umat Islam. Dalam kesempatan yang lain, Syeikh Rasyid Ridha menyatakan pula pendiriannya sendiri bahawa kepercayaan terhadap kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman adalah kepercayaan yang berbahaya. Unsur-unsur dongeng adalah jelas sekali di dalamnya. Katanya; Sekalipun Al Mahdi memang akan muncul, sikap kami tidak mempercayainya tentu tidak menjejaskan iman, sekalipun jika Al Mahdi itu benar-benar mempunyai kuasa luar biasa seperti yang didakwakan.

g. Syeikh Abdul Mut’al as-Sha’iedi dalam Al-Mujaddidun Fil Islam, menyebutkan bahawa, telah tersebar pada orang-orang Islam pendapat mengenai Imam Mahdi al-Muntazar. Mereka mempunyai hadith-hadith daripada Rasulullah ﷺ, sedangkan Ibnu Khaldun telah menyatakan dengan lebih lanjut bahawa hadith-hadith itu sanad-sanadnya dhaif, tetapi hadith-hadith itu telah sedia masyhur di kalangan orang Islam.

h. Abul A’ala al-Maududi al-Hindi diketahui mempunyai dua pendapat berbeda mengenai Imam Mahdi. Pendapat kedua beliau ialah menolak konsep Imam Mahdi dengan menyatakan bahawa; Tidaklah boleh ditafsirkan bahawa dalam Islam ada suatu jawatan yang dinamakan Al Mahdi, hingga umat Islam wajib meyakininya. Jika tidak, akan terjadi hal-hal yang merosakkan akidah dan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Apa yang sesuai disebutkan berhubung dengan perkara ini ialah bahawa kepercayaan terhadap Al Mahdi bukan sebahagian daripada akidah Islam. Tidak ada sebuah pun kitab karangan ulama Ahlus Sunnah menyebutnya (bahawa konsep Al Mahdi adalah soal akidah).

i. Syeikh Abdullah bin Zeid, Yang Dipertua Mahkamah Syariah dan Hal Ehwal Agama Qatar, pernah menulis di dalam kitabnya Majmu’ ar-Rasail yang (terjemahannya) berbunyi kira-kira begini, Para penyokong konsep Al Mahdi mendakwa bahawa Al Mahdi akan membawa keamanan dan keadilan di dunia dalam tempoh tujuh atau sembilan tahun. Apakah ini berarti bahawa Al Mahdi akan dibantu oleh kuasa luar biasa atau mukjizat? Apakah Al Mahdi akan mendapat bantuan daripada malaikat atau dari para jin, seperti pertolongan yang didapati oleh Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Apakah Al Mahdi itu lebih mulia dan lebih agung daripada Nabi Muhammad ﷺ yang selama 23 tahun berjuang menegakkan agama ALLAH dengan bantuan mukjizat al-Quran dan mendapat kecederaan di kepalanya sedangkan kejayaannya terbatas di jazirah Arab saja? Secara jujur saya katakan bahawa saya adalah salah seorang dari keturunan Rasulullah ﷺ dari Hasan bin Ali. Andainya pada hari ini ada seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah, berdahi luas, berhidung mancung, tinggi, (lalu) mengaku sebagai Al Mahdi, sayalah orang yang pertama menentangnya kerana saya yakin dia adalah pendusta yang ingin mencemar kesucian agama Islam.

j. Syeikh Muhammad Ali az-Za’bi, seorang ulama dari Lubnan menyatakan (terjemahannya) kira-kira begini: Walaupun pendapat mengenai Al Mahdi itu berbagai-bagai, masing-masing pihak bersetuju mengatakan bahawa ia adalah satu bentuk bantuan yang akan datang agar para pejuang Islam yang lemah tidak putus asa… Tidak penting bagi kita sama ada bantuan itu berupa seorang manusia atau berupa hasil perjuangan kita, kerana kita telah bersepakat bahawa kedatangannya sebagai pelaksana ajaran-ajaran ALLAH. Adalah menjadi kewajipan kita berusaha melaksanakannya agar kita dapat menikmati kedatangan Al Mahdi itu walaupun ia mungkin datang dalam bentuk bukan manusia.

k. Prof. Madya Dr. Abdulfattah Haron Ibrahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah merumuskan bahawa amalan tarekat sebenarnya tidak ada dalam Islam, samalah seperti konsep Imam Mahdi yang juga tidak wujud dalam akidah Islam. Pendapatnya ini dibentangkan oleh beliau dalam kertas kerjanya di Simposium Falsafah Islam, pada bulan Disember 1988.

l. Dr Yusuf Qardhawi juga menolak konsep Imam Mahdi. Katanya : "Tidak terdapat dalam saheh Bukhari dan Muslim satu hadis pun yang menjadi bukti kewujudan imam Mahdi", kata Pengerusi kesatuan Ulama antarabangsa tersebut yang videonya terdapat YouTube. Beliau menjelaskan juga, jika perkara yang melibatkan kehadiran imam Mahdi adalah sesuatu yang penting dalam agama, sudah pasti ia sudah termaktub dalam Al-Quran dan dalam hadis-hadis yang saheh. Namun realitinya adalah sebaliknya. "Ibn Khaldun sendiri menilai sebagai lemah pada Hadis-hadis (yang melibatkan kehadiran imam Mahdi)", kata beliau lagi. "Implikasi kepercayaan terhadap kehadiran imam Mahdi ini menyebabkan ramai yang mendakwa bahawa mereka sebagai imam Mahdi, seperti berlaku di Sudan dan beberapa tempat", jelas al-Qaradawi lagi. Kepercayaan kehadiran imam Mahdi merupakan sesuatu perkara aqidah yang mendasar dalam fahaman syiah, sedangkan dalam fahaman sunni, kehadiran imam Mahdi adalah perkara aqidah yang bersifat Nazari, iaitu boleh berlaku khilaf dan perbezaan pandangan ulama. Ekoran itu, terdapat sebilangan ulama sunni yang menerima dan ada sebilangan lain menolaknya. "Hakikatnya, aku tidak beriman dengan mahdi. Aku tidak berjumpa hadis yang meyakinkan aku tentang perkara itu", kata Ulama sunni yang banyak mencetuskan beberapa pandangan kontroversi itu lagi.

Ini antara sebahagian pandangan ulama yang menolak konsep Imam Mahdi.

Anda bagaimana?
Percaya?
Atau … Tidak percaya?

Apa pendirian kita atas permasalahan ini?
Untuk menjawab persoalan ini … kita sebagai seorang muslim beriktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang disusun oleh Imam Abu Hassan Al Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al Maturidi, bermazhab Fiqh dengan mazhab Syafie dan bertasawuf sebagaimana diajarkan oleh Imam Al Ghazali. Maka rujukan dalil kita tidak lain adalah :

Sumber hukum yang utama yang disepakati adalah :
1. Al Quran
2. Hadith
3. Ijmak ulama
4. Qiyas
Sumber hukum tambahan yang tidak disepakati pula :
1. Istihsan
2. Masalih mursalah
3. Uruf
4. Istishab

To be continue ………………….

1 comment:

  1. Hamka juga menolak kemunculan Imam Mahdi. Ini tulisan Hamka dalam Tafsir Al-Azhar -
    "Salah satu di antara kepercayaan yang membelenggu diri kaum Muslimin ialah kepercayaan bahwa di akhir zaman kelak Imam Mahdi akan datang.
    Orang hidup di dunia memang tidak puas atas kekurangan yang ada pada zamannya. Setengah orang menjadi Reaksionair (surut melihat ke belakang), memuaskan diri dengan sejarah yang lalu. Kalau ada yang mengatakan: "Hai kaum Muslimin, sekarang kamu telah jatuh!" Si Reaksionair akan menjawab: "Tetapi kita dahulu telah pernah mencapai kemuliaan." Orang kata: "Tiga ratus lima puluh lima tahun kamu dijajah Belanda." Si Reaksionair menjawab: "Tetapi umat Islam 700 tahun pernah memerintah Spanyol." Dan si Reaksionair tidak tergetar hatinya memikirkan mesjid-mesjid di Spanyol itu sekarang adalah gereja!
    Apa yang mereka harapkan? Mereka mengharap kedatangan Imam Mahdi di akhir zaman. Dia adalah Ratu Adil atau Karaeng Data. Bagaimana sengsara nasib, mereka masih mengharapkan kedatangan Imam Mahdi. Dengan Imam Mahdi kelak semuanya akan beres.
    Kita tidak perlu menunggu Imam Mahdi. Sebab Hadis tentang Imam Mahdi itupun tidak ada yang sah buat dijadikan dalil. Lebih baik kita jadikan diri kita sendiri-sendiri menjadi Imam Mahdi, membawa petunjuk Islam sejati untuk menampung kehendak Ilahi, bahwa Islam akan mengatasi segala agama dunia ini, walaupun orang yang musyrikin tidak suka.
    Alangkah gelapnya hidup yang tidak mempunyai keyakinan masa depan.
    Tafsir Al-Azhar
    Surat At-Taubah
    Ayat 33"

    ReplyDelete